Wednesday, July 25, 2018

TASHIL NAIL AL-AMANI (تسهيل نيل الأماني)


Kitab Tashil Nail al-Amani (تسهيل نيل الأماني ) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (1856-1908M). Judul lengkapnya ialah Tashil Nail al-Amani fi Syarh ‘Awamil al-Jurjani (تسهيل نيل الأماني في شرح عوامل الجرجاني) atau dinamakan juga dengan Tasrih al-Ghawamil fi Syarh al-‘Awamil (تسريح الغوامل فى شرح العوامل)[1]. Kitab ini telah ditulis dalam bahasa Arab dan penulisannya telah selesai pada hari Isnin 12 Rabiul Awal 1300 Hijriah bersamaan dengan 12 Januari 1883 Masihi di Mekah.

Kitab ini membicarakan tentang ilmu nahu dan merupakan huraian kepada Matn al-Awamil (متن العوامل)[2] karya al-Imam Majdul Islam Abu Bakr ‘Abd al-Qahir bin Abdul Rahman bin Muhammad al-Jurjani al-Syafi’i (471H/474H). Sehingga ke hari ini, kitab ini telah diajarkan sama ada di dunia Melayu atau dalam negeri-negeri Arab. Ia telah diulang cetak sehingga beratus kali oleh pelbagai percetakan baik di Asia Tenggara ataupun di Timur Tengah.

Cetakan awal kitab ini mempunyai dua versi iaitu;

a)  Versi yang tidak lengkap (tiada nota kaki dan nota sisinya). Di antara edisi cetakannya ialah cetakan dari Matba‘ah al-Bahiyyah, Mesir pada Muharram 1301H dengan ukuran 28 cm x 19.5 cm, tebalnya sebanyak 48 halaman.

b)  Versi yang mempunyai nota lengkap. Di mana, dari halaman pertama hingga halaman terakhir dipenuhi dengan catatan-catatan nota kaki dan nota sisi. Di antara edisi cetakannya ialah dari Matba‘ah al-Miriyyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1317H, dengan ukuran 27.5 cm x 17 cm dan tebalnya sebanyak 48 halaman. Kitab ini dicetak atas perbelanjaan Shaykh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Seterusnya cetakan Matba‘ah al-Taraqi al-Majidiyyah al-‘Uthmaniyyah, Mekah pada 1331H, dengan ukuran 27.5 cm x 19.5 cm dan tebalnya sebanyak 44 halaman yang juga merupakan atas perbelanjaan Shaykh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki.

Sejak cetakan pertamanya pada tahun 1301 H/1883 M oleh Matba‘ah al-Bahiyyah, Mesir pada Muharram 1301H sehingga kini, kitab ini  masih dicetak terus oleh pelbagai percetakan termasuk beberapa percetakan di Surabaya, Bandung, Singapura, Pulau Pinang, Patani, Bangkok, dan lain-lain.

Kitab ini telah mendedahkan mengenai sejarah pengajian ilmu nahu (Arab) di dunia Melayu. Kitab ini diajar pada peringkat pertengahan dalam pengajian bahasa Arab yang telah mengenali ilmu-ilmu nahu dan perlu menghafalnya sebelum memulakan pengajian kitab Matn al-Ajrumiyyah. Kitab ini juga telah menjadi rujukan dan kajian para ulama terkemudian dalam ilmu nahu.

Catatan di atas adalah dipetik dan diubahsuai dari artikel SUMBANGAN SHAYKH AHMAD AL-FATHANI (1856-1908M) TERHADAP ILMU NAHU, oleh Diyak Ulrahman bin Mat Saad dan Muhammad Faiz Mukmin bin Abdul Mutalib. 

Kitab Tashil Nail al-Amani ini boleh dimuat turun di pautan تسهيل نيل الأماني atau terus di pautan تسهيل نيل الأماني في شرح عوامل الجرجاني.



[1] Ini adalah judul asal yang diberikan oleh Syaikh Ahmad al-Fathani dalam muqaddimah kitab ini. ( Tashil Amani,  hal. 4, cetakan Mathba’ah Ben Halabi, Thailand).

[2] Kitab ini juga dikenali sebagai al-‘Awamil al-Mi-ah (العوامل المئة). Ia boleh dimuat turun di pautan العوامل المئة.

No comments:

Post a Comment

Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha (بهجة النفوس وغايتها)

Kitab Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha [1] bi Ma'rifati Ma Laha wa 'Alaiha ( بهجة النفوس وغايتها بمعرفة ما لها وما عليها ) merupa...