Buku Munyatul
Musolli Versi Bahasa Malaysia ini adalah sebuah karya terjemahan (pengubahsuaian)
dari bahasa Melayu Klasik (Patani) ke dalam Bahasa Malaysia bagi kitab Munyatul Musolli (منية المصلي) karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, seorang ulama terkenal di
Nusantara. Usaha penyusunan kembali kitab ini dilakukan oleh al-Fadhil Ustaz
Muhammad Ramzi bin Omar. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ilmuan, Selangor
dengan cetakan pertamanya pada tahun 2015.
Bagi
mengetahui maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan petikan “Kata
Penterjemah”nya;
Kitab
berjudul Munyatul Musolli yang Melengkapi Masail al-Durar waa al-La'ali
(Dambaan Orang yang Solat yang Melengkapi Masalah-Masalah Bak Batu-Batu Permata
dan Mutiara) merupakan kitab yang terkenal dalam kalangan masyarakat Islam di
Nusantara. Walaupun ia merupakan kitab yang kecil saiznya berbanding sekian
banyak kitab-kitab lain yan dikarang oleh Syeikh Daud al-Fatani, namun
manfaatnya tersebar luas merentasi tempat dan masa. Tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa Syeikh Daud al-Fatani merupakan salah seorang ulama yang
membentuk hala tuju masyarakat Islam Malaysia dan Nusantara dalam menghayati
amalan keagamaan mereka.
Kitab
ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Melayu Klasik sesuai dengan bahasa
penulisan pada zaman Syeikh Daud. Justeru, ia agak sukar difahami oleh
kebanyakan pembaca melainkan mereka yang terbabit secara langsung dalam
pengajian kitab-kitab jawi klasik. Penterjemah (penyusun) merupakan di antara
sekian ramai umat Islam di Malaysia yang mengambil manfaat daripada kitab
terbabit, sama ada melalui pembelajaran mahu pun pengajaran. Pengalaman
mengajar kitab tersebut kepada masyarakat mencetuskan inspirasi untuk membuat
beberapa catatan kepada sesetengah isi kandungannya sebagai membantu
menambahkan lagi kefahaman terhadap kitab
tersebut.
Catatan-catatan
yang dibuat dimasukkan dalam bentuk nota kaki merangkumi ulasan sesetengah
hukum-hukum feqah yang berkaitan, pengenalan kepada beberapa orang tokoh ulama
yang disebutkan dalam kitab ini, serta sumber rujukan terhadap beberapa isi
kandungan yang dirasakan perlu seperti sumber-sumber hadith dan rujukan
kitab-kitab yang berkaitan.
Dalam
usaha mencatatkan beberapa fakta sebagai pencerahan kepada kitab ini, maka penyusun
merasakan kitab ini perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia demi
memudahkan lagi kefahamannya di kalangan pembaca. Justeru, apa yang ada pada
tatapan pembaca merupakan naskah Munyatul Musolli yang diterjemahkan ke dalam
Bahasa Malaysia, di samping beberapa pencerahan melalui nota-nota kaki yang
dimasukkan.
Selain daripada
itu, demi mengekalkan keaslian kitab terbabit maka kami sertakan versi asal
kitab tersebut dalam tulisan jawi yang dimuatkan dibahagian belakang buku ini. Walaupun
begitu, sistem tulisan jawinya ditukarkan kepada sistem ejaan jawi moden, namun
lenggok bahasa atau uslubnya tetap kekal seperti bahasa asalnya.
Selain
kitab Munyatul Musolli, dalam buku ini juga dilampirkan bersama sebuah karya
Syeikh Daud al-Fatani yang lain yang berjudul Bahjatul Mardhiah. Kitab
ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia daripada bahasa asalnya.
Buku
ini perlu dimiliki dan menjadi bahan bacaan rujukan umat Islam, khususnya
mereka yang sedang mentela’ah dan mempelajari isi kandungan kitab Munyatul
Musolli. Buku ini boleh menjadi panduan yang berguna untuk memahami isi
kandungan kitab Munyatul Musolli dengan lebih jelas dan tepat.
Semoga
bermanfaat.
No comments:
Post a Comment