Sunday, August 12, 2018

Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam


Buku “Asas-Asas Fiqah Untuk Orang Awam”  adalah sebuah buku mengenai asas  fiqh (القواعد الفقهية) yang disusun oleh Ustaz Ahmad Sabiq Abdul Rahman. Buku ini merupakan karya terjemahan dan huraian (syarahan) bagi sebuah karya mengenai Asas fiqah yang berjudul al-Manzumah al-Sa’diyah di al-Qawa-‘id al-Fiqhiyyah (المنظومة السعدية في القواعد الفقهية), iaitu matan qawa’id fiqh yang disusun dalam bentuk manzumah (syair) oleh al-‘Allamah al-Syaikh Abdul Rahman bin Nashir ak-Sa’diy (1307-1376H), seorang ulama terkenal dari Arab Saudi.

Dalam buku ini terdapat 34 asas fiqh yang dihuraikan oleh penyusun buku ini secara ilmiah dengan penggunaan laras bahasa yang ringan, mudah difahami oleh segenap masyarakat tanpa mengira latar belakang pengajian.

Menurut penyusunnya, asal buku ini adalah gabungan daripada terjemahan nota-nota pengajian beliau di Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud, Riyadh – serta tambahan dengan contoh-contoh semasa dan soalan-soalan yang sering ditanya – merangkumi semua aspek seperti ibadah, munakahat, kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Di akhir huraiannya, penyusun menyatakan bahawa masyarakat sering bertanya; “ Ustaz,apa hukum perbuatan ini? ”. Sewajarnya mereka patut bertanya; “ Ustaz, apa hukum perbuatan ini dan kenapa hukumnya begitu? ”.

Justeru, buku Asas-Asas Fiqah ini adalah sebuah karya yang membicarakan “kenapa hukumnya menjadi begini dan begitu”. Di situlah sedikit sebanyak hikmat dan objektif syariat dapat diserlahkan serta keindahannya dapat dirasai. Kita mengamalkan ilmu bukan sekadar ikut-ikutan sahaja, tetapi perlu tahu mengapa kita melakukan begini dan begitu. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment