Friday, May 18, 2018

HILYAH 'ULAMA' FI MA'RIFAH MAZAHIB AL-FUQAHA'


Kitab Hilyah al-‘Ulama’ fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ (حلية العلماء في معرفة مذاهب الفقهاء) adalah sebuah karya al-Imam Fakhr al-Islam Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin al-Husain bin ‘Umar al-Syasyi al-Faraqy al-Syafi’i (429-507H), yang terkenal dengan gelaran al-Mustazhhari (المستظهري).

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ ini disusun atas permintaan khalifah kerajaan ‘Abbasiyyah ketika itu, iaitu Khalifah al-Mustazhhar billah. Oleh itu kitab ini juga terkenal dengan judul al-Mustazhhari sempena nama Khalifah al-Mustazhhar billah tersebut. Secara tidak langsung, karya beliau ini telah memasyhurkan nama beliau di kalangan para fuqaha’. Sehinggakan beliau sendiri terkenal dengan gelaran al-Mustazhhari.

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ merupakan sebuah kitab fiqh perbandingan mazhab. Ia disusun mengikut bab-bab fiqh yang memaparkan pendapat para ulama mazhab Syafi’i dan pendapat para ulama mazhab lain, khusus mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengenai pelbagai permasalahan fiqh. Terdapat juga dibawakan pendapat-pendapat ulama dari mazhab al-Zhahiri dan Syi’ah dalam beberapa masalah tertentu.

Kandungan kitab ini boleh dikatakan sebuah ensiklopedia fiqh yang sangat bernilai, yang ringkas dan mudah dirujuk. Namun begitu, perbincangan fiqh dalam kitab ini tidak menyebutkan dalil-dalil syarak dari al-Quran dan hadis, bahkan memadai dengan membawakan pandangan tokoh-tokoh mazhab yang yang terdapat dalam pelbagai kitab-kitab fiqh yang disusun oleh para ulama terkemuka.

Penyusunan kitab ini menunjukkan bahawa al-Imam Abu Bakr al-Syasyi merupakan seorang yang sangat jujur dalam membawakan pandangan para ulama terhadap pelbagai permasalahan fiqh yang dibincangkan. Keupayaan beliau membawakan pelbagai pendapat menunjukkan ketekunan dan ketinggian keilmuannya. Beliau bukan sahaja mendapat kedudukan yang tinggi di kalangan para ulama mazhab Syafi’i, bahkan para ulama mazhab yang lain pada zamannya.

Kitab Hilyah al-‘Ulama’ ini mempunyai sebuah kitab ringkasan (mukhtashar), yang disusun oleh Imam Muhammad bin Muhammad bin Bahram al-Dimasyqi (705H) melalui karyanya yang berjudul Tuhfah al-Nubaha’ fi Ikhtilaf al-Fuqaha’ (تحفة النبهاء في اختلاف الفقهاء).

Berdasarkan versi terbitan Maktabah Nazar Mustafa al-Baz, Arab Saudi pada tahun 1990 (cetakan 2), kitab Hilyah al-‘Ulama’ fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ ini telah dicetak dalam 3 juzuk, yang merangkumi dalam 1283 halaman. Kitab ini boleh dimuat turun  di pautan حلية العلماء في معرفة مذاهب الفقهاء.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment