Tuesday, August 14, 2018

Kuliah Subuh Pada membicarakan Hadis 40


Buku Kuliah Subuh Pada membicarakan Hadis 40 merupakan sebuah karya dalam bidang hadis yang disusun oleh al-Marhum Syed Ahmad Semait (1933-2006) , seorang ulama dan karyawan yang produktif dari Singapura.

Buku ini disusun sebagai huraian bagi kitab hadis yang berjudul al-Arba’in al-Nawawiyyah (الأربعين النووية), yang terkenal nama Hadis Arba'in Nawawi ataupun Hadis Empat Puluh. Ia merupakan karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676/1277), yang memuatkan 42 buah hadis yang bersifat komprehensif yang menjelaskan dasar-dasar Syari'at Islam.

Menurut penyusun buku Kuliah Subuh ini, beliau menamakan buku ini sebagai Kuliah Subuh sebagai cadangan bagi dirinya dan pembaca untuk menatapnya setiap Subuh, sesudah selesai menunaikan sembahyang Subuh di pagi hari.

Kitab Kuliah Subuh ini mula ditulis pada tahun 1976 dan diterbitkan jilid pertamanya pada tahun 1977. Manakala jilid kedua diterbitkan pada tahun 1978 dan jilid ketiga pula pada tahun 1979. Bermula dari tarikh tersebut, buku ini telah banyak kali diulang cetak dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura.

Pada tahun 1991, Syed Ahmad Semait mengemaskini kembali karya beliau ini dengan menggunakan huruf yang lebih besar dan menggabungkan ketiga-tiga jilidnya dalam satu jilid besar sahaja, tanpa perubahan isi kandungannya yang asal. Buku edisi baru ini telah diterbitkan pada tahun 1994. Edisi terkumpul ini kemudiannya terus diulang cetak pada tahun 1996, 2000 dan 2003. Berdasarkan cetakan kesembilan tahun 2003, ketebalan buku ini ialah 741 halaman, termasuk halaman Prakata Edisi baru (2 halaman), Pendahuluan Jilid 1 (3 halaman), pendahuluan Jilid 2 (2 halaman) dan Pendahuluan Jilid 3 (2 halaman).

Sumber rujukan utama buku Kuliah Subuh ini ialah kitab yang berjudul Fathul Mubin Li Syarhil Arba’in (فتح المبين لشرح الأربعين) , iaitu sebuah karya al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami al-Syafi’i (907-974H) seorang tokoh ulama terkenal yang menjadi tonggak kepada mazhab Syafi’i.

Di samping menterjemahkan fakta-fakta dan butiran-butiran yang dikutip dan disadur dari matan al-Arba’in dan kitab Fathul Mubin tersebut, pengarang juga ikut membicarakan, membuat ulasan serta mendalami masalah-masalah yang dibincangkan, dan hujjah-hujjah dikemukakan, lalu diolah dan dibicarakan semula secara terperinci dengan hal dan keadaan zaman kita sekarang.

Selain itu, tedapat banyak fakta-fakta penting yang menurut pengarang masih perlu dikaji terus oleh generasi masa kini dan masa depan dari kalangan pelajar pusat pengajian tinggi dan guru-guru yang ahli dalam bidang syariat untuk mencungkil hakikat hukum yang diperlukan sezaman.

Buku ini juga baik untuk dibaca guru agama yang mencari bimbingan terhadap beberapa permasalahan yang belum terhurai, dan oleh para pelajar yang hauskan pelajaran agama yang teliti dan mendalam. Banyak fakta-fakta yang ditonjolkan pengarang yang masih samar-samar lagi dalam bidang pengkajian hari ini, yang patut diteliti semula dan dibahaskan untuk mencari solusi dan penghuraiannya yang tepat dan jitu. 

Sumber:  Buku Kuliah Subuh pada membicarakan hadis 40, cetakan kesembilan 2003.

1 comment: