Kitab Ghayah
al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram (غاية المرام في تخريج أحاديث الحلال والحرام)
merupakan sebuah karya al-Muhaddits Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (),
seorang ulama hadis yang terkenal masa kini. Kitab ini disusun secara khusus bagi
meneliti status hadits-hadits yang dimuatkan oleh al-‘Allamah Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
di dalam karya beliau yang terkenal, iaitu kitab al-Halal wa al-Haram (الحلال والحرام).
Namun begitu, Syaikh
al-Albani bukan sekadar membuat penelitian terhadap hadis atau rujukan yang
digunakan oleh al-Qaradhawi, malahan telah membuat beberapa kritikan terhadap
beberapa pandangan al-Qaradhawi di dalam kitab tersebut[1].
Di antara yang dikritik hebat oleh Syaikh al-Albani adalah pandangan
al-Qaradhawi yang membolehkan umat Islam mendengar nyanyian dan muzik. Berkata
Syaikh al-Albani dalam kitab al-Ghayah al-Maram;
“ Penulis kitab itu
(maksudnya: al-Qaradhawi) hanyalah mengulang-ulang pendapat dengan mengutip
pandangan Ibn Hazm dan Ibn al-Arabi… padahal empat imam mazhab sepakat akan
keharaman nyanyian dan muzik. Sunnah yang shahih juga menguatkan akan
keharamannya. Oleh kerana itu, tidak sepatutnya seorang alim yang mulia
(maksudnya: al-Qardhawi) melakukan yang sebaliknya ”.
Penelitian Syaikh al-Albani
terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini telah disambut oleh Dr.
Yusuf al-Qaradhawi dengan gembira dan menerimanya dengan dada yang
lapang kerana hal ini menjadi suatu bukti penghargaan terhadap karya beliau
tersebut.
Jawapan al-Qaradhawi[2]
terhadap beberapa kritikan Syaikh al-Albani ini ada dijelaskan dalam
kitab Fatawa al-Mu’ashir (jilid 2), terbitan Darul
Wafa, Manshurah, cetakan ke-2, 1414H/1993M, halaman (97-107), atau boleh dibaca
petikannya di pautan; http://agungwi.files.wordpress.com/2012/05/komen-atas-takhrij-halal-dan-haram.pdf.
Kitab Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa
al Haram, karya Syaikh al-Albani ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/WAQ6102/6102.pdf.
Semoga bermanfaat.
[1] Mengenai
perkara ini, berkata al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir-nya; “ Syaikh al-Albani tidak hanya ahli hadits,
hanya mentakhrij hadits dan menetapkan kedudukannya, menshahihkan, dan
melemahkannya, kemudian selesai peranannya. Tetapi, beliau adalah seorang tokoh
yang memiliki banyak pandangan dan fiqihnya yang tersendiri. Hal ini dapat
dilihat dalam takhrij-nya, sehingga mau tidak mau mempengaruhi pendapat beliau
dalam masalah hadits yang di-takhrij-nya itu, seperti komentar beliau terhadap
pendapat penulis yang beliau anggap kuat dan beliau setujui, atau beliau
mengganggap pendapat beliau yang lebih kuat (yang berbeda dengan pendapat
penulis). Misalnya terhadap masalah “nyanyian dengan alat muzik dan tanpa
alat muzik”. Keterlibatan beliau dalam masalah ini lebih dekat kepada
peranan ahli fiqh daripada ahli hadits. Lihat - Fatawa al-Mu’ashir, hal. 107.
[2] Bagi menanggapi secara
khusus kritikan al-Albani terhadap tulisan beliau mengenai “ nyayian
dan muzik ” dalam kitab al-Halal wa al-Haram tersebut, al-Qaradhawi telah
menyusun sebuah kitab khusus mengenainya, dengan karya beliau yang berjudul
“ Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi ala Dhaw’ al-Quran wa al-Sunnah ” (Hukum Nyanyian dan Muzik menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah). Buku setebal 255
halaman itu dilengkapi dengan pandangan para sahabat, tabi’in, tabi’
at-tabi’in, dan imam mazhab terhadap nyanyian dan muzik.
Pada bagian penutup buku, al-Qardhawi menuliskan daftar karya-karya ulama
tentang nyanyian dan musik, mulai dari ulama terdahulu sampai ulama masa kini.
Karya al-Qaradhawi itu diterbitkan oleh penerbit Maktabah Wahbah di Kaherah, Mesir.
Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul “ Menempatkan
Lagu & Musik Dalam Timbangan Quran Dan Sunnah ”. Ia diterbitkan
oleh Media Insani.
No comments:
Post a Comment