Kitab Tatimmah al-Ibanah fi Fiqh al-Syafi’i (تتمة الإبانة في الفقه الشافعي)
adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya oleh al-Imam Abu Sa'id
Abdurrahman bin Ma’mun al-Mutawali al-Naisaburi (478H).
Kitab Tatimmah al-Ibanah atau terkenal dengan judul
ringkasnya al-Tatimmah (التتمة) disusun oleh Imam al-Mutawali sebagai ringkasan bagi sebuah
karya gurunya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Rahman bin Muhammad Ahmad bin Fawran
al-Fawrani (461H), yang berjudul al-Ibanah ‘an Ahkam Furu’ al-Diayanah (الإبانة عن أحكاِم فروع الديانة).
Sebenarnya kitab Tatimmah al-Ibanah ini bukanlah sekadar
ringkasan kitab al-Ibanah, kerana selain meringkas kandungan kitab al-Ibanah,
Imam al-Mutawali telah membuat penambahan beberapa permasalahan hukum yang
tidak terdapat dalam kitab asalnya. Penambahan ini dilakukan sebagai
melengkapkan lagi kandungan kitab al-Ibanah, sehingga Imam al-Mutawali
menamakan karya beliau ini sebagai Tatimmah al-Ibanah (Pelengkap kitab
al-Ibanah).
Namun begitu, ada juga penulis yang menganggap kitab
Tatimmah al-Ibanah ini sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah,
bukannya ringkasan, memandangkan isi kandungannya ada huraian tambahan dari
Imam al-Mutawali, seperti penambahan dengan pendapat-pendapat lain dalam
sesuatu permasalahan kerana adanya dalil-dalil yang sahih mengenainya.
Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ petikan
dari kitab Tatimmah al-Ibanah. Di mana beliau menyebutkan Imam al-Mutawali
sebagai “Shahib al-Tatimmah” (Pengarang kitab Tatimmah al-Ibanah).
Berikut contoh petikan tersebut;
وقال صاحب ” التتمة ” : لا يكره الخاتم من حديد أو
رصاص ؛ للحديث في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال للذي خطب الواهبة
نفسها ” اطلب ولو خاتما من حديد ” قال : ولو كان فيه كراهة لم يأذن فيه.
Ertinya: “Pengarang kitab al-Tatimmah mengatakan: ‘Tidak
makruh menggunakan cincin besi atau tembaga. Berdasarkan hadis yang
diriwayatkan dalam dua kitab shahih (al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyuruh orang yang melamar wanita untuk
mencari cincin besi. Jika cincin besi
hukumnya makruh, tentulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan
menyuruhnya ”. (al-Majmu’, 4/341).
Sayangnya kitab ini tidak sempat disempurnakan oleh Imam
al-Mutawali, ia hanya sempat disiapkan setakat perbincangan mengenai Kitab
al-Hudud dalam bab al-Saraqah (Mencuri). Bagi menyempurnakan kitab Tatimmah
al-Ibanah ini, usaha telah dilakukan oleh al-Imam Muntajibuddin Abu al-Futuh,
As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H) dengan menyusun
karya beliau yang berjudul Tatimmah al-Tatimmah (تتمة التتمة).
Secara umum kitab al-Tatimmah ini masih wujud dalam bentuk
manuskrip, namun begitu sebahagian dari isi kandungannya telah ditahkik oleh
beberapa orang mahasiswa pusat pengajian tinggi sebagai latihan ilmiah mereka.
Antara kandungan kitab ini boleh dimuat turun di pautan
berikut;
2. من أول كتاب اللعان إلى آخر كتاب العدة / baca online di sini
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment