Showing posts with label fiqh wanita. Show all posts
Showing posts with label fiqh wanita. Show all posts

Friday, March 29, 2019

Indahnya Hidup Wanita Bersyariat


Buku Indahnya Hidup Wanita Bersyariat merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh yang menghimpunkan huraian para ulama mengenai berbagai permasalahan hukum berkaitan dengan kehidupan harian wanita. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan kerana hampir keseluruhan aspek kehidupan wanita disentuh dengan terperinci serta berlandaskan dengan dalil-dalil yang sahih dan tepat. 

Buku ini diterbitkan oleh Crescent News, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2013. Ia diterbitkan dalam satu jilid setebal 1199 halaman.


Beberapa catatan mengenai buku ini.

Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam buku ini, penyusunnya adalah Fatimah Hj Omar dan Syawana Aziz. Ia tidak menyebutkan buku ini sebagai edisi terjemahan dan tidak menyertakan nama pengarang asalnya.

Sekadar makluman, saya telah membuat perbandingan isi kandungan buku Indahnya Hidup Wanita Bersyariat ini dengan kandungan sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim, yang berjudul Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ (فقه السنة للنساء) atau judul lengkapnya Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ wa Ma yajibu an Ta’rifahu kullu Muslimah min Ahkam (فقه السنة للنساء وما يجب أن تعرفه كل مسلمة من أحكام).

Saya dapati isi kandungannya adalah sama dan dipastikan ia adalah terjemahan bagi kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ karya Abu Malik Kamal ini. Isi kandungannya meliputi hampir semua kandungan kitab asalnya, hanya bab pewarisan, iaitu bab terakhir dan muqaddimah pengarang serta kata penutup pengarang kitab asalnya tidak lampirkan. Pengubahsuaian bab juga dilakukan, dengan memecahkan sebahagian bab asalnya kepada beberapa bab yang baru. Beberapa nota kaki yang disediakan oleh pengarang yang terdapat dalam kitab asalnya juga dikekalkan dalam buku ini.

Semoga bermanfaat

Monday, March 21, 2016

Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’


Kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’  (فقه السنة للنساء) atau judul lengkapnya Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ wa Ma yajibu an Ta’rifahu kullu Muslimah min Ahkam (فقه السنة للنساء وما يجب أن تعرفه كل مسلمة من أحكام) adalah sebuah karya fiqh susunan Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim.

Kandungannya memuatkan penjelasan mengenai fiqh wanita secara lengkap, dengan bahasa yang mudah difahami. Ia disusun dalam bentuk yang amat padat dan ringkas tetapi penuh dengan nilai-nilai yang ilmiah. Sebuah buku yang baik untuk para wanita khususnya dan umat Islam umumnya. Permasalahan fiqh dalam kitab ini dibentangkan tanpa mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi mengikut pendapat yang dianggap sahih oleh penyusunnya berdasarkan penelitian beliau terhadap dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam pendahuluan kitab ini, Syaikh Abu Malik Kamal menerangkan kaedah penyusunan karya beliau ini;

“ Kami telah berusaha semaksimal mungkin untuk menyajikan buku ini dengan metod yang sesuai dengan para muslimah masa kini. Saya mudahkan gaya bahasanya dan saya perjelaskan pelbagai permasalahan mengikut kemampuan saya dengan tetap menjaga kedalaman fiqh serta pelbagai kaedah yang berlaku dalamnya. Saya cukupkan hanya dengan menyebutkan dalil dari al-Quran dan al-Sunnah untuk setiap permasalahan dan di kebanyakan kesempatan saya tidak menyebutkan perbezaan pendapat yang berlaku, dan merasa cukup dengan pendapat yang memiliki dalil yang lebih kuat…… Namun begitu, terkadang kami menyebutkan juga beberapa perbezaan yang berlaku  dengan tujuan agar paa pelajar dapat mengetahui bahawa dalam masalah tertentu ada pendapat lain selain pendapat yang saya anggap kuat.. …”

Antara tajuk-tajuk utama yang terlibat di dalam perbahasan dalam buku ini adalah sekitar isu-isu asas seperti thaharah (bersuci), solat, pengurusan jenazah, zakat, puasa, umrah dan haji, sehinggalah kepada persoalan-persoalan fiqh yang lainnya termasuk persoalan nazar & sumpah, makanan & minuman, udhiyah (korban), pakaian & perhiasan, pernikahan, penceraian dan perwarisan.

