Monday, September 24, 2018

Bulughul Maram min Adillat al-Ahkam (بلوغ المرام من أدلة الأحكام)


Kitab Bulughul Maram min Adillat al-Ahkam (بلوغ المرام من أدلة الأحكام), adalah antara karya al-Imam al-Hafizh Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Kinani al-Syafi’i, yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-‘Asqalani (773-852H). Kitab ini merupakan kitab hadis tematik (maudhu'i) yang memuatkan hadis-hadis yang dijadikan sumber pengambilan hukum fiqh oleh para ahli fiqh. Kitab ini menjadi rujukan utama khususnya bagi fiqh dari Mazhab Syafi'i. Kitab ini termasuk karya hadis hadis hukum yang menerima pengiktirafan, sanjungan dan perhatian para ulama dan  juga banyak diterjemahkan di seluruh dunia.

Kitab Bulughul Maram memuatkan 1,596 buah hadis. Di setiap akhir hadis yang dimuatkan dalam kitab Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani menyebutkan siapa perawi hadis asalnya. Hadis-hadis yang terdapat dalam kitab Bulughul Maram dipilih dari sumber-sumber utama seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa'i, Sunan Ibnu Majah, dan Musnad Ahmad dan selainnya.

Kitab Bulughul Maram memiliki keutamaan yang istimewa kerana seluruh hadis yang termuat di dalamnya kemudian menjadi landasan fiqh dalam mazhab Syafi'i. Selain menyebutkan asal muasal hadis-hadis yang termuat di dalamnya, penyusun juga memasukkan perbandingan antara beberapa riwayat hadis lainnya yang datang dari jalur yang lain. Kerana keistimewaannya ini, Bulughul Maram hingga kini tetap menjadi kitab rujukan hadis yang dipakai secara meluas di kalangan para ulama, tanpa mengira mazhab fiqhnya.


Metode penyusunan

Metode yang digunakan oleh Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam menyusun kitab ini ialah dengan metode tematik (maudhu’i) berdasarkan tema-tema fiqh, mulai dari Bab Bersuci (Thaharah) sampai Bab Kompilasi (al-Jami’). Ia menyeleksi beberapa hadis dari kitab-kitab shahih, sunan, mu’jam, dan al-Jami yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh.

Sistematik kitab Bulughul Maram sebagai berikut :

1) Terdiri dari 16 bab mulai dari Bab Bersuci (Kitab at-Thaharah) sampai Bab Kompilasi (Kitab al-Jami’), setiap bab terdiri dari beberapa sub-bab.

2) Memuatkan sebanyak 1596 buah hadis sahih, hasan, bahkan dha’if yang bertemakan fiqh.

3)     Membuang rangkaian sanad, kecuali pada tingkat sahabat dan mukharrij.

4) Terkadang menyertakan jalur-jalur periwayatan hadis secara ringkas dan menyebutkan tambahan-tambahan redaksi dari riwayat lainnya dan menjelaskan statusnya.

5)  Menjelaskan status hadis-hadis yang lemah (padanya ada kelemahan, sanadnya lemah... dsb.) atau dengan keterangan ulama, seperti "dilemahkan oleh Abu Hatim, dll.".

6)   Dalam hal penguat hadis, Ibnu Hajar menyertakan keterangan ringkas yang hanya mencantumkan sanad saja tanpa mengulang isi matan.

7)  Ibnu Hajar menggunakan istilah tertentu dalam penyebutan para ulama yang mengeluarkan hadis (mukharrij), iaitu;

a)  Rowahu as-Sab'ah (رواه السبعة) untuk hadis yang diriwayatkan oleh tujuh Imam dalam ilmu Hadis, iaitu Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmidzy, al-Nasa’i dan Ibnu Majah.
b)    Rowahu as-Sittah (رواه الستة) untuk hadis yang diriwayatkan oleh tujuh Imam selain Ahmad.
c)      Rowahu al-Khamsah (رواه الخمسة)  untuk hadis yang diriwayatkan oleh tujuh Imam selain al-Bukhari dan Muslim.
d)   Rowahu al-Arba'ah (رواه الأربعة ) untuk hadis yang diriwayatkan oleh tujuh Imam selain Ahmad, al-Bukhari dan Muslim.
e)    Rowahu ats-Tsalitsah (رواه الثالثة) untuk hadis yang diriwayatkan oleh tujuh Imam selain Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah.
f)     Muttafaqun 'alaih (متفق عليه) untuk hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.


Kitab Huraian (syarah)nya

Ramai ulama yang terkemudian menyusun kitab-kitab huraian (syarah) bagi kitab Bulughul Maram. Kitab huraian yang paling masyhur adalah kitab Subulus Salam (سبل السلام شرح بلوغ المرام) karya al-Imam Muhammad bin Ismail al-Amir al-Shan’ani (1183H). Kitab Subulus Salam sendiri merupakan ringkasan dari kitab al-Badr al-Tamam (في شرح بلوغ المرام البدر التمام) karya  al-Imam al-Husain bin Muhammad al-Maghribi (1119H). Di antara kitab huraian (syarah) Bulughul Maram yang lain adalah:

a)   Fath al-‘Allam li Syarh Bulughil Maram (فتْح العلام لشرح بلوغ المرام) karya al-‘Allamah Abu al-Thayyib  Shadiq bin Hasan Khan  al-Husaini al-Qanuji (1336H).

b)     Ibanatul Ahkam (إبانة الأحكام), karya Abu Abdullah bin Abdus Salam Allusy ().

c)   Tuhfatul Ayyam fii Fawaid Bulughil Maram (تحفة الأيام في فوائد بلوغ المرام), karya Sami bin Muhammad.

d)     Minhatul ‘Allam (منحة العلام شرح بلوغ المرام), karya Abdullah Shalih Fauzan.

e)     Syarah Bulughil Maram, karya Athiyyah Muhammad Salim.


g)     Tawdhihul Ahkam min Syarh Bulughul Maram (توضيح الأحكام من شرح بلوغ المرام), karya Syaikh Abdullah al-Bassam.

h)    al-Ifham fi Syarh Bulughuil Maram (الإفهام في شرح بلوغ المرام), karya Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah al-Rajihi.

i)    Syarh Bulughil Maram (شرح بلوغ المرام من أدلة الأحكام), karya Syaikh Abdul Karim al-Khudair.

j)     Mukhtashar a-Kalam ‘ala Bulughil Maram (المرام مُختصر الكلام على بلوغ), karya Syaikh Faishal bin Abdul Aziz Alu Mubarak (1376H).

k)     Fiqh al-slam (فقه الإسلام شرح بلوغ المرام), karya Syaikh Abdul Qadir Syaibah al-Hamd.

l)   Ittihaful Kiram ‘ala Bulughil Maram (إتحاف الكِرام تعليق على بلوغ المرام؛), karya Syaikh Shafiyul Rahman al-Mubarakfuri.

m)  Hasyiah ‘ala Bulughil Maram (حاشية الدهلوي على بلوغ المرام), karya Ahmad bin Hasan al-Dehlawi (1338H).

n)  Fathul Zil Jalali wal Ikram bi Syarh Bulughil Maram (فتح ذي الجلال والإكرام بشرح بلوغ المرام), karya Syaikh Muhamma bin Shaleh al-‘Utsaimin.

Kitab Bulughul Maram telah telah iterjemahkan ke alam pelbagai bahasa dunia, termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan بلوغ المرام. Semoga bermanfaat.

Rujukan: wikipedia / alukah

No comments:

Post a Comment