Tuesday, August 7, 2018

Fiqh Solat (فقه الصلاة) : Memahami Ibadat Sembahyang


Kitab Fiqh Solat (فقه الصلاة)  : Memahami Ibadat Sembahyang - merupakan sebuah karya fiqh mengenai ibadat solat berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi (). Kitab ini telah menjadi teks pengajian khusus mengenai sembahyang di masjid-masjid  di negeri Terengganu khususnya dan seluruh Malaysia umumnya.

Menurut penyusunnya, kitab ini pada asalnya dicadangkan atas nama روح الصلاة    (Jiwa Sembahyang), tetapi kemudiannya setelah hampir selesai penulisannya diubah kepada Fiqhus Shalah atas cadangan anaknya yang merasakan bahawa nama itu yang lebih tepat kerana isi kandungan merangkumi keseluruhan ibadat sembahyang, sama ada dari segi hukum hakamnya, falsafahnya, didikannya, zahir dan batinnya.

Kitab ini selesai disusun pada bulan Jun tahun 2000, dan telah diterbitkan banyak kali dengan tulisan Jawi. Pada tahun 2001, kitab ini telah dibuat beberapa tambahan, pembetulan dan penyusunan semula agar lebih teratur baik dan mudah difahami. Edisi baru ini kemudiannya telah diterbitkan dalam tulisan Jawi dan juga tulisan Rumi sebagai memperkenankan permintaan para pembaca yang kurang mahir membaca tulisan Jawi.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab ini telah diterbitkan oleh Syarikat Jaffar Rawas  Sdn. Bhd. Kota Bharu, Kelantan dengan edisi Jawi dan Rumi. Berdasarkan kitab edisi Jawi cetakan ke 9, tahun 2015 ketebalan kitab ini merangkumi 657 halaman.

Kandungan kitab ini dimulai dengan “Pengenalan Ibadat Sembahyang” dan diakhiri pembicara mengenai “Sembahyang Mayat” yang diikut dengan huraian mengenai “ Talqin Mayat ”.

Kemudian dilampirkan pula keterangan ringkas mengenai;

a)     Sembahyang Sunat (12 halaman).
b)     Hubungan Asmaul Husna dengan sembahyang (5 halaman).
c)      Rampaian mengenai kesempurnaan sembahyang (7 halaman).

Pada tahun 2007, di akhir kitab ini ditambah lagi dengan satu lampiran baru, iaitu Ulangkaji (24 halaman). Di mana penyusun mengajak para pembaca memuhasabah diri dan membuat penilaian kembali tehadap amalan sembahyang masing-masing dari segi zahir dan batinnya. Adakah sembahyang yang telah dilakukan menepati tatacara yang telah diajar oleh Rasulullah saw, yang melayakkan kita mendapat kelebihan pahala dan manfaat yang dijanjikan oleh Allah SWT ?. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment