Friday, March 15, 2013

Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu

“ Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu ” merupakan sebuah buku karya al-Marhum Tuan Guru Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah seorang penulis yang aktif mengkaji dan menyusun karya-karya bermutu yang berkaitan dengan kitab-kitab Jawi peninggalan ulama nusantara. Berikut saya lampirkan maklumat ringkas mengenai buku “ Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu ”, yang saya nukilkan dari pautan di bawah. Semoga bermanfaat.
http://koleksikf.blogspot.com/2010/04/judul-buku-penutup-perdebatan-islam.html

 
Isi Kandungan:
Merupakan sebuah buku pembelaan untuk ulama silam dunia Melayu dari cabaran golongan intelektual Islam masa kini. Isu yang dibangkitkan ialah;
 
Bahagian pertama - Istilah Ahlus Sunnah wal Jama'ah, al-Quran dan as-Sunnah, Istilah Martabat Tujuh, Istilah as-Salaf as-Shalih, maulid barzanji, mengenai Nur Muhammad, ulama-ulama dunia Melayu, senarai nama para ulama yang membicarakan Nur Muhammad dan karangan-karangan mereka
Bahagian Kedua - Membicarakan sejarah penulisan fiqh di dunia Melayu / Asia Tenggara, pandangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani tentang imam mujtahid, pengertian mazhab, taqlid dan talfiq, pandangan mengenai bid'ah, pegangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran khilafiyah
Halaman : 172 M/S
Berikut dikongsi muqaddimah penulis, yang membicarakan matlamat penghasilannya, berserta sejarah perdebatan khilafiyah di dunia Melayu dan isi kandungannya;
Cetakan 1999
PERTIKAIAN pendapat dan khilafiyah dalam Islam, sama ada diakui mahu pun tidak, ia memang sejak lama berjalan. Sama ada disengaja atau pun tidak, sama ada mengelak apatah sengaja aktif berkecimpung pada perkara itu, jika kita melibatkan diri dalam aktiviti keislaman ternyata memang tidak dapat dielakkan. Dahulunya saya aktif mengikuti perkembangan khilafiyah di beberapa tempat yang terjadi di dunia Melayu ini, di mana saja forum atau seminar khilafiyah saya akan datang. Pandangan saya dari dulu sampai sekarang sama saja, iaitu saya tidak semestinya berpihak dengan satu pihak.
Sejak akhir-akhir ini saya memang tidak berminat lagi mengikuti pertikaian pendapat. Saya berfikir bahawa masih banyak pekerjaan yang perlu, yang tidak melibatkan khilafiyah, untuk disumbangkan kepada kepentingan umat Islam. Memang pertikaian pendapat menyalah-nyalahkan orang atau pihak lain lebih banyak merugikan perpaduan ummah. Akan tetapi pada saat-saat saya berusaha untuk tidak melibatkan diri dengan perkara khilafiyah, saya diundang oleh pihak tertentu untuk kembali mempersoalkan perkara-perkara yang jauh sebelum ini diperdebatkan orang. Undangan itu disampaikan kepada saya setelah mengajar malam Ahad, bertarikh 7 Rejab 1420 H/17 Oktober 1999 M, yang disampaikan oleh salah seorang ahli pengajian. Dia menyerahkan sebuah buku kepada saya, yang memang diketahuinya bahawa dalam buku yang tersebut memang terdapat sedikit kritikan terhadap buku-buku saya. Buku yang dihadiahi itu ialah ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’, judul kecil di bawahnya ‘Misteri Nur Muhammad, Teori Martabat Tujuh dan Rahsia Kitab Berzanji’ (Prosiding Seminar, diterbitkan oleh Badan Perkhidmatan Penerangan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (BPPI), cetakan pertama, Jun 1999.
Oleh hal-hal yang tersebut di atas, saya berasa wajib membela diri. Dengan waktu yang mesti diburu, maka saya selesaikanlah buku ini yang saya beri judul ‘PENUTUP PERDEBATAN ISLAM ALAF KEDUA DUNIA MELAYU’. Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘ALAF KEDUA’ ialah dalam lingkungan dari 1 Januari 1001 M hingga 31 Disember 1999 M. Perdebatan perkara khilafiyah Islam di dunia Melayu telah berjalan sejak abad ke 16-17 M, iaitu bermula dari Syeikh Nuruddin ar-Raniri mengkritik ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam perkara Tasawuf.
Cetakan 2010
Syeikh Nuruddin ar-Raniri bukan berdebat kepada kedua-dua ulama dan tokoh shufi itu, kerana pada ketika itu kedua-duanya telah meninggal dunia. Bertahun-tahun lamanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri tiada perlawanan, sempat menyelesaikan beberapa kitab yang memfokuskan sektor shufi sehingga benar-benar dipandang salah tanpa ada pembelaan. Tiba-tiba muncullah seorang shufi bernama Syeikh Saifur Rijal yang mampu berdebat dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Setelah diadakan pertarungan debat terbuka, manakala Sultanah Acheh Shafiyatuddin pula tidak berpihak dengan sesuatu pihak, ternyata Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak mampu berhujah melawan Syeikh Saifur Rijal. Akibat peristiwa itulah Syeikh Nuruddin ar-Raniri terpaksa meninggalkan Acheh, lalu pulang ke negerinya India.
Demikianlah salah satu di antara perjalanan debat pada abad ke 16-17. Pada abad ke 19-20, perdebatan masalah khilafiyah menjelma kembali, bukan masalah shufi saja tetapi berbagai-bagai masalah termasuk fiqh Syafi’iyah dan ‘aqidah Ahlis Sunnah wal Jama’ah aliran Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi.
 
