Monday, July 23, 2018

Suluh Mathla‘ul-Badrain (سولوه مطلع البدرين) (سولوه مطلع البدرين)


Kitab Suluh Mathla‘ul-Badrain (سولوه مطلع البدرين) merupakan sebuah karya al-Ustaz Haji Abdul Ghani bin Yahya[1], iaitu salah seorang murid kepada al-‘Allamah Syaikh Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali (1868 – 1933).

Kitab ini disusun sebagai  kamus  khusus  terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu bagi kitab Mathla‘ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain () karya al-’Alim al-’Allamah Syaikh Wan Muhammad bin Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani (), atau dikenali sebagai Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani di kalangan orang Melayu di Mekah. Beliau adalah cucu saudara kepada al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Kitab Mathla‘ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain  pernah dijadikan teks pengajian ilmu fiqh sekolah-sekolah agama di negeri Johor. Kerana kitab Mathla‘ al-Badrain terlalu banyak diajarkan terutama dalam kerajaan Johor, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus terjemahan kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, Ustaz Haji Abdul Ghani telah menyahut anjuran ini dengan menyusun kitab Suluh Mathla‘ul Badrain ini mulai pada 1 Oktober 1941 M di Johor Baharu. Kamus ini dapat membantu pelajar dalam memahami perkataan-perkataan atau istilah-istilah yang terdapat di dalam kitab Matla’ al-Badrain. Sebagai makluman, di antara kitab-kitab Melayu (Jawi) hanya kitab Mathla’ al-Badrain sahaja yang diketahui menpunyai kamus kosa kata dan istilahnya.

Kitab ini banyak kali diterbitkan dan di antara terbitan yang agak akhir adalah pada tahun 1988 oleh Pustaka Hussein No. 9, Jalan Sisi, 84000, Muar Johor.

Sekadar ini saja maklumat yang diperolehi mengenai kitab ini. Diharap pembaca boleh kongsi maklumat yang lebih lanjut mengenainya. Semoga bermanfaat.




[1] Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya adalah seorang ulama Johor yang menghasilkan beberapa karangan di antaranya ialah Risalah at-Tauhid, Suluh Mathla’ al-Badrain, Cahaya Mustika Qaidah Membahagi Pusaka, Pelajaran Tasawuf Darjah V Bagi Murid-Murid Sekolah Agama Kerajaan Johor dan lain-lain. (Petikan dari artikel " Haji Muhammad Lip: Pengasas Pondok Ribath " oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah 

No comments:

Post a Comment