Monday, July 30, 2018

FIQH HADIS


Buku Fiqh Hadis merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, dengan cetakan pertamanya pada Julai 2017. Ketebalan buku ini, merangkumi 218 halaman, tidak termasuk halaman kata penerbit (8 halaman) dan kata pengarang (18 halaman).

Isi kandungan buku ini didahului oleh dua kata pengantar, iaitu; (a) Kata Penerbit: Mengeluarkan Hukum Daripada Sumbernya dan (b)  Kata Pengarang; Fiqh Hadis - 10 Kaedah Asas Menilai dan Memahami Hadis.

Kemudian diikuti dengan kandungan utama buku ini yang dibahagikan kepada 5 bab, iaitu; Bab 1:  Akidah (8 tajuk), Bab 2: Kenabian (6 tajuk), Bab 3: Ibadah (22 tajuk), Bab 4: Muamalat (4 tajuk) dan Bab 5: Umum (11 tajuk). Setiap tajuk dibentangkan dengan kaedah soal jawab. Di mana setiap tajuk dimulai dengan satu persoalan yang berkaitan dengan kandungan sesuatu hadis , yang kemudiannya diberikan penjelasan atau jawapannya berdasarkan pandangan para ulama. Pada akhir penjelasan tersebut pengarang menyatakan pandangan yang ditarjihkannya.

Untuk maklumat seterusnya mengenai kandungan buku ini, berikut dilampirkan petikan kata pengantar pengarangnya;

Dalam buku ini, anda akan didedahkan kepada satu hakikat yang hanya disedari oleh pengkaji ilmi hadis – menilai status hadis dan memahami kandungannya menuntut ketelitian yang tinggi. Selain ketelitian, seorang pengkaji harus memiliki kesabaran. Perbincangan ilmu ini tidak semudah “ Hadis ini sahih, justeru hukumnya sunat”, atau “Hadis ini palsu, justeru hukumnya haram”, dan yang seumpamanya. Anda akan melihat bahawa terkadang sebuah hadis yang menyebutkan sesuatu hukum dinilai lemah, namun hukum perbuatan yang berkenaan sunat. Ataupun sebaliknya, hadis yang berkenaan sahih namun hukum yang terkandung di dalamnya tidak boleh di amalkan. Justeru, pengkaji hadis tidak boleh terburu-buru merumuskan sesuatu kesimpulan sebelum menyemak pelbagai aspek yang berkaitan.

Andai juga akan melihat kepelbagaian pendapat dalam diskusi. Sebuah hadis yang disahihkan oleh seseorang tokoh, terkadang dilemahkan oleh tokoh yang lain. Juga hadis yang dilemahkan seorang tokoh dinilai sahih oleh yang lain. Perselisihan pendapat tersebit bukan hanya berlaku antara tokoh hadis yang hidup dalam generasi yang sama, namun turut berlaku antara tokoh yang dipisahkanoleh zaman yang berbeza dan generasi yang berbeza. Dalam perkara ini, saya selalu mentarjihkan pandangan pakar hadis terdahulu kerana ketinggian ilmu mereka. Walau setinggimana keilmuan ahli hadis moden, mereka tidak dapat mencapai hafalan dan kepakaran ahli hadis terdahulu.

Selain itu, perbezaan pendapat turut berlaku dalam mentafsirkan landungan hadis. Diskusi dalam perkara ini melibatkan para ulamadari kalangan ahli fiqh dan ahli kalam daripada pelbagai aliran dan mazhab. Sebagaimana perbincangan tentang status hadis, kepelbagaian turut terlihat dalam diskusi tentang interprestasi kandungan hadis.  Fenomena ini akan membuka minda dan meluaskan pandangan

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

al-Muhimmat Fi Syarh al-Rafi'i wa al-al-Rawdhah (المهمات في شرح الرافعي والروضة)

Kitab al-Muhimmat Fi Syarh al-Rafi'i wa al-al-Rawdhah ( المهمات في شرح الرافعي والروضة ) adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Sy...