Wednesday, September 26, 2018

Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan


Buku Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan adalah kombinasi dari dua buah buku Fatwa Edisi Jawi iaitu Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Jilid pertama yang diterbitkan pada Disember 1986 dan Jilid kedua pada Mei 1993. Penerbitan buku ini diselenggarakan oleh Dato’ Haji Mohamad Shukri b. Mohamad, (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan) dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan cetakan pertama (edisi Rumi) pada tahun 2014.

Bagi memenuhi permintaan pembaca dan meluaskan audiens terutama generasi muda yang cenderung dan mampu membaca rumi, maka buku ini diterbitkan dalam edisi rumi, di samping jadi identity dan imej Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat  Melayu Kelantan (MAIK) sejak satu abad yang lalu.

Buku ini mengandungi 50 bab yang telah disusun semula mengikut keutamaan. Berikut ringkasan permasalahan yang terdapat dalam buku ini; dengan didahului permasalahan yang berkaitan dengan akidah (bab 1-3), taharah (bab 4-6), sembahyang (bab 7-14), korban (bab 15) dan sembelihan (bab 16), zakat (bab 17), perkawinan dan yang berkaitan (bab 18-21), perceraian (bab 22-26), nafkah (bab 27), pembahagian harta sepencarian (bab 28), nasab (bab 29), penyusuan (bab 30), hadhanah (bab 31), kematian (bab 32-33), pusaka dan wasiat (bab 34-35), pemberian semasa hidup (bab 36), tanah perkuburan (bab 37), wakaf (bab 38), muamalat dan berkaitan (bab 39-43), pakaian ( bab 44), perhiasan (bab 45), melihat gambar dan wayang gambar (bab 46), makanan dan minuman (bab 47), kuasa mufti (bab 48), masalah umum (bab49) dan bermacam-macam kesalahan (bab 50).

Buku ini boleh menjadi panduan kepada umat Islam mengenai beberapa permasalahan agama berdasarkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Mufti dan Jemaah Ulama’  Majlis Agama Islam Kelantan. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment