Showing posts with label fiqh Syafi'i. Show all posts
Showing posts with label fiqh Syafi'i. Show all posts

Wednesday, January 16, 2019

Panduan Shalat Lengkap



Buku Panduan Shalat Lengkap : Tata Cara Shalat Sesuai Tuntunan Rasulullah merupakan sebuah karya terjemahan dalam bahasa Melayu (Indonesia) bagi Kitab al-Shalah (كتاب الصلاة), iaitu satu bahagian yang khusus membicarakan tatacara ibadat solat dari karya agung al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang berjudul al-Umm (الأم). Buku ini diterjemahkan oleh Abdul Rosyad Shiddiq dan diterbitkan oleh Khatulistiwa Press, Jakarta. Ketebalan buku ini merangkumi 349 halaman (tidak termasuk halaman daftar isi, pengantar penerbit dan biografi singkat Imam Syafi’i).

Sebagaimana karya-karya para ulama silam yang lainnya, isi kitab al-Umm merupakan kumpulan tulisan dan pendapat Imam al-Syafi’i mengenai bidang fiqh yang telah diriwayatkan, ditulis atau dicatat oleh para murid beliau. Oleh itu, dalam kitab asalnya terdapat banyak dipermulaan ayatnya perkataan ‘al-Syafi’i berkata (قال الشافعي), ‘al-Rabi’ berkata (قال الربيع)’ dan sebagainya. Namun begitu, dalam penyusunan kembali buku ini, penterjemah telah membuat beberapa pengubahsuaian bagi memudahkan para pembaca, di mana perkataan-perkataan dipermulaan ayat tersebut telah dibuangkan dari teks terjemahan ini, tanpa merubahkan isi kandungan kitab asalnya. Oleh itu, penyusunan buku ini, seolah-olah ditulis secara langsung oleh Imam Syafi'i sebagaimana penyusunan buku-buku yang diterbitkan pada masa kini.

Buku ini menuntun kita untuk dapat solat secara sempurna, dengan mengikuti aturan-aturan yang telah ditetapkan secara rinci oleh Allah dan Rasul-Nya. Di mana  Rasulullah saw. secara tegas memerintahkan kepada umatnya untuk mengerjakan solat seperti yang baginda lakukan. Solat yang berbeza dengan yang baginda lakukan adalah tertolak.

Berbeza dengan buku panduan solat lainnya yang banyak beredar dalam masyarakat, buku ini ditulis oleh Imam al-Syafi’i, iaitu salah seorang imam mazhab dan seorang tabi'it tabi'in, yang masa hidupnya tidak terlalu jauh dari masa hidup Rasulullah saw. sendiri. Beliau mengamati langsung para ulama dan warga Makkah dan Madinah solat pada masa itu, juga hadits-hadits tentang solat yang banyak beredar di kalangan ulama dua kota suci tersebut.

Berikut dilampirkan isi kandungan buku ini, yang dibahagikan kepada 22 bab;

Bab 1: Dasar Rakaat Shalat Fardu
Bab 2: Orang Yang Shalat
Bab 3: Waktu Shalat
Bab 4: Menjamak Shalat
Bab 5: Shalah Orang Sakit
Bab 6: Azan dan Iqamat
Bab 7: Pakaian Orang Yang Shalat
Bab 8: Tempat yang Boleh dan Tidak Boleh digunakan untuk Shalat.
Bab 9: Menghadap Kiblat
Bab 10: Gerakan dan Bacaan Shalat, Dari niat sampai Salam
Bab 11: Sujud Sahwi
Bab 12: Sujud Tilawah dan Sujud Syukur
Bab 13: Shalat Witir Minimal satu Rakaat
Bab 14: Waktu-waktu Yang Dimakruhkan Untuk Shalat
Bab 15: Shalat Jamaah
Bab 16: Shalat Orang Musafir
Bab 17: Shalat Jumaat
Bab 18: Shalat Khauf
Bab 19: Shalat Idul Fitri dan Idul Adha
Bab 20: Shalat Gerhana Matahari
Bab 21: Shalat Minta Hujan
Bab 22: Shalat Jenazah.

Semoga bermanfaat.

