Sunday, August 5, 2018

Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai


Kitab Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai adalah sebuah kitab Jawi karya Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib bin Hasan al-Mandili al-Indonesi (lahir di Tapanuli Selatan, 31 Disember 1910 – meninggal di Makkah, 31 Disember 1965 pada umur 55 tahun), seorang ulama dari Nusantara yang mengajar di Masjidil Haram, Makkah. Kitab ini selesai disusun pada 10  bulan Ramadan 1368 H bersamaan 6 Julai 1949 M. Kitab ini telah dicetak oleh al-Thiba’ah al-Marbawiyah, Kaherah pada tahun 1955 M/1375 H.

Tujuan penyusunan kitab ini disebutkan oleh Syaikh Abdul Qadir al-Mandili dalam muqaddimahnya;

Maka sungguhnya telah menyuruh akan hamba beberapa orang daripada saudara-saudara yang baik sangka dengan hamba bahawa hamba tulis bagi mereka itu doa sembahyang dan kenduri dan khutbah Jumaat dan wirid-wirid dan lain-lainnya. Maka kerana tiada dapat hamba menyalahi suruhan mereka itu terpaksalah hamba menulis dan menghimpunkan akan ini risalah yang kecil yang mengandungi ia akan permintaan mereka itu sekalipun hamba tiada ahli bagi yang demikian dan hamba namakan dengan ini risalah dengan ‘Senjata Tok Haji Dan Tok Lebai’ dan hamba pohonkan akan Allah Subahanahu Wa Ta’ala bahawa ada ia ikhlas bagi ‘wajah-Nya’ yang mulia dan memberi manfaat ia bagi hamba dan bagi saudara-saudara yang muslimin.

Di antara kandungan kitab ini ada disebutkan secara ringkas di bahagian hadapan kitab, iaitu;

Yang mengandungi akan wirid-wirid sembahyang dan doa kemudian daripada sembahyang, dan bacaan-bacaan pada ketika kenduri dan doanya, dan kaifiat baca Yasin empat puluh satu dan doanya, dan talkin mayat, dan kaifiat sembahyang terawih dan witir, dan khutbah Jumaat, dan khutbah nikah, dan khutbah hari raya, dan al-Wirid al-Lathif, dan beberapa banyak zikir dan doa dan istighfar dan selawat lain-lainnya

Kandungan kitab ini dimulai dengan “ Ini beberapa wirid yang sayugia dibaca kemudian daripada sembahyang, kerana ia setengah daripada zikir yang ma’tsur, ertinya yang dipindahkan dari Nabi saw

Manakala kandungan terakhir kitab ini adalah contoh khutbah Hari Raya Haji dan Hari Raya Fitrah. Kata penyusun; “ Tamat khutbah yang kedua bagi Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Haji ”.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan Senjata Tok Haji Dan Tok LebaiSemoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment