Sunday, August 26, 2018

Tafsir al-Quran al-Hakim,


Kitab Tafsir al-Quran al-Hakim, sebuah karya  tafsir yang disusun oleh seorang mufassir tanah air, iaitu al-Fadhil al-Ustaz Mustafa Abdul Rahman bin Mahmud (1918-1968). Karya tafsir ini ditulis dalam 27 penggal, setiap penggal mewakili satu juzuk al-Quran. Ia ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan tidak terlalu klasik, malah bahasanya masih releven sehingga hari ini. 

Ustaz Mustafa Abdul Rahman dilahirkan di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1918 dalam sebuah keluarga yang berketurunan ulama. Beliau banyak meyumbangkan tenaga dan idea dalam perkembangan dakwah dan keilmuan Islam di Malaysia. Sumbangannya disalurkan menerusi penulisan karya-karya, di samping penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau meninggal dunia di Gunung Semanggol pada 28 Oktober 1968 bersamaan 6 Syaaban 1338H ketika berusia 51 tahun. 

Berdasarkan tarikh dii akhir pendahuluan pengarangnya, kitab tafsir ini mungkin selesai ditulis pada tahun 1949. Kitab tafsir ini telah disemak semula oleh pengarangnya pada tahun 1959 dengan beberapa pembaikan dan penambahan keterangan serta huraiannya yang lebih memuaskan.

Tuan Guru Syaikh Haji Abdullah Fahim, iaitu guru kepada  penulis kitab tafsir ini telah memberikan kata pengantar untuk Tafsir al-Quran al-Hakim ini, serta mengemukakan pengiktirafan dan pujian kepada pengarang dengan katanya;

Sesungguhnya, saya telah dapati di dalam sepanjang perhatian saya bahawa tafsir yang tersebut adalah sangat munasabah lagi memuaskan oleh kerana susunan dan keterangannya pertengahan  ”.

Dalam pendahuluan kitab ini, pengarang menjelaskan tentang kelebihan al-Quran dan tafsir al-Quran secara umum. Beliau memberikan gambaran secara umum berkaitan penterjemahan al-Quran di dunia mengikut bahasa masing-masing. Gambaran ini menunjukkan bahawa bangsa di dunia sudah mengetahui isi kandungan al-Quran secara ilmiah. Kemudian menyatakan bahawa di Tanah Melayu, ramai orang tidak dapat mengetahui isi kandungan al-Quran kerana ketiadaan tafsir yang ringkas dan mudah difahami. Inilah faktor yang mendorong beliau untuk menghasilkan sebuah karya tafsir dengan berpandukan karya tafsir terdahulu dan semasa dengannya.

Beliau menjelaskan tentang metodologi tafsir yang digunakan dalam pendahuluan karya ini dengan menyatakan;

Dan untuk memudahkan para pembaca yang terhormat, maka sengaja diringankan kandungannya untuk diterangkan pada mula-mulanya makna ayat-ayat, kemudian diterangkan pula kesimpulan faham dan maksud yang terkandung di dalam ayat-ayat itu dengan cara yang sedehana, moga tuan-tuan pembaca akan dapat menerima tafsir ini dengan tangan terbuka .... ”.

Dalam menghuraikan sesuatu ayat, pengarang banyak mengguna pakai metode Tafsir bi al-Ra’y. namun begitu, metode Tafsir bil-Ma'thur masih digunakan di sesetengah tempat. Tafsiran dan huraian terperinci  dipersembahkan oleh pengarang dengan bahasa yang mudah difahami kerana tafsir ini disasarkan untuk orang awam seperti disebutkan sendiri olehnya dalam pendahuluan kitab. Dalam tafsir ini juga, diselitkan pengajaran  yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak dan kemasyarakatan.

Dalam menyempurnakan tafsir ini, pengarang telah merujuk kepada beberapa buah kitab, antaranya Tafsir al-Maraghi, Tafsir al-Nasafi, Tafsir al-Thabari, Tafsir al-Jalalayn. Al-Tafsir al-Munir li Ma’alim al-Tanzil, Tafsir al-Thanthawi al-Jawhari, Nayl al-Maram, Tafsir Ruhul Ma’ani, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, Tafsir li Ahkam al-Quran dan Tafsir al-Razi dan Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Artikel di atas dipetik dan diubahsuai dari buku Khazanah Tafsir Nusantara, yang diselenggara oleh Dr. Mustafa Abdullah. Penerbit Universiti Malaya (2011).

Artikel berkaitan; 

http://rmc.kuis.edu.my/irmic/wp-content/uploads/2014/12/015-SUMBANGAN-MUSTAFA-ABDUL-RAHMAN-DALAM-TAFSIR-AL-QURAN.pdf 

http://ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan-Sains-Mustafa-Abdul-Rahman-Nor-Syamimi-Mohd.pdf

1 comment:

  1. Ada bekalkan penggal 19 hingga 27 ke. Berapa harga satu penggal.

    ReplyDelete