Tuesday, September 18, 2018

al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية‎)


Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية) atau juga dikenali sebagai Tarikh Ibnu Katsir (تاريخ ابن كثير) adalah sebuah karya dalam bidang sejarah yang disusun oleh al-Hafizh Imaduddin Abu al-Fida Ismail bin Umar bin Katsir al-Quraisyi al-Bashri al-Dimasyqi, al-Syafi'i (774 H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Katsir.

Kandungan kitab ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu;

a)  Bahagian pertama menyentuh sejarah awal penciptaan alam semesta, langit dan bumi, malaikat, manusia pertama, kemudian kisah para nabi dan umat-umat terdahulu hingga sejarah hidup Nabi Muhammad saw (dari lahir hingga kewafatan baginda). Bahagian ini bersumberkan al-Quran, Hadis dan karya para sejarawan Islam yang terkemuka seperti Imam al-Tabary, al-Waqidiy dan lain-lain lagi.        

b)   Bahagian kedua kitab ini mencatatkan sejarah pemerintahan Khulafa al-Rashidin, Kerajaan Umawiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan kerajaan serta negara-negara yang merupakan pecahan daripada kerajaan Abasiyyah pada era keruntuhannya, sehingga ke saat ia ditakluki oleh Moghul yang berlanjutan ke tahun 774 Hijrah.

c)  Bahagian terakhir kitab ini pula mengutarakan mengenai peristiwa yang akan terjadi di akhir zaman seperti tanda-tanda datangnya kiamat, perjalanan di alam barzakh, kebangkitan kembali pada hari akhirat dan mengenai surga dan neraka. Kisah-kisah yang dipaparkan berdasarkan dari al-Quran dan hadits Nabi saw. Kitab ini diakhiri dengan kata-kata nasihat yang mengajak pembaca bertakwa kepada Allah S.W.T.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuk bahasa Melayu dan Indonesia.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Maktabah al-Ma’arif, Beirut, kitab ini telah diterbit dalam 15 jilid. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan البداية والنهاية‎ atau البداية والنهاية‎.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment