Kitab Risalah
al-Tawhid (رسالة التوحيد) yang ingin
dibicara di sini ialah sebuah kitab yang pernah digunakan sebagai salah satu
daripada teks pengajian untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor pada
ketika dulu. Hingga kini ia masih menjadi teks pengajian akidah di
masjid-masjid – bukan sahaja di Johor, bahkan tersebar luas ke negeri-negeri
lain di Malaysia.
Kitab yang tersebar dalam masyarakat
sekarang ialah sebuah kitab yang disusun oleh Haji Abdul Ghani Yahya dan Omar
Yusof. Menurut penyusunnya kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal
oleh Matan Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada
sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini
oleh kedua-dua penyunting (penyusun) ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa
Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran
dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan (suntingan) baru telah
diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih
mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan Jawi.
Kitab edisi Jawinya telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan antara Mathba'ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih- Pulau Pinang dan Mathba'ah Ben Halabi - Pattani, Thailand.
Kini, kitab ini telah dialih tulisan daripada tulisan jawi ke tulisan rumi dan telah diterbitkan
oleh Al-Hidayah Publications dan Syarikat Perniagaan Jahabersa - Johor.
Bagi maklumat lanjut mengenai
kitab al-Tawhid ini, keterangan berikutnya adalah nukilan dari artikel susunan
Dr Shafie Abu Bakar yang diambil dari pautan Risalah Al-Tauhid Jabatan Agama Islam Johor Diguna Meluas Ke Luar Johor.
Negeri Johor adalah antara negeri
yang mewujudkan sekolah agama sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi, selepas
negeri-negeri lain meniadakan sekolah agama (biasanya sebelah petang), kerana
diintegrasikan dengan Sistem Kebangsaan, Johor masih mempertahankan sekolah
agama sedemikian.
Bagi melaksanakan pengajian agama ini
negeri-negeri mewujudkan kurikulum pengajian keagamaan masing-masing
termasuklah Johor. Bagi pengajian akidah misalnya kitab Risalah al-Tauhid adalah begitu terkenal dan
turut digunakan di sekolah-sekolah agama di luar Johor. Walaupun
sekolah-sekolah agama tidak ada lagi, tetapi kitab ini popular dan terus
digunakan pada pengajian-pengajian tradisi dan keagamaan.
Kitab Risalah al-Tauhid dimaklumkan
pada asalnya diterjemahkan (1325H./ 1907M.) oleh Al-Marhum Yang Berhormat Dato`
Haji Abdullah bin Abdul Rahman Mantan Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor
dari sebuah Kitab Tauhid Dalam Bahasa Arab yang kitab berkenaan adalah menjadi
kitab yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Mesir menjadi kurikulum bagi
pengajian akidah di sekolah-sekolah di Mesir.
Adalah didapati bahawa kitab yang
telah diterjemahkan oleh Dato` Haji Abdullah bin Abdul Rahman itu, berasal dari
karangan di dalam bahasa `Arab itu ialah
karangan Syeikh Muhammad `Abduh
(1849-1905), seorang tokoh intelektual Mesir dan pemimpin pembaharuan dunia
Islam yang kesannya sampai ke Malaysia dan juga Indonesia.
Kitab Risalah Tauhid yang dikarang
Syeikh Muhammad Abduh yang pernah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Kiyai
Haji Firdaus dan diterbitkan Cetakan Pertama 1963 Bulan Bintang, Jakarta adalah
panjang (264 hlm.). Dinyatakan bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Dato` Hqji
Abdullah bin Abdul Rahman pada peringkat awal adalah bersifat matan sahaja dan
agak ringkas, lantaran itu pada (1345H./1926M.) beliau telah membuat syarah
terhadap matan terjemahan asalnya dan dikenali dengan judul `Sharh
al-Risalat al-Tauhidiyyah`. Kitab inilah dipersetujui oleh Jawatankuasa
Penasihat Pelajaran Agama Islam Johor menjadi kitab bagi kurikulum akidah bagi
sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor. Kitab ini disusun kembali dari segi
bahasa dan pemudahfahaman permasalahan oleh Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf
sebagai edisi mutakhir yang telah diterbitkan sejak 1372H./1952M.
Memang jika dibandingkan dengan teks
terjemahan Indonesia, maka kitab Al-Risalah al-Tauhid Johor adalah merupakan
intisari dari kandungan kitab Risalah Tauhid yang asal karangan Muhammad
`Abduh. Istimewanya Risalah al-Tauhid Johor, bahawa ianya disusun menurut
pecahan-pecahan teratur yang memudahkan fahaman terutama bagi pelajar-pelajar
yang baru mula untuk mempelajari ilmu akidah.
Walau bagimana melihat kepada
kandungan Risalah al-Tauhid pada dasarnya adalah menurut pola-pola yang sama
dengan kitab-kitab tauhid yang beraliran Sunni dari berbagai-bagai kitab yang
telah dibicarakan.
Dari segi format dan pendekatan
bahawa Risalah al-Tauhid (88 hlm.)
dipecahkan kepada 87 pecahan
bertolak pembicaraan mengenai apa itu ilmu tauhid dan bermula dengan prinsip
asal bagi ilmu tauhid ialah mengenai `Hukum Akal` dan pecahan-pecahannya,
iaitu wajib akli, mustahil akli dan
harus akli.
Selepas membicarakan hukum akal
dibicarakan Bahagian Awal `Mengenal
Tuhan dan Mengetahui sifat-sifatNya -
Sifat yang wajib, sifat mustahil dan harus diikuti dengan dalil-dalil
akli dan naqli bagi sifat-sifat dua puluh.
Kemudian diikuti pembahagian sifat
dua puluh kepada kelompok nafsiyyah, salbiyyah, ma`ani dan ma`nawiyyah dan
kemudian dibicarakan tentang ta`alluq bagi sifat ma`ani. Kemudian dihuraikan
mengenai konsep Uluhiyyah dan konsep Istighna` dan iftiqar.
Pada bahagian Kedua dibicarakan
tentang Rasul, bermula dengan pengenalan rasul, siapa itu nabi dan siapa rasul,
hikmah diutuskan rasul, kepercayaan terhadap rasul, bilangan nabi dan rasul dan
kategori-kategori mereka. Seterusnya dibicarakan tentang sifat-sifat yang wajib
bagi Rasul, mustahil dan harus.
Kitab Risalah al-Tauhid membicarakan
kesemua yang berkait dengan rukun iman yang enam. Walau bagaimana tumpuan utama pembicaraan
ialah terhadap Allah dan Rasul. Selepas tumpuan utama dibicarakan tentang
ketuhanan dan kerasulan dibicarakan tentang:
a)
Percayakan
kepada kitab dengan jumlah kitab diturunkan. Keistimewaan Al-Qur`an.
b)
Kepercayaan
kepada mala`ikat
c)
Kepercayaan
terhadap hari kiamat
d)
Soal Munkar
dan Nakir
e)
Syurga dan
neraka
f)
Kepercayaan
terhadap qada` dan qadar
Persoalan-persoalan di atas dianggap
sebagai pecahan dari kepercayaan terhadap Allah dan Rasul yang terkumpul di
bawah dua Kalimah Shahadah yang dianggap induk utama bagi bidang akidah.
Lantaran itu pembicaraan ditutup
dengan `aqa`id yang terkandung di bawah dua kalimah shahadah `La ilah illa
Allah Muhammad Rasul Allah`. Dengan demikian lengkaplah
perbicaraan berkenaan dengan aqa`id di bawah dua kalimah shahadah di dalam
Risalah Tauhid
Sebagaimana dibicarakan kandungan
pembicaraan adalah mengikut pola pembicaraan kitab-kitab akidah Sunni yang lain. Tapi yang istimewa kitab ini
disusun dengan cara teratur yang memudahkan pembelajaran dan kefahaman.
Kitab ini terus releven dipelajari
baik pada peringkat sekolah, maupun pada pengajian seperti masjid-surau dan
pengajian-pengajian yang lain. Sekian.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment