Wednesday, February 19, 2020

Tafsir Pedoman Muttaqin


Tafsir Pedoman Muttaqin ialah sebuah kitab tafsir dalam bahasa Melayu kontemporari yang disusun oleh Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor (1947-). Beliau adalah salah seorang cendikiawan muslim termuka di Malaysia.

Tafsir ini ditulis sebagai kesinambungan kepada tafsir Pimpinan al-Rahman yang telah dirintis sebelumnya dan bertujuan untuk menjadi pedoman kepada umat Islam setelah mendapat bimbingan daripada tafsir Pimpinan al-Rahman. Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin bermula dengan saranan daripada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam pertemuan beliau dengan ulama yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putra Jaya pada 3 Oktober tahun 2006. Perdana menteri memberi pandangan dan menyarankan agar interpretasi terhadap isi kandungan al-Quran perlu sentiasa dinamik sejajar dengan keunggulan Islam. Berdasarkan saranan tersebut, kajian dan beberapa sesi perbincangan pun dilakukan yang akhirnya JAKIM memberikan mandat kepada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor untuk menyusun kitab tafsir sebagai pedoman kepada ummah dan demi ketinggian Islam di Malaysia.

Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin masih dalam peroses penyusunan. Setakat maklumat yang diperolehi – hingga kini ia telah diterbitkan sebanyak 8 juzuk, iaitu juzuk 1, 2, 3, 4. 5 dan 6, serta juzuk 28 dan 29.

Penerbitan pertama Tafsir Pedoman Muttaqin juzuk 1 dan 2 pada tahun 2008 oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Manakala terbitan keduanya pada tahun 2010 oleh penerbit yang sama. Begitu juga penerbitan juzuk 3, 4, 5 dan 6  telah diterbitkan oleh pihak JAKIM (tahun penerbitannya –belum diperolehi).

Sementara itu, juzuk 28 dan 29 telah diterbitkan oleh Utusan Pulications lebih awal sebelum penerbitan juzuk 1 dan 2, iaitu juzuk 28 pada tahun 2003 dan juzuk 29 pada tahun 2005. Tafsir ini akan diterbitkan sebanyak 30 juzuk yang penerbitan terakhirnya dijangka pada tahun 2022.

Metodologi Penyusunan Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin.

Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan rumi. Pengarang memulakan tafsirannya dengan mengemukakan sinopsis setiap surah yang akan ditafsirkan. Tafsiran surah biasanya diawali dengan penjelasan nama surah, masa nuzulnya serta munasabah antara surah dengan surah sebelum mahupun surah sesudahnya. Kemudian mengemukakan ikhtisar atau makna yang dikandung oleh setiap surah secara umum, dan pada akhir kupasan kelompok ayat yang ditafsirkan pengarang menyertakan saranan dan pengajaran sebagai intisari daripada ayat yang baru ditafsirkan. Pengarang dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Qur‟an menggunakan pendekatan Ma’thur dan Ma’qul. Pendekatan Ma’thur bermaksud menjelaskan makna ayat al-Quran dan menghuraikannya dengan ayat al-Quran, sunnah yang sahih, pendapat para sahabat dan tabi’in. Namun pentafsiran al-Quran berdasarkan pendapat tabi’in, para ulama berbeza pendapat. Sesetengah ulama mengatakan tidak termasuk dalam kategori Tafsir Bi al-Ma’thur tetapi ia digolongkan kepada Tafsir Bi al-Ra’y. Manakala Tafsir Bi al-Ra’y bermaksud usaha pentafsiran al-Quran secara rasional berpandukan kepada kaedah Bahasa Arab yang mesti diketahui oleh setiap mufassir sebelum menjelaskan maksud al-Quran. Seperti ilmu nahwu dan saraf, ilmu balaghah, ilmu qira‟at, ilmu usul al-din, usul al-fiqh, dan lain sebagainya. Pentafsiran seperti ini juga turut digunapakai oleh  Dr. Abdul Hayei dalam Tafsir Pedoman Muttaqin. Dalam Tafsir Pedoman Muttaqin ini, Dr. Abdul Hayei mentafsirkan ayat secara kelompok yang berasingan. Kemudian mentafsirkan ayat-ayat tersebut satu demi satu selepas mengemukakan munasabah dengan kelompok ayat sebelumnya dan mengemukakan sabab al-nuzul jika ada. Seterusnya, pada akhir pentafsiran pengarang mengemukakan saranan dan pengajaran sebagai intisari daripada kandungan ayat yang baru sahaja ditafsirkan. Dalam menghuraikan ayat pula pengarang mengambil kira pandangan para ulama silam dan semasa seperti Muhammad bin Jarir al-Tabari (w. 310 H), Sayyid Qutub (1906-1966 ), Wahbah al-Zuhayli (1937-2015) dan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (1911-1998).

Bagi memudahkan para pembaca, pengarang meletakkan beberapa tajuk khas berdasarkan kandungan ayat yang akan ditafsirkan. Kemudian mengemukakan fahrasat Hadith, athar dan syair yang dibawakan dalam pentafsiran pada akhir kitab setiap juzuk. Inilah di antaranya keistimewaan Tafsir Pedoman Muttaqin berbanding dengan kitab tafsir lain.

Berkenaan dengan penulisan hadith, hadith-Hadith dalam Tafsir Pedoman Muttaqin dinyatakan dalam pelbagai bentuk. Sebahagian hadith dinyatakan dengan mengemukakan sanad dan takhrijnya secara ringkas berkenaan dengan nama pengarang, kitab, bab dan nombor hadith. Sebahagian Hadith pula dinyatakan nama mukharrij tanpa sanad dan ada juga hadith dinyatakan dengan matan sahaja tanpa sanad dan mukharrij. Kajian mendapati, hadith-Hadith yang dinyatakan oleh pengarang tidak semuanya dalam kategori maqbul tetapi ada yang mardud. Walau bagaimanapun, kitab Tafsir Pedoman Muttaqin adalah kitab tafsir yang baik dan sewajarnyalah ia dimiliki oleh setiap muslim khususnya di Nusantara, kerana penjelasannya bersifat ilmiah, mudah difahami oleh masyarakat awam serta menyentuh perbahasan isu semasa yang relevan dengan cabaran dan situasi umat Islam masa kini. Apa yang lebih penting ialah tafsir ini tidak hanya dibanggakan dengan huraiannya yang menarik tetapi juga isi kandungan dan pesan-pesannya mesti dijadikan pedoman hidup seseuai dengan namanya.

Sebahagian besar artikel di atas dipetik dengan beberapa pengubahsuaian dari artikel di pautan http://studentsrepo.um.edu.my/5246/4/BAB_III.pdf.   Semoga bermanfaat.

2 comments:

  1. assalam , boleh ke sy nak interviu

    ReplyDelete
  2. msg sy jk bersetuju, mariamdnayan@gmail.com kerana sy sedang menjalankn kajian ttg arwah Dr Hayei... hrp sngt dapat membantu, terima kasih

    ReplyDelete