Untuk perdebatan yang ada sekarang, saya mulai dengan kenyataan Syeikh Khatib ‘Ali, kata beliau, “Ketahui olehmu bahawasanya fatwa-fatwa yang batal telah masuk ke negeri Minangkabau dan lain-lain negeri Hindiyah iaitu mulai pada masa tahun hijrah Nabi kita Muhammad SAW 1330 bersetuju dengan tahun Masihi 1912. Asalnya terbit daripada Rasyid Ridha Shahib Al-Manar, Kaum Wahhabiyah di Mesir. Dikembangkan oleh setengah beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya oleh setengan beberapa ulama Minangkabau ini. Diambilnya daripada Al-Manar itu. Maka datang kitab Khiththah al-Mardhiyah karangan Syeikhuna asy-Syeikh Ahmad Khatib Imam asy-Syafi’iyi Makkah al-Musyarrafah buat menolaknya. Dan datang pula kitab Syawahid al-Haq dan Jawahir al-Bihar karangan Syeikh Yusuf an-Nabhani Ra’su Mahkamah Beirut…. Sekalian kitab-kitab yang tersebut itu menerangkan sesat dan batalnya fatwa-fatwa yang menyalahi mazhab yang empat. Maka berusaha pula al-haqir Muhammad ‘Ali Khatib buat mengarang kitab yang bernama Burhan al-Haq dan mengeluarkan Shuluh Melayu buat menolak segala fatwa-fatwa yang batal itu….”
 
Isu yang tersebutlah yang berjalan terus di dunia Melayu tanpa hentinya hingga sekarang ini, penghujung alaf kedua. Baik peristiwa pada abad ke 16-17 atau pun peristiwa abad ke 19-20 masih dalam lingkungan alaf yang kedua. Oleh sebab alaf yang kedua Masihi berakhir, judul buku ini saya sebut “PENUTUP ….”. Sekarang kita memasuki alaf yang ketiga Masihi, kita semua belum dapat meramalkan perdebatan Islam dalam bentuk apa pula akan terjadi sepanjang alaf itu. Oleh sebab saya yakin buku ini akan menjadi rujukan orang-orang sependapat dengan saya di dunia Melayu mulai sekarang (penghujung alaf yang kedua), sepanjang alaf yang ketiga dan alaf-alaf yang berikutnya, maka setiap terbitan ulangan buku ini (selagi saya hidup), akan saya tulis penambahan-penambahan kandungannya.
 
Buku yang diterbitkan sekarang ini sebenarnya masih belum lengkap. Tulisan tokoh-tokoh tertentu yang segenarasi dengan saya yang mempersalah-salahkan ulama silam dunia Melayu, yang tulisannya telah sampai kepada saya, sebenarnya telah saya tanggapi. Telah saya selesaikan bantahan terhadapnya dalam alaf yang kedua tetapi masih belum diterbitkan, terpaksa diterbitkan dalam alaf yang ketiga. Oleh sebab itulah, maka saya jadikan tambahan dalam buku ini juga untuk penerbitan-penerbitan ulangan. Sebab-sebab belum diterbitkan ialah kerana memelihara hubungan baik peribadi antara saya dengan tokoh-tokoh yang bersangkutan. Akan tetapi setelah saya berfikir dan terus berfikir, bahawa mereka tidak menjaga nama baik ulama-ulama yang telah berjasa. Sedangkan mereka demikian adanya, maka tiada perlulah saya masih bertahan untuk tidak menerbitkan pemikiran saya yang membela ulama-ulama silam kita
Insya-Allah, saya pastikan, sama ada dalam waktu terdekat atau teratur menurut jadwal akan saya terbitkan jua. Bahawa kita berada sekarang ini, kalaulah bukan kerana perjuangan yang gigih ulama-ulama silam kita, agama apa yang kita anut atau tahap pengenalan kita terhadap agama Islam belum tentu seperti yang ada sekarang ini. Orang-orang tertentu telah mencemarkan nama ulama-ulama silam, sedangkan setiap ulama mempunyai keturunan nasab dan keturunan murid yang sekian ramai sekaligus meninggalkan karangan-karangan berupa risalah dan kitab sebagai pedoman.
Kitab-kitab peninggalan mereka pula dipersalahkan atau pun diharamkan mempergunakannya. Tanpa disedari orang-orang tertentu tadi memutuskan tali silaturrahim antara ulama silam yang terkenal dengan keturunan nasab dan jalur murid-murid mereka dari atas hingga sekarang ini, jika propaganda pihak-pihak tertentu tadi diterima oleh mereka. Atau pun keturunan nasab ulama dan keturunan murid-murid pada mulanya menjadikan karangan ulama silam sebagai pegangan, tetapi setelah membaca tulisan-tulisan orang tertentu yang menyalahkan atau pun mengharamkan tadi, mereka memandang kitab-kitab itu sangat jijik, kerana percaya dengan tuduhan, bahawa kitab-kitab itu penuh dengan kesesatan, bid’ah dan khurafat.
 
Mereka yang pandai menyalahkan atau pun mengharamkan ternyata tiada mampu menghasilkan karya yang berpengaruh dalam masyarakat sejagat dunia Melayu. Tanpa mereka sedari, walaupun mereka mengaku bahawa mereka akan memurnikan Islam, sebenarnya adalah sebagai virus kanker perusak dan pemusnah aliran Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Dan sekaligus sebagai perusak dan pemusnah khazanah pengkaryaan Melayu-Islam yang telah dihasilkan ulama-ulama Melayu yang telah digunakan oleh masyarakat Islam di rantau ini sejak sekian lama.
Selanjutnya dalam buku ini terdapat dua judul. Selain PENUTUP PERDEBATAN ISLAM DI DUNIA MELAYU ALAF KEDUA, judul lainnya adalah SUMBANGAN SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATHANI KEPADA PENGAJIAN FIQH SYAFI’IE DI ASIA TENGGARA. Judul ini adalah merupakan kertas kerja saya dalam Nadwah Ilmiah Tokoh Ulama Peringkat Kebangsaan Kali Keempat (SYEIKH DAUD BIN ABDULLAH AL-FATANI) anjuran bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademi Islam Universiti Malaya, 11-13 Jamadilakhir 1412 H/ 17-19 Disember 1991 M. Kertas kerja yang tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk buku.
 
Digabungkan penerbitannya dengan judul yang pertama adalah tepat pada waktunya kerana lebih memperkuat dan menyerlahkan bukti keulamaan dan ketokohan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani setelah karya beliau dikecam dalam buku berjudul ‘Tasauf Falsafi dan Wahdatul Wujud Menurut Islam’ yang telah disebutkan pada awal muqaddimah ini. Kertas kerja mengenai sumbangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah penting sebagai pedoman untuk menghadapi khilafiyah dalam bidang fiqhiyah Syafi’iyah pada masa-masa yang akan datang.
Sekian saja kata pengantar/ muqaddimah pada terbitan yang pertama ini, mudah-mudahan perkara ikhtilaf dalam mazhab dan firqah Islam yang dibicarakan ini menjadi rahmat, janganlah hendaknya perpecahan ummah menjadi yang lebih besar.

Diselesaikan di Kuala Lumpur.

Pada Selasa, 15 Sya’ban 1420H / 23 November 1999M.

Wassalam,

Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

No comments:

Post a Comment