Wednesday, September 12, 2018

Minhaj al-Qashidin (منهاج القاصدين)


Kitab Minhaj al-Qashidin (منهاج القاصدين) atau judul lengkapnya Minhaj al-Qashidin wa Mufid al-Shadiqin (منهاج القاصدين ومفيد الصادقين) adalah sebuah karya al-Imam Jamaluddin Abu al-Faraj Abdurrahman bin Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ubaidillah al-Qurasyi, yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Jauzi (510-597 H). Ia adalah sebuah karya dalam bidang tazkiyah al-nafsi (penyucian diri), atau juga dikenali dengan bidang tasawuf.

Kitab Minhaj al-Qashidin ini merupakan sebuah karya saduran dari sebuah kitab dalam bidang tazkiyah al-nafs yang terkena, iaitu kitab Ihya’ ‘Ulumiddin (إحياء علوم الدين), karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Thusi (505H). Dikatakan karya saduran, kerana kitab Minhaj al-Qashidin bukanlah ringkasan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin semata-mata, tetapi melibatkan ringkasan dan suntingan serta beberapa tambahan yang bermanfaat. Perkara ini dijelaskan  sendiri oleh Ibn al-Jawzi dalam mukadimahnya:

Dan aku akan tulis untukmu sebuah kitab yang bebas daripada keburukannya dan mengandungi kebaikan-kebaikannya. Aku akan berpegang kepada riwayat-riwayat yang paling sahih dan masyhur dan makna yang paling sabit dan elok. Aku akan membuang apa yang patut dibuang dan menambahkan apa yang patut ditambah ”.

Oleh itu, kitab al-Ihya’ telah diringkaskan dan diolah kembali oleh Ibn al-Jawzi  melalui kitabnya Minhajul Qashidin sebagai alternatif baru bagi memastikan kandungan kitab al-Ihya’ dapat diamalkan oleh umat Islam tanpa keraguan dan jauh dari kekhilafan.

Kitab Minhaj al-Qashidin ini kemudiannya telah diringkaskan pula oleh Imam Syamsuddin Abu al-Farj Abdul Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi al-Jama’ili al-Hanbali (597-682H), yang terkenal dengan gelaran Ibn Qudamah al-Maqdisi, melalui karyanya  Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين). Dalam penyusunan kitab ini, Ibn Qudamah telah membuangkan tajuk-tajuk yang berkaitan aqidah dan fiqh, yang masih dikekalkan oleh Ibn al-Jawzi. Dalam kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin ini, beliau hanya mengekalkan tajuk-tajuk yang khususnya mengenai tazkiyah al-nafs. Beliau telah membuat beberapa pembetulan, semakan dan tambahan bagi menyempurnakan kandungan kitab tersebut.

Kitab Minhaj al-Qashidin ini boleh dimuat turun di pautan منهاج القاصدين  atau di pautan منهاج القاصدين.


Terjemahan kitab ini

Sekadar pengkongsian, kitab Minhaj al-Qashidin ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Indonesia  dalam 5 jilid. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment