Saturday, January 26, 2019

Bagaimana Mencari Malam Al-Qadar



Buku Bagaimana Mencari Malam Al-Qadar adalah sebuah buku yang khsusus membicarakan Lailatulqadar (Malam al-Qadar) serta hal-hal yang berkaitan dengannya. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan bagi kitab yang berjudul Lailatul Qadr: Ma’naha, Waqtuha, al-Du’a Fiha  (ليلة القدر معناها وقتها الدعاء فيها), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafizh Waliyuddin Ahmad bin Abdul Rahim bin al-Hasan al-‘Iraqi (762-826H). 

Manakala terjemahannya diusahakan oleh Ust. Akmal Haji Mhd. Zain. Buku ini diterbitkan oleh Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Terdapat dua naskhah buku ini dalam koleksi saya;
1)      Edisi cetakan 2001 (110 halaman).
2)     Edisi cetakan 2008 (94 halaman).

Kandungan buku ini..

Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada 8 bab, yang dimulai dengan kata penerbit, kata pengantar (penterjemah), prakata penerbit (edisi bahasa Arab) dan pendahuluan (penulis – Waliyuddin al-‘Iraqi). Berikut adalah isi kandungan buku ini;

1)   Perbezaan Pendapat Tentang Sebab Malam Itu Dinamakan Malam al-Qadr.
2)     Sebab Malam Itu Dinamakan Malam al-Qadr.
3)     Malam al-Qadr Keistimewaan Bagi Umat Muhammad saw.
4)     Malam al-Qadr Tetap Ada Hingga Hari Kiamat.
5)     Beberapa Pendapat Ulama Menentukan Malam al-Qadr.
6)     Tanda-Tanda Malam al-Qadr[1].
7)     Hikmat Merahsiakan Malam al-Qadr[2].
8)    Sifat Doa Pada Malam al-Qadr[3].

Kitab edisi bahasa Arabnya boleh dimuat turun di pautan ليلة القدر معناها وقتها الدعاء فيها. Kitab dalam bentuk file pdf ini merupakan salinan dari kitab yang diterbitkan oleh Maktabah al-Turath al-Islamiy, Kaherah-Mesir.

Semoga bermanfaat.



[1] Berdasarkan kitab edisi arabnya, bab 6 ini merupakan kandungan terakhir bagi kitab Lailatul Qadr, karya al-Hafizh Waliyuddin al-‘Iraqi (lihat Lailatul Qadr, hal.56). Manakala bab 7 dan bab 8 merupakan lampiran yang dicantumkan oleh pentahkik (Lihat Lailatul Qadr, hal. 57-60). Wallahu a’lam.
[2] Dipetik dari kitab Zadul Masir, karya Imam al-Jawzi (Jilid 9, hal. 189-190).
[3] Dipetik dari kitab Latha-if al-Ma’arif, karya Ibn Rajab al-Hanbali (hal. 219-220).

No comments:

Post a Comment