Monday, January 14, 2019

Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia


Buku Munyatul Musolli Versi Bahasa Malaysia ini adalah sebuah karya terjemahan (pengubahsuaian) dari bahasa Melayu Klasik (Patani) ke dalam Bahasa Malaysia bagi kitab Munyatul Musolli (منية المصلي) karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, seorang ulama terkenal di Nusantara. Usaha penyusunan kembali kitab ini dilakukan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Ramzi bin Omar. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ilmuan, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2015.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan petikan “Kata Penterjemah”nya;

Kitab berjudul Munyatul Musolli yang Melengkapi Masail al-Durar waa al-La'ali (Dambaan Orang yang Solat yang Melengkapi Masalah-Masalah Bak Batu-Batu Permata dan Mutiara) merupakan kitab yang terkenal dalam kalangan masyarakat Islam di Nusantara. Walaupun ia merupakan kitab yang kecil saiznya berbanding sekian banyak kitab-kitab lain yan dikarang oleh Syeikh Daud al-Fatani, namun manfaatnya tersebar luas merentasi tempat dan masa. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Daud al-Fatani merupakan salah seorang ulama yang membentuk hala tuju masyarakat Islam Malaysia dan Nusantara dalam menghayati amalan keagamaan mereka.

Kitab ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Melayu Klasik sesuai dengan bahasa penulisan pada zaman Syeikh Daud. Justeru, ia agak sukar difahami oleh kebanyakan pembaca melainkan mereka yang terbabit secara langsung dalam pengajian kitab-kitab jawi klasik. Penterjemah (penyusun) merupakan di antara sekian ramai umat Islam di Malaysia yang mengambil manfaat daripada kitab terbabit, sama ada melalui pembelajaran mahu pun pengajaran. Pengalaman mengajar kitab tersebut kepada masyarakat mencetuskan inspirasi untuk membuat beberapa catatan kepada sesetengah isi kandungannya sebagai membantu menambahkan lagi kefahaman terhadap kitab  tersebut.

Catatan-catatan yang dibuat dimasukkan dalam bentuk nota kaki merangkumi ulasan sesetengah hukum-hukum feqah yang berkaitan, pengenalan kepada beberapa orang tokoh ulama yang disebutkan dalam kitab ini, serta sumber rujukan terhadap beberapa isi kandungan yang dirasakan perlu seperti sumber-sumber hadith dan rujukan kitab-kitab  yang berkaitan.

Dalam usaha mencatatkan beberapa fakta sebagai pencerahan kepada kitab ini, maka penyusun merasakan kitab ini perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia demi memudahkan lagi kefahamannya di kalangan pembaca. Justeru, apa yang ada pada tatapan pembaca merupakan naskah Munyatul Musolli yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, di samping beberapa pencerahan melalui nota-nota kaki yang dimasukkan.

Selain daripada itu, demi mengekalkan keaslian kitab terbabit maka kami sertakan versi asal kitab tersebut dalam tulisan jawi yang dimuatkan dibahagian belakang buku ini. Walaupun begitu, sistem tulisan jawinya ditukarkan kepada sistem ejaan jawi moden, namun lenggok bahasa atau uslubnya tetap kekal seperti bahasa asalnya.

Selain kitab Munyatul Musolli, dalam buku ini juga dilampirkan bersama sebuah karya Syeikh Daud al-Fatani yang lain yang berjudul Bahjatul Mardhiah. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya.

Buku ini perlu dimiliki dan menjadi bahan bacaan rujukan umat Islam, khususnya mereka yang sedang mentela’ah dan mempelajari isi kandungan kitab Munyatul Musolli. Buku ini boleh menjadi panduan yang berguna untuk memahami isi kandungan kitab Munyatul Musolli dengan lebih jelas dan tepat. 

Semoga bermanfaat.

Sunday, November 18, 2018

Rawdh al-Thalib (روض الطالب)


Kitab Rawdh al-Thalib (روض الطالب) atau judul lengkapnya Rawdh al-Thalib wa Nihayah Mathlab al-Raghib (روض الطالب ونهاية مطلب الراغب) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syarafuddin Abu Muhammad Ismail bin Abu Bakr Abdullah al-Muqri al-Yamani (837H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Muqri.

Kitab Rawdh al-Thalib ini disusun oleh Imam Ibn al-Muqri sebagai ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) , iaitu sebuah karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya in Syaraf al-Nawawi (631-676H).

Kitab yang terkenal dengan judul pendeknya  al-Rawdh (الروض) ini menjadi rujukan dan bacaan para ulama mazhab Syafi’i selama beberapa abad. Kemudiannya, muncul Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H), telah menyusun sebuah kitab khusus sebagai huraian (syarah) bagi kitab Rawdh al-Thalib ini melalui karya beliau yang berjudul Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib (أسنى المطالب شرح روض الطالب)

Kitab al-Rawdh di atas juga telah diringkaskan lagi oleh Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami  (974H) melalui karyanya yang berjudul al-Nu-‘aim (النعيم).

Kitab Rawdh al-Thalib ini boleh dimuat turun melalui pautan روض الطالب ونهاية مطلب الراغب.  

Semoga bermanfaat.

Monday, September 3, 2018

al-Nihayah fi Ikhtishar al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية)


Kitab al-Nihayah fi Ikhtishar  al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun sebagai ringkasan bagi matan al-Ghayah wa al-Taqrib, karya al-Qadhi Abu  Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Ashfahani (493H).

Dikatakan kitab al-Nihayah ini adalah karya al- Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H). Namun begitu, para ulama berbeza pendapat mengenai kesahihan penisbahan kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi.

al-Imam Abu al-‘Abbas Najmuddin Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Murtafi’ bin al-Rif-‘ah al-Anshari (645-710H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Rif’ah - ada menyebutkan dalam kitabnya Syarh al-Wasith[1], bahawa kitab al-Nihayah ini sebagai karya Imam al-Nawawi. Manakala Imam Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Isnawi al-Mishri (704-772H), yang terkenal dengan Imam al-Isnawi menolak pendapat Ibn al-Rif’ah ini, kerana menurutnya Imam Ibn al-‘Attar[2], selaku murid Imam al-Nawawi sendiri tidak menyenarai kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi. 

Kitab al-Nihayah ini kemudiannya telah dihurai (syarah) oleh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Dimasyqi al-Syafi’i (752-829H).



[1] Iaitu kitab al-Mathlab al-‘Ali fi Syarh Wasith.
[2] Nama lengkapnya Imam al-Hafizh 'Alauddin 'Ali bin Ibrahim Ibn al-'Aththar al-Dimasyqi (654-724H).

Sunday, September 2, 2018

al-Ghayah fi Ikhtishar al-Nihayah (الغاية في اختصار النهاية )


Kitab al-Ghayah fi Ikhtishar al-Nihayah (الغاية في اختصار النهاية ) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  Sulthanul ‘Ulama’ Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdul Salam (660H). Kitab al-Ghayah ini disusun sebagai ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب ) , karya al-Imam Abu  al-Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdullah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H).

Berdasarkan kitab al-Ghayah yang diterbitkan  (cet. 1 / 2016) oleh Kementerian Waqaf dan Urusan Islam, kerajaan Qatar dengan kerjasama Dar al-Nawadir, kitab ini diterbitkan dalam 8 jilid.

Maklumat lanjut mengenai kitab ini, boleh baca di sini / sini. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan الغاية في اختصار النهاية.  

Semoga bermanfaat.

Tuesday, August 7, 2018

Fiqh Solat (فقه الصلاة) : Memahami Ibadat Sembahyang


Kitab Fiqh Solat (فقه الصلاة)  : Memahami Ibadat Sembahyang - merupakan sebuah karya fiqh mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi (). Kitab ini telah menjadi teks pengajian khusus mengenai sembahyang di masjid-masjid  di negeri Terengganu khususnya dan seluruh Malaysia umumnya.

Menurut penyusunnya, kitab ini pada asalnya dicadangkan atas nama روح الصلاة    (Jiwa Sembahyang), tetapi kemudiannya setelah hampir selesai penulisannya diubah kepada Fiqhus Shalah atas cadangan anaknya yang merasakan bahawa nama itu yang lebih tepat kerana isi kandungan merangkumi keseluruhan ibadat sembahyang, sama ada dari segi hukum hakamnya, falsafahnya, didikannya, zahir dan batinnya.

Kitab ini selesai disusun pada bulan Jun tahun 2000, dan telah diterbitkan banyak kali dengan tulisan Jawi. Pada tahun 2001, kitab ini telah dibuat beberapa tambahan, pembetulan dan penyusunan semula agar lebih teratur baik dan mudah difahami. Edisi baru ini kemudiannya telah diterbitkan dalam tulisan Jawi dan juga tulisan Rumi sebagai memperkenankan permintaan para pembaca yang kurang mahir membaca tulisan Jawi.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab ini telah diterbitkan oleh Syarikat Jaffar Rawas  Sdn. Bhd. Kota Bharu, Kelantan dengan edisi Jawi dan Rumi. Berdasarkan kitab edisi Jawi cetakan ke 9, tahun 2015 ketebalan kitab ini merangkumi 657 halaman.

Kandungan kitab ini dimulai dengan “Pengenalan Ibadat Sembahyang” dan diakhiri pembicara mengenai “Sembahyang Mayat” yang diikut dengan huraian mengenai “ Talqin Mayat ”.

Kemudian dilampirkan pula keterangan ringkas mengenai;

a)     Sembahyang Sunat (12 halaman).
b)     Hubungan Asmaul Husna dengan sembahyang (5 halaman).
c)      Rampaian mengenai kesempurnaan sembahyang (7 halaman).

Pada tahun 2007, di akhir kitab ini ditambah lagi dengan satu lampiran baru, iaitu Ulangkaji (24 halaman). Di mana penyusun mengajak para pembaca memuhasabah diri dan membuat penilaian kembali tehadap amalan sembahyang masing-masing dari segi zahir dan batinnya. Adakah sembahyang yang telah dilakukan menepati tatacara yang telah diajar oleh Rasulullah saw, yang melayakkan kita mendapat kelebihan pahala dan manfaat yang dijanjikan oleh Allah SWT ?. 

Semoga bermanfaat.

Monday, August 6, 2018

al-Hawasyi al-Madaniyyah 'ala al-Manhaj al-Qawim (الحواشي المدنية على المنهح القويم)


Kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim (الحواشي المدنية على المنهح القويم) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani al-Syafi’i (1127-1194H).

Kitab ini disusun sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim (المنهج القويم شرح مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (909-973/974H). Sedangkan kitab al-Manhaj al-Qawim pula merupakan kitab syarah (huraian) bagi kitab  Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم), karya l-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H).

Di kalangan ulama mazhab Syafi’i, kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ini juga dikenali dengan judul yang lain, iaitu;

a) al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadharamiyyah (الحواشي المدنية على شرح المقدمة الحضرمي)
b)    Hasyiah al-Kurdi ‘ala al-Manhaj al-Qawim (حاشية الكردي على المنهج القويم).
c)    Hasyiah al-Shughra ‘ala al-Manhaj al-Qawim  (حاشية الصغرى على المنهج القويم).

Selain kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah ini, al-‘Allamah al-Kurdi juga mempunyai hasyiah lain yang lebih tebal  (lebih banyak halamannya). Kitab yang kedua ini dikenali sebagai Hasyiah al-Kubra (الحاشية الكبرى) atau judul asalnya al-Mawahib al-Madaniyyah 'ala Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah.

Berdasarkan terbitan Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan 2012 – kitab ini diterbitkan dalam 2 jilid. Kitab al-Hawasyi al-Madaniyyah (versi lama) boleh dimuat turun di pautan http://al-mostafa.info/data/arabic/depot3/gap.php?file=i000408.pdf

Semoga bermanfaat.

Monday, July 23, 2018

AL-BAHRUL WAFI WAN NAHRUS SHAFI


Kitab al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi (البحر الوافي و النهر الصافي) adalah sebuah karya dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu (Jawi) oleh Syaikh Muhammad bin Ismail bin Ahmad al-Fathani (1914), yang terkenal dengan gelaran Syeikh Nik Mat Kechik al-Fathani). Di antara karya beliau yang lain, yang terkenal ialah kitab Mathla’ul Badrain wa Majma’ul Bahrain (مطلع البدرين ومجمع البحرين).

Kitab al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi ini disusun oleh Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani pada akhir usianya (1331 H/1912 M). Karya beliau ini merupakan sebuah karya paling lengkap dalam membicarakan perkara ibadat, terutama pada bab Haji dan Umrah.  Adalah diakui bahawa kitab ini merupakan kitab paling lengkap untuk rujukan dan panduan bakal-bakal jemaah Haji dan umrah di Malaysia.

Sehingga kini kitab ini masih beredar di pasaran melalui terbitan Khazanah Fathaniyah, yang merupakan satu-satunya penerbit dan pengedar tunggal bagi kitab ini di seluruh Malaysia.

Berdasarkan perkembangan ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pengaruh karya-karya ulama silam masih relevan untuk digunapakai sehingga zaman moden ini. Walaupun tidak dinafikan begitu bahasa-bahasanya memerlukan pemahaman yang tinggi.


Muat turun Bab Larangan Ihram dari Kitab al-Bahrul al-Wafi (hal. 215-221). Semoga bermanfaat.

Monday, July 16, 2018

RISALAH BABUL JUMU'AH (رسالة باب الجمعة)


Risalah Babul Jumu’ah (رسالة باب الجمعة), adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh Husain bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani (Pontianak), yang khusus membicarakan mengenai sembahyang Jumaat berdasarkan mazhab Syafi’i.

Kitab ini selesai ditulis pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Cetakan yang pertama oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini, Risalah Babul Jumu’ah ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi atau akhir karya Syaikh Husain al-Jawi yang berjudul Tuhfatur Raghibin.


Kandungan kitab ini;

Dimulai dengan Khutbah dan muqaddimah pada menyatakan dalil wajib sembahyang Jumaat. Seterusnya dikuti dengan 12 fasal,iaitu;

1)      Pada menyatakan kelebihan sembahyang Jumaat
2)     Pada menyatakan kecelaan meninggalkan Jumaat.
3)     Pada menyatakan syarat wajib Jumaat.
4)     Pada menyatakan syarat sah Jumaat.
5)     Pada menatakan rukun-rukun Jumaat.
6)     Pada menyatakan syarat dua khutbah. (Furu’: pada menyatakan tiada boleh jadi imam Jumaat, melainkan orang yang mendengar segala rukun )
7)    Pada menyatakan yang sunat-sunat bagi khatib.
8)    Pada menayatakan yang makruh bagi khatib.
9)   Pada aturan pergi sembahyang Jumaat.  (Tanbih: pada menyatakan barang yang dituntut didalam lafaz niat sembahyang Jumaat).
10) Pada menyatakan wirid-wirid lepas Jumaat.
11) Pada menyatakan kelebihan berjamaah dan kecelaan meninggalkannya.
12) Pada menyatakan hukum berjamaah sembahyang.

Kandungan kitab ini disudahi dengan sebuah ‘khatimah” (penutup) yang menyatakan setengah daripada uzur berjemaah dan Jumaat.

Kitab ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan  تحفة الراغبين في تقليد القول بصحة الجمعة بدون الأربعين. Kitab ini terletak di bahagian akhir kitab Tuhfatul Raghibin.. Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 11, 2018

HIDAYATUSH SHIBYAN (هداية الصبيان)


Kitab Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (هِدَايَةُ الصِّبْيَانِ فِى مَعْرِفَةِ اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيــْمَانِ) merupakan sebuah karya mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun Syaikh Abu ‘Abdullah Husain Nashir bin Muhammad Thayyib al-Mas’udi al-Banjari (1863-1936M), yang mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.  

Sebagaimana judulnya Hidayatush Shibyan Fi Ma’rifatil Islam wal Iman (Petunjuk Kanak-Kanak Pada Mengenal Islam dan Iman) kitab ini ditulis oleh penulisnya sebagai panduan umat Islam, khususnya bagi kanak-kanak atau mereka baharu mula ingin mempelajari ajaran Islam, sama ada dari aspek akidah atau syariatnya. Kitab banyak diajar di pondok-pondok pengajian Islam bagi mereka yang baru memasuki alam pondok.

Dan kitab ini telah selesai penulisannya oleh pengarang pada hari Isnin, 18hb. Muharram 1330 Hijrah bersamaan 08hb. Januari 1912 Masihi.

Secara umumnya kandungannya kitab ini dibahagikan kepada  7 bahagian, iaitu;

1)     Kata Pengantar penulis.
2)    Muqaddimah Fil Iman wal Islam. (Makna iman dan Islam,rukun Iman dan Islam dan sifat wajib bagi Allah SWT dab para Rasul).
3)    Kitab al-Shalah (Sembahyang), yang terbahagi kepada 11 fasal. (mengenai bersuci dan syarat sah dan perkara membatalkan  sembahyang serta  bang [azan] dan iqamat).
4)  Bab fi Arkan al-Shalah (Rukun-rukun Sembahyang). Terbahagi kepada 16 fasal. Fasal 1- 8, berkaitan dengan rukun sembahyang. Fasal seterusnya berkaitan dengan perkara sunat sembahyang, sembahyang sunat, qasar dan jamak, sembahyang berjamaah, berkaitan dengan sembahyang Jumaat, dan berkaitan dengan orang sakit dan jenazah.
5)  Bab al-Zakat. Terbahagi kepada 2 fasal. Fasal pertama berkaitan dengan pembahagian zakat dan fasal kedua mengenai beberapa masalah berkaitan dengan zakat.
6)    Bab al-Shiyam (Puasa).
7)    Bab al-Haj wal ‘Umrah. Berkaitan ibadat haji dan umrah.

Pada masa kini, kitab Hidayatush Shibyan ini telah disalin kembali dengan tulisan Rumi dan telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan generasi sekarang membaca dan memahami isi kandungannya.

Kitab Hidayatul Shibyan (edisi Jawi) ini boleh dibaca secara on line di pautan https://sites.google.com/site/kitabhidayatussibyan/.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, July 10, 2018

Fath al-Mujib fi Syarh Mukhtashar al-Khathib (فتح المجيب في شرح مختصر الخطيب)


Kitab Fath al-Mujib fi Syarh Mukhtashar al-Khathib: al-Hajj wa al-‘Umrah (الحج والعمرة :فتح المجيب في شرح مختصر الخطيب) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar al-Jawi al-Bantani al-Syafi’i ((1316H/1898M), seorang ulama terkenal dari Indonesia yang menetap di Makkah.

Kitab ini disusun sebagai sebuah huraian (syarah) bagi kitab yang membicarakan mengenai ibadat haji dan umrah mengikut mazhab Syafi’i yang berjudul Mukhtashar al-Khathib fi Manasik al-Hajj (مختصر الخطيب في مناسك الحج ), iaitu karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syarbini al-Syafi’i (977H).

Di antara keistimewaan kitab ini ialah dalam beberapa permasalahan tertentu, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi bukan sahaja menerangkan amalan haji dan umrah berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, bahkan membawakan juga pandangan mazhab-mazhab lain bersama dalil-dalil masing-masing. Semoga bermanfaat.

Friday, March 23, 2018

MATAN AL-RAHBIYYAH (متن الرحبية)


Matan al-Rahbiyyah (متن الرحبية) atau judul asalnya Bughyah al-Bahits  ‘an  Jumal al-Mawarits (بغية الباحث عن جُمل الموارث) sebuah karya fiqh mengenai ilmu al-Faraid atau al-Mawaris (pusaka dalam Islam), yang disusun dalam bentuk nazam sebanyak 176 bait. Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Abu Abdullah Muhammad bin Ali bin Muhammad al-Hasan al-Rahabiy al-Syafi’i (557H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Mutqinah.

Kitab faraid yang disusun berdasarkan mazhab Syafi’i ini, mendapat perhatian yang besar di kalangan para ulama. Bukan sahaja di kalangan ulama mazhab Syafi’i, bahkan juga di kalangan para ulama mazhab yang lain seperti mazhab Maliki dan Hanbali. Kitab ini menjadi rujukan dan telah diberikan huraian oleh para ulama melalui karya-karya mereka.

Antara para ulama yang telah menyusun kitab huraian (syarah) bagi matan al-Rahabiyyah ialah;

1.  Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Syansyuri al-Syafi’i (999H), melalui karyanya yang berjudul al-Fawa-id al-Syansyuriyyah fi Syarh al-Manzhumah al-Rahbiyyah (الفوائد الشنشورية في شرح المنظومة الرحبية) [1].

2.  Syaikh Radhiyuddin Abu Bakr Ahmad bin Abdul Rahman al-Basti melalui karyanya Syarh al-Rahbiyyah[2].

3.    Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Badruddin al-Dimasyqi al-Mishri al-Syafi’i (907H)[3], melalui karyanya Syarh al-Rahabiyyah.

Matan al-Rahbiyyah boleh dimuat turun di pautan متن الرحبية. Manakala kitab al-Fawa-id  Syansyuriyyah… boleh dimut turun di pautan الفوائد الشنشورية في شرح المنظومة الرحبية.

Semoga bermanfaat.




[1] Kitab ini telah diberikan kometar (hasyiah) oleh Syaikh Ibrahim al-Bajuri melalui karyanya yang berjudul (التحفة الخيرية على الفوائد الشنشورية).
[2] Huraiannya yang ringkas
[3] Beliau adalah cucu kepada Jamaluddin Abdullah bin Khalil bin Yusuf al-Mardiniy.