Saturday, September 1, 2018

NIHAYAH (نهاية)


Dalam catatan ini akan disenaraikan nama-nama kitab yang dimulai dengan perkataan nihayah (نهاية). Insya Allah, saya akan berusaha menambahkan lagi nama-nama kitab yang lain. Semoga bermanfaat.

1.  Kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهبadalah sebuah karya al-Imam Abul Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdillah bin Hayyuwiyah al-Juwaini al-Naisaburi (419-478H). Kitab Nihayah al-Mathlab ini  dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh mazhab Syafi’i yang menjadi sumber kepada penyusunan kitab-kitab fiqh Syafi’iyah yang muncul selepasnya. Kitab ini juga dikenali sebagai “al-Mazhab al-Kabir”. Ketebalan kitab ini dirangkumi dalam 21 jilid. Kitab Nihayah al-Mathlab ini dikatakan sebagai ringkasan bagi 4 buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu Kitab al-Umm, al-Imla’, Mukhtashar al-Buwaithi dan Mukhtashar al-Muzani. Namun begitu menurut Ibn Hajar al-Haytami, kitab Nihayah al-Mathlab hanyalah merupakan syarah (huraian) bagi Kitab Mukhtashar al-Muzani. Baca lagi...

2.  Kitab al-Nihayah fi Ikhtishar  al-Ghayah (النهاية في اختصار الغاية), karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Kitab ini disusun sebagai ringkasan bagi matan al-Ghayah wa al-Taqrib, karya al-Qadhi Abu  Syuja’ al-Ashfahani (493H). Kitab al-Nihayah ini kemudiannya telah dihurai (syarah) oleh Imam al-Hishni. Para ulama berbeza pendapat mengenai kesahihan penisbahan kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi. Imam al-Rif’ah ada menyebutkan dalam kitabnya Syarh al-Wasith, bahawa kitab al-Nihayah ini sebagai karya Imam al-Nawawi. Manakala Imam al-Isnawi menolak pendapat Ibn al-Rif’ah ini, kerana menurutnya Imam Ibn al-‘Attar, selaku murid Imam al-Nawawi sendiri tidak menyenarai kitab ini sebagai karya Imam al-Nawawi. Wallahu a’lam.

3.      Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal dan dianggap antara kitab rujukan utama di kalangan ulama mazhab Syafi’i yang mutaakhirin. Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah bin Syihabuddin al-Ramli al-Manufi al-Mishri al-Anshari (919-1004H), atau yang biasa dikenali dengan nama Imam al-Ramli. Beliau terkenal dengan julukan “al-Syafi’i al-Shaghir” (Imam Syafi’i kecil). Sebagaimana judulnya, kitab Nihayah al-Muhtaj disusun  oleh Imam al-Ramli sebagai sebuah kitab syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, iaitu sebuah kitab fiqh karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H). Baca lagi..

4.   Kitab al-Nihayah Syarh al-Ghayah wa al-Taqrib (النهاية شرح الغاية والتقريب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu al-Fadhl Waliyuddin al-Bashir al-Syafi’i, iaitu seorang ulama yang hidup pada kurun ke 10 Hijrah.  Kitab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Ghayah wa al-Taqrib (الغاية والتقريب), iaitu sebuah  matan fiqh yang disusun oleh karya Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain  al-Asfahani (593H). Baca lagi...

5.   Kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib (نهاية التدريب في نظم غاية التقريب merupakan karya Syaikh Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H). Beliau menyusun Kitab Nihayah al-Tadrib ini dalam bentuk nazam  berdasarkan kitab fiqh yang masyhur yang menjadi bahan kajian dan rujukan para pelajar dan ulama mazhab al-Syafi’i, iaitu matan Ghayah al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’ Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (433-493H). Baca lagi...

6.     Kitab Nihayah al-Amal li man Raghiba fi Shihhatil ‘Aqidah wal ‘Amal (نهاية الامل لمن رغب في صحة العقيدة والعمل) merupakan sebuah kitab lengkap membicarakan tiga asas utama dalam agama Islam, iaitu meliputi bidang akidah (iman), fiqh (ibadah) dan akhlak (tasawuf). Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syamsuddin Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim bin ‘Amir bin ‘Abdul Rahman al-Dimyathi al-Madani al-Azhari. Baca lagi...

7.    Kitab Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in (نهاية الزين في إرشاد المبتدئين) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menjadi rujukan para ulama.  Kitab ini adalah antara karya bermutu yang disusun oleh al-‘Allamah Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Tanari al-Bantani (1314H). Kitab ini disusun bagi menghuraikan kandungan kitab  Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Dinقرة العين بمهمات الدين) ), iaitu sebuah matan fiqh yang ringkas karya al-‘Allamah Zaynuddin bin Abdul ‘Aziz bin Ali al-Malibari al-Fanani (987H). Baca lagi..



No comments:

Post a Comment