Showing posts with label Tanwir al-Hija. Show all posts
Showing posts with label Tanwir al-Hija. Show all posts

Wednesday, January 6, 2021

Tanwir al-Hija Nazhm Safinah al-Naja

Kitab Tanwir al-Hija Nahm Safinah al-Naja (تنوير الحجا نظم سفينة النجا) merupakan sebuah karya  fiqh mazhab Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam. 

Kitab ini disusun oleh Syeikh al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq bin Abdullah al-Lasemi al-Fasuruani al-Jawi berdasarkan kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا), iaitu sebuah matan fiqh yang disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H). Nazam ini selesai disusun pada tahun 1343H.

Dalam menyusun kitab ini Syeikh Ahmad al-Fasuruani telah membuat beberapa penambahan yang bermanfaat. Beliau telah memulai kitab ini dengan muqaddimah ilmu Tauhid dan diikuti di akhir kitab dengan bab puasa, haji, umrah dan ditutup dengan beberapa nasihat.

Kitab Tanwir al-Hija ini telah diberikan huraian (syarah) oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Husain al-Maliki al-Makki (1287-1368H), iaitu  seorang ulama dan mufti mazhab Maliki di Makkah al-Mukarramah - yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama, melalui karyanya yang berjudul Inarah al-Duja Syarh ‘ala  Tanwir al-Hija Syarh Safinah al-Naja (انارة الدجى شرح على تنوير الحجا نظم سفينة النجا).

Kitab Tanwir al-Hija boleh dimuat turun di pautan https://drive.google.com/file/d/0B1IHCzo63G05VmMyc2QzdXFpa3c/view?usp=drivesdk

Semoga bermanfaat.

Friday, January 1, 2021

Inarah al-Duja Syarh ‘ala Tanwir al-Hija


Kitab Inarah al-Duja Syarh ‘ala  Tanwir al-Hija Syarh Safinah al-Naja (انارة الدجى شرح على تنوير الحجا نظم سفينة النجا) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang unik kerana ia disusun oleh Syeikh Muhammad bin Ali bin Husain al-Maliki, iaitu  seorang ulama mazhab Maliki yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama. Beliau juga sangat ter­pandang dalam bidang ilmu bahasa dan sastra Arab. Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 1287 H/1870 M) dan meninggal dunia tahun 1368 H (1948 M). Puncak kemasyhurannya adalah ketika beliau diangkat sebagai Mufti Mazhab Maliki di kota suci Makkah a1-Mu­karramah.

Kitab Inarah al-Duja ini disusun oleh Syeikh Muhammad Ali al-Maliki sebagai huraian (syarah) bagi kitab  Tanwir al-Hija Nazhm Safinah al-Naja (تنوير الحجا نظم سفينة النجا), iaitu sebuah karya  fiqh dalam bentuk nazam yang disusun oleh Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Lasemi al-Fasuruani berdasarkan kitab Safinah al-Naja (سفينة النجا). Oleh itu, secara tidak langsung kitab Inarah al-Duja ini merupakan huraian bagi kitab Safinah al-Naja, yang asalnya disusun oleh Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (1271H)

Menurut Syeikh Muhammad Ali al-Maliki,  nazam Safinah al-Naja berjudul Tanwir al-Hija ini telah menjadi hafalan di kalangan kanak-kanak dan para pelajar bangsa Melayu (Jawi). Beliau telah diminta oleh penyusun nazam (Syeikh Ahmad al-Fasirwani) agar menyusun sebuah huraian (syarah) bagi nazam tersebut sebagai penjelasan yang bermanfaat bagi para pelajar permulaan (mubtadi’). Judul asal yang diberikan oleh beliau bagi huraian ini ialah Inarah al-Duja bi Tanwir al-Hija bi Nazhm Safinah al-Naja (انارة الدجى بتنوير الحجا بنظم سفينة النجا).

Sekadar maklumat yang diperolehi kitab Inarah al-Duja ini pernah dicetak dengan cetakan kali keduanya pada tahun 1959 di Mesir oleh Syarikat wa Matba`at Mustafa Baba al-Halabi.

Semoga bermanfaat.