Friday, August 16, 2013

Mukhtashar Tafsir al-Sya'rawi (مختصر تفسير الشعراوي)


Pada hari raya ‘Idil Fitri yang lalu, saya dan keluarga pulang beraya di kelantan. Seronok rasanya dapat beraya bersama sanak-saudara di sana. Sudah lama kami tidak balik beraya di Kelantan, rasanya sudah enam atau lima tahun kami beraya di perantauan di negeri Sabah.
Sebelum balik ke Sabah, kami sempat menjengok sekejap ke Kota Bharu. Saya mengambil kesempatan masa yang ada singgah di kedai buku tersohor di Kota Bharu, iaitu Syarikat Ja’afar Rawas. Ketika membelek-belek dan membaca sinopsis beberapa buah buku, saya terpandang sebuah set buku berbahasa ‘Arab dalam 3 jilid yang berjudul Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi (مختصر تفسير الشعراوي). Tergerak hati saya menghampirinya dan melihat sepintas lalu kandungannya. Kitab ini merupakan sebuah ringkasan Tafsir al-Sya’rawi yang masyhur itu.

Saya termenung sekejap, rasa mahu memilikinya, lihat harganya lebih kurang RM100 lebih. Agak berpatutan harganya. Mungkin boleh dirunding lagi harganya, agak saya.
Sebenarnya sudah lama saya ingin memiliki Tafsir al-Sya’rawi, sebuah karya tafsir kontemporeri milik al-‘Allamah al-Mufassir al-Syaikh al-Imam Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang tokoh tafsir yang terkenal dari Mesir (). Mengenai tafsir ini, sebelum ini  telah saya paparkan secara ringkas dalam blog ini.
Namun, untuk memiliki kitab Tafsir al-Sya’rawi secara keseluruhannya, rasanya agak besar belanjanya. Mungkin saya belum sanggup mengeluarkan belanja begitu besar, kerana masih ada keperluan yang lain yang lebih penting.
Akhir tahun lalu, desakan hati ingin memiliki kitab tafsir ini, semakin kuat apabila saya melihat terjemahan kitab ini dalam bahasa Indonesia ada dijual sebuah kedai buku di Sandakan. Ada 5 buah jilid (jilid 1-5) semuanya. Agak lama saya berfikir mahu beli atau tidak. Pada minggu berikutnya baru saya membuat keputusan membelinya. Memadailah setakat ini dengan lima jilid ini, harganya pun lebih RM300.

Pengenalan Ringkas Kitab Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi……

Kembali kepada kitab Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi. Kitab ini merupakan ringkasan yang telah dilakukan oleh anak kepada al-Syaikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi sendiri, iaitu ‘Abdul Rahim bin Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi. Kitab ini telah diterbitkan dalam 3 jilid, oleh Dar al-Tawfiqiyyah li al-Turath, Kaherah, Mesir pada tahun 2009.
Dalam prakata kitab ini, peringkasnya menerangkan tujuan kitab ini disusun, iaitu untuk memudahkan pembaca mengambil manfaat dari kitab Tafsir al-Sya’rawi, kerana kitab asalnya agak tebal yang merangkumi banyak jilid yang boleh membantut minat para peminat tafsir ini untuk memiliki, membaca dan mengambil manfaat dari kitab tafsir ini.

Di dalam penyusunan kitab ini, beberapa perkara telah dilakukan oleh peringkasnya, iaitu;
  1. Menghilangkan beberapa ibarat yang berulang-ulang, kecuali yang tidak dapat dielakkan masih dikekalkan.
  2. Menghilangkan hadis-hadis yang didapati dha’if dan mawduk.
  3. Membuatkan pentakhrijan hadis, dan menerangkan darjat bagi setiap hadis dalam tafsir ini, serta meletakkan baris bagi setiap hadis.
  4. Meletakkan tajuk-tajuk yang menerangkan maksud bagi setiap ayat yang ditafsirkan.
  5. Mengekalkan intipati tafsiran ayat dan menghilangkan huraian-huraian yang panjang lebarnya.
  6. Menerangkan sebahagian pengertian kalimah yang terdapat dalam tafsir ini.
Sebagaimana yang disebutkan di atas, kitab ini diterbitkan dalam 3 jilid. Berikut kandungannya bagi setiap jilid;

  1. Jilid 1: Muqaddimah pengarang, Tafsir al-Isti’azah, Tafsir surah al-Fatihah hingga  surah al-An’am.
  2. Jilid 2: Tafsir surah al-A’raf hingga surah al-Nur.
  3. Jilid 3: tafsir surah al-furqan hingga surah al-Nas.
Setelah membaca sebahagian tafsir ini, saya berpendapat agak berbaloi saya membelinya, dan saya cadangkan para pembaca yang memahami bahasa ‘Arab patut memiliki.

Kekurangan kitab ini….

Setelah saya membaca sepintas lalu kitab ini, saya dapati sebahagian ayat (khususnya ayat-ayat yang berulang)  tidak dinyatakan tafsirannya, peringkas hanya memadai menyatakan ayat ini telah diterangkan sebelumnya. Pembaca diminta merujuk kembali kepada ayat sebelumnya. Namun,  adakalanya hanya dinyatakan tafsiran ayat ini telah diterangkan sebelumnya tanpa dinyatakan nama surah dan ayatnya. Ada juga dinyatakan nama surah sahaja tanpa ayatnya. Keadaan ini menyulitkan pembaca untuk membuat rujukan kembali tafsiran ayat tersebut.
Tafsiran ayat yang berulang dihilangkan adalah logik dan perlu kerana bertujuan peringkasan, namun rujukan yang tepat perlu dinyatakan agar manfaat kitab ini dapat diambil sebagaimana kitab asalnya.
Setakat pengetahuan saya kitab ini belum lagi diterjemahkan dalam bahasa Melayu atau Indonesia.
Sekian sahaja catatan ini, semoga bermanfaat.

4 comments:

  1. salam. saya ada lihat dikedai buku sjr di atas baru-baru ini, ringkasan tafsir al-Sya'rawi yang lain, dalam satu jilid sahaja. judulnya zubdah al-tafsir.

    ReplyDelete
  2. Salam. Ya saya juga ada membacanya sepintas lalu kitab tersebut. Kitab ini juga merupakan susunan kembali oleh ‘Abdul Rahim bin Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, anak kepada kepada Syeikh Sya'rawi. Ia juga diterbitkan oleh penerbit yg sama iaitu Dar al-Tawfiqiyyah.

    ReplyDelete
  3. bagi saya xperlu buang hadis dhoif kerana hadis tersebut masih boleh dipegang dan di amal..sedangkan para ulama' sangat menjaga sehingga tidak melupakan hadis tersebut dan kita sanggup membuangnya begitu sahaja.sungguhpun ia dhoif tetapi ia masih dari Nabi s.a.w dan hormatilah mereka yang bersungguh membawanya.

    ReplyDelete
  4. Saya lagi butuh kitab ini versi terjemah , apakah ada yg bs bantu saya

    ReplyDelete