Tuesday, June 29, 2021

al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah

 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المواهب السنية بشرح المقدمة الحضرمية) merupakan sebuah karya fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami (1220-1270H).

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المقدمة الحضرمية) atau juga dikenali dengan judul Masa-ilal-Ta’lim (مسائل التعليم), iaitu sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). 

Kitab al-Mawahib al-Saniyyah telah diringkaskan sendiri oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan al-Daw’ani melalui karyanya yang berjudul Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim (بشرى الكريم بشرح مسائل التعليم). Perkara ini ada disebutkan oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan dalam pendahuluan kitab Busyra al-Karim. Menurut beliau ketebalan kitab Busyra al-Karim hampir separuh ketebalan kitab asalnya (al-Mawahib al-Saniyah ).

Kitab Busyra al-Karim ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Saniyyah, kerana ia telah dicetak dan diiterbitkan untuk bacaan dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu. Sedangkan kitab al-Mawahib al-Saniyyah, penulis sendiri belum mendapat maklumat kewujudannya ketika ini, sama ada dalam bentuk manuskrip maupun bentuk cetakan.

Berdasarkan kitab Busyra al-Karim yang diterbitkan (cetakan 1 - 2004/1425) oleh Dar al-Minhaj, ia dicetak dalam satu jilid dengan 718 halaman. Kitab ini dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di بشرى الكريم / بشرى الكريم.

Semoga bermanfaat.

Monday, June 28, 2021

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية)

 

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah (الفوائد المكية) atau judul lengkapnya al-Fawaid al-Makiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thabah al-Syafi’iyyah Mn al-Masail wa al-Dhawabith wa al-Qawa’id al-Kulliyyah (الفوائد المكية فيما يحتاجه طلبة الشافعية من المسائل والضوابط والقواعد الكلية ) merupakan sebuah karya yang berkaitan usul dan qawaid fiqh yang disusun oleh al-Imam al-Sayyid ‘Alawi bin Ahmad bin Abdur Rahman al-Saqqaf al-Syafi’i al Makkiy (1255H-1335H).

Kitab ini sangat diperlukan dan menjadi panduan para ulama dan penuntut ilmu dalam mazhab Syafi’i kerana padanya sangat banyak terkandung faedah-faedah bagi setiap hukum hakam dalam Islam. Dalam kitab ini juga penyusunnya membahaskan mengenai kewajipan menuntut ilmu serta adab adab yang wajib dipelihara.

Sayyid ‘Alawi al-Saqqaf kemudiannya telah meringkaskan kitab al-Fawaid al-Makiyyah ini dengan sebuah karya beliau yang berjudul Mukhtashar al-Fawaid al-Makkiyyah Fi Ma Yahtajuhu Thaolabat al-Syafi’iyyah ().

Kitab al-Fawaid al-Makiyyah boleh dimuat turun di pautan الفوائد المكية. Manakala kitab ringkasannya di pautan Mukhtashar al-Fawaid al-Makiyyah.

Semoga bermanfaat.

Sunday, June 27, 2021

al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif

 

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah Syarh Mukhtashar al-Lathif (الفوائد المرضية شرح المختصر اللطيف) merupakan sebuah karya fiqh Mazhab Syafi’I yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli (919-1004H).

Kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah ini disusun sebagai huraian bagi kitab Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف) , iaitu sebuah ringkasan fiqh yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami (850-918H).

Antara yang menjadi kekaguman kita terhadap kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah adalah ianya telah ditulis berdasarkan ingatan dan hafazan sahaja tanpa merujuk mana mana kitab. Imam Syamsuddin Ramli menyebut dalam muqadimah kitabnya;

و علقته من حفظي من غير مراجعة كتاب

Dibandingkan dengan kitab-kitab syarah yang lain, Imam Ramli menyatakan bahawa syarahan beliau ini adalah ringkas , tanpa diletakkan perbahasan yang rumit seperti perbezaan-perbezaan pendapat  ulama mengenai sesuatu perbahasan. Ianya sekadar menghuraikan lafaz matan dan menyempurnakan maksud yang dikehendaki dalam matan.

Salah seorang pengajar Fiqh Mazhab Syafi’i, Dr Labib Najib Abdullah telah melihat bahawa kurangnya mereka yang mentahqiq kitab al-Fawaid al-Mardhiyyah,  maka beliau telah berusaha mentahkik kitab ini dengan merujuk kepada 6 buah makhtutat (manuskrip) yang berada di Maktabah al-Ahqaf dan disempurnakan cetakannya.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Dhiya’, Kuwait pada tahun 2021, kandungan kitab ini merangkumi 256 halaman.

Sukacita juga dinyatakan bahawa muhaqiq kitab ini, Dr Labib Najib Abdullah telah mengadakan daurah kitab ini dan telah diletakkan di dalam youtube rakaman penuhnya. Daurah ini boleh diikuti di pautan  https://youtube.com/playlist...

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  الفوائد المرضية  (bukan terbitan Dar al-Dhiya').

Semoga bermanfaat.

Tuesday, June 15, 2021

Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha

 

Kitab Juz'un fi al-Tahni'ah fi al-A'yad wa Ghairiha (جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها) merupakan sebuah karya yang disusun oleh al-Hafiz Abu al-Fadhl Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani (773-852H). Beliau yang terkenal dengan julukan Ibnu Hajar al-'Asqalani ini adalah seorang ulama terkenal dalam bidang Hadis.

Kitab yang kecil ini mengandungi fatwa yang disusun oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai jawapan bagi persoalan yang berkaitan dengan ucapan tahniah ketika menyambut hari raya dan selainnya. Dalam kitab ini beliau mengeluarkan fatwa bahawa perkara tersebut adalah perkara yang masyru’ah (yang disyariatkan) dalam Islam. Fatwa ini muncul setelah beliau meneliti beberapa riwayat dan atsar dari para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in, serta pandangan para ulama mazhab yang empat. Semua riwayat dan pandangan para ulama yang menjadi penelitian dan rujukan beliau tersebut dihimpunkan dalam kitab ini.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Darul Basya-ir, Beirut (cetakan 1/2004), kandungan merangkumi 55 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan جزء في التهنئة في الأعياد وغيرها.

Semoga bermanfaat.

Friday, June 11, 2021

Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja

 

Kitab Ghayatul Muna Syarah Safinah al-Naja  ( غاية المنى بشرح سفينة النجا ) merupakan merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun Syeikh Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Ba ’Athiyyah ad-Du’ani al-Hadhrami.

Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Naja fi Ushul al-Din wa al-Fiqh ( سفينة النجا في اصول الدين والفقه ), iaitu sebuah karya al-'Allamah Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami (1271H). Ia merupakan sebuah huraian kitab Safinah al-Naja yang agak meluas berbanding kitab-kitab syarah sebelumnya.

Dalam kitab Ghayah al-Muna ini, bukan sahaja dihuraikan kandungan asal kitab Safinah al-Naja, bahkan ditambahkan huraian bagi beberapa permasalahan fiqh yang tidak disebutkan oleh penyusun kitab Safinah al-Naja. Berikut ialah pembahagian kandungan kitab ini;      

1.  Huraian bagi kandungan asal kitab Safinah al-Naja, yang meliputi Kitab bersuci, Kitab Solat, Kitab Jenazah dan Kitab Zakat.

2.  Huraian bagi Kitab Puasa; ia merupakan tambahan yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi ketika penyusunan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang berjudul Kasyifah al-Saja.

3.   Huraian bagi kitab Haji dan umrah, yang merupakan tambahan Syeikh Muhammad al-Du’ani sendiri bagi melengkapkan perbincangan mengenai bahagian ibadat. 

Kitab Ghayah al-Muna boleh dimuat turun di pautan http://bit.ly/Kitab-Ghoyatul-Muna-Syarah-Safinatun-Naja.

Semoga bermanfaat.