Kitab ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2001 oleh Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah dalam satu jilid.


Terjemahan kitab ini

Di sini, saya hanya ingin menyebutkan dua versi terjemahan kitab ini yang ada dalam koleksi saya, iaitu satu dalam bahasa Indonesia dan satu lagi dalam bahasa Malaysia.


      a)     Ensiklopedi Fiqih Wanita

Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta dengan cetakan pertamanya pada tahun 2006. Manakala edisi yang saya miliki adalah dari cetakan ke enam pada tahun 2012. Buku ini merupakan terjemahan lengkap daripada kitab asalnya, iaitu terbitan Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah pada tahun 2001. Edisi terjemahan ini merangkumi keseluruhan kandungan kitab asalnya, termasuk kata pengantar dari beberapa orang ulama mengenai kandungan buku dan muqaddimah pengarangnya. Buku ini diterbitkan dalam dua jilid. Jilid pertama setebal 528 halaman, manakala jilid kedua setebal 518 halaman.


      b)     Indahnya Hidup Wanita Bersyariat

Buku ini diterbitkan oleh Crescent News, Selangor dengan cetakan pertamanya pada tahun 2013. Ia diterbitkan dalam satu jilid setebal 1199 halaman. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam buku ini, penyusunnya adalah Fatimah Hj Omar dan Syawana Aziz. Ia tidak menyebutkan buku ini sebagai edisi terjemahan dan tidak menyertakan nama pengarang asalnya.

Saya telah membuat perbandingan isi kandungannya dengan kitab asal  yang berbahasa Arab dan terjemahannya dalam bahasa Indonesia, saya dapati  kandungannya adalah sama dan dipastikan ia adalah terjemahan bagi kitab Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ karya Abu Malik Kamal ini. Isi kandungannya meliputi hampir semua kandungan kitab asalnya, hanya bab pewarisan, iaitu bab terakhir dan muqaddimah pengarang serta kata penutup pengarang kitab asalnya tidak lampirkan. Pengubahsuaian bab juga dilakukan, dengan memecahkan sebahagian bab asalnya kepada beberapa bab yang baru. Beberapa nota kaki yang disediakan oleh pengarang yang terdapat dalam kitab asalnya juga dikekalkan dalam buku ini.

Semoga catatan ini bermanfaat.

Sunday, March 13, 2016

al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah


Kitab al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyah (المفصل في أحكام المرأة و البيت المسلم في الشريعة الإسلامية) merupakan sebuah kitab fiqh semasa yang disusun oleh seorang tokoh ulama fiqh dan pemikir Islam terkenal yang berasal dari negara Iraq, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan (1917-2014). Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan telah meninggal dunia pada 27 Januari 2014 di bandar San’aa’, ibu negara Yaman.

Sebagaimana judulnya, kitab fiqh ini membincangkan permasalahan hukum yang khusus tentang fiqh wanita. Kalau kita telurusi lebih mendalam, sebenarnya kitab ini merupakan karya ilmu fiqh yang cukup lengkap, mulai dari urusan thaharah (bersuci) sampai urusan yang paling luas seperti pentadiran negara, jihad dan seterusnya.

Uniknya, berbeza dengan kaedah penyusunan  buku-buku  pada umumnya, kandungan buku ini dibuat dengan sistem nombor yang berurutan pada setiap sub judul atau sub pembahasan. Mulai dari jilid satu sampai jilid terakhir iaitu jilid 11, nombor-nombor itu terus disusun berurutan.

Pada jilid terakhir, kita akan menemukan nombor itu berjumlah 13,009. Hal itu bererti ada tiga belas ribuan nombor sub pembahasan dalam 11 jilid kitab ini. Yang sedikit berbeza lainnya adalah setiap memulai sub pembahasan baru, penulis tidak memulai dari definisi secara etimologi dan terminologi seperti umumnya tulisan ilmiyah, melainkan justru memulai dari ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang terkait dengan tema pembahasan. Kemudian dilanjutkan dengan mencantumkan kutipan dari kitab-kitab tafsir yang muktamad, dan diikuti dengan pendapat-pendapat para ulama fiqh yang muktamad yang dikutip dari kitab-kitab mereka.

Kitab al-Mufashshal ini yang diterbitkan oleh Muassasah al-Risalah dengan cetakan pertamanya pada tahun 1993 boleh dimuat turun melalui pautan berikut; http://waqfeya.com/book.php?bid=2676. Semoga bermanfaat.