Kitab Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab (صفوة المذهب من نهاية المطلب)
adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Abu Sa’ad
Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin al-Muthahhar bin ‘Ashrun (493-585H), yang terkenal dengan
julukan Ibn ‘Ashrun.
Judul kitab ini dengan nama Shafwah al-Mazhab min Nihayah
al-Mathlab ada disebutkan oleh Ibn Khalikan dan Haji Khalifah di dalam
karya-karya mereka. Manakala Ibn Qadhi Syuhbah menyebutnya sebagai Shafwah
fi Ikhtishar Nihayah al-Mathlab. Kitab ini merupakan ringkasan[1]
bagi kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب), karya al-Imam Haramain al-Juwaini (478H).
Selain daripada judul di atas, Imam al-Subki pula menyebutkannya dengan nama Shafwah al-Mazhab ‘ala
Nihayah al-Mathlab. Berdasarkan judul yang diberikan oleh al-Subki, kitab ini merupakan
huraian (syarah) bagi kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب), bukannya
ringkasan.
Namun begitu judul yang disebutkan oleh Ibn Khalikan, Haji Khalifah
dan Ibn Qadhi Syuhbah lebih tepat berbanding dengan judul yang disebutkan oleh
al-Subki, kerana kitab Nihayah al-Mathlab ditulis merangkumi 40 jilid. Sedangkan
kitab Shafwah al-Mazhab ini hanya merangkumi 7 jilid sahaja. Berdasarkan
realiti tersebut, terbukti bahawa kitab al-Shafwah al-Mazhab ini merupakan
ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab dan bukannya kitab huraiannya.
Sekadar ini sahaja, maklumat yang diperolehi mengenai kitab Shafwah
al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab karya Imam Ibn ‘Ashrun ini. Saya belum
mendapat maklumat cetakan bagi karya ini. Wallahu a’lam.
Semoga bermanfaat.
[1] Selain kitab Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab ini, terdapat karya lain yang disusun sebagai kitab
ringkasan bagi kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab, antaranya;
a) Kitab al-Basith (البسيط), karya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad
al-Ghazali (505H).
b) Kitab al-Ghayah fi Ikhtishar
al-Nihayah (الغاية في اختصار
النهاية), karya al-Imam ‘Izzuddin
bin Abdul Salam (660H).
No comments:
Post a Comment