Kitab Tashil Nail al-Amani (تسهيل نيل الأماني ) adalah sebuah karya
al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (1856-1908M).
Judul lengkapnya ialah Tashil Nail al-Amani fi Syarh ‘Awamil al-Jurjani (تسهيل نيل الأماني في شرح عوامل الجرجاني)
atau dinamakan juga dengan Tasrih al-Ghawamil fi Syarh al-‘Awamil (تسريح الغوامل فى شرح العوامل)[1].
Kitab ini telah ditulis dalam bahasa Arab dan penulisannya telah selesai pada
hari Isnin 12 Rabiul Awal 1300 Hijriah bersamaan dengan 12 Januari 1883 Masihi
di Mekah.
Kitab ini membicarakan tentang ilmu nahu dan merupakan
huraian kepada Matn al-Awamil (متن العوامل)[2]
karya al-Imam Majdul Islam Abu Bakr ‘Abd al-Qahir bin Abdul Rahman bin Muhammad
al-Jurjani al-Syafi’i (471H/474H). Sehingga ke hari ini, kitab ini telah
diajarkan sama ada di dunia Melayu atau dalam negeri-negeri Arab. Ia telah
diulang cetak sehingga beratus kali oleh pelbagai percetakan baik di Asia
Tenggara ataupun di Timur Tengah.
Cetakan awal kitab ini mempunyai dua versi iaitu;
a) Versi yang tidak lengkap (tiada nota kaki dan nota
sisinya). Di antara edisi cetakannya ialah cetakan dari Matba‘ah al-Bahiyyah,
Mesir pada Muharram 1301H dengan ukuran 28 cm x 19.5 cm, tebalnya sebanyak 48
halaman.
b) Versi yang
mempunyai nota lengkap. Di mana, dari halaman pertama hingga halaman terakhir
dipenuhi dengan catatan-catatan nota kaki dan nota sisi. Di antara edisi
cetakannya ialah dari Matba‘ah al-Miriyyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1317H,
dengan ukuran 27.5 cm x 17 cm dan tebalnya sebanyak 48 halaman. Kitab ini
dicetak atas perbelanjaan Shaykh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Seterusnya
cetakan Matba‘ah al-Taraqi al-Majidiyyah al-‘Uthmaniyyah, Mekah pada 1331H,
dengan ukuran 27.5 cm x 19.5 cm dan tebalnya sebanyak 44 halaman yang juga
merupakan atas perbelanjaan Shaykh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki.
Sejak cetakan pertamanya pada tahun 1301 H/1883 M oleh
Matba‘ah al-Bahiyyah, Mesir pada Muharram 1301H sehingga kini, kitab ini masih dicetak terus oleh pelbagai percetakan
termasuk beberapa percetakan di Surabaya, Bandung, Singapura, Pulau Pinang,
Patani, Bangkok, dan lain-lain.
Kitab ini telah mendedahkan mengenai sejarah pengajian
ilmu nahu (Arab) di dunia Melayu. Kitab ini diajar pada peringkat pertengahan
dalam pengajian bahasa Arab yang telah mengenali ilmu-ilmu nahu dan perlu
menghafalnya sebelum memulakan pengajian kitab Matn al-Ajrumiyyah. Kitab ini
juga telah menjadi rujukan dan kajian para ulama terkemudian dalam ilmu nahu.
Catatan di atas adalah dipetik dan diubahsuai dari artikel SUMBANGAN SHAYKH AHMAD AL-FATHANI (1856-1908M) TERHADAP ILMU NAHU, oleh Diyak Ulrahman bin Mat
Saad dan Muhammad Faiz Mukmin bin Abdul Mutalib.
Kitab
Tashil Nail al-Amani ini boleh dimuat turun di pautan تسهيل نيل الأماني
atau terus di pautan تسهيل نيل الأماني في شرح عوامل الجرجاني.
[1] Ini adalah judul asal yang
diberikan oleh Syaikh Ahmad al-Fathani dalam muqaddimah kitab ini. ( Tashil
Amani, hal. 4, cetakan Mathba’ah Ben
Halabi, Thailand).
[2] Kitab ini juga dikenali
sebagai al-‘Awamil al-Mi-ah (العوامل المئة). Ia boleh dimuat turun di pautan العوامل المئة.
Terjemah kitab tashil nailal amani
ReplyDeleteMukaddimah
ReplyDelete