Friday, March 29, 2013

al-Durrah al-Nafisah


Kitab al-Durrah al-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa al-Shifat wa al-Zat al-Muqaddasah merupakan sebuah kitab tasawuf karya seorang ulama tasawuf alam Melayu yang terkenal. Mengenai ulama yang menulis kitab ini, saya bawakan tulisan al-Marhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, seorang pengkaji sejarah ulama nusantara dan kitab jawi yang terkenal;

Kitab ini belum pernah diterbitkan berupa bahan cetakan. Manuskrip yang ada hanya sebuah saja, ada dalam simpanan saya (penulis artikel ini).Sungguh pun tidak terdapat nama pengarang namun dapat diduga adalah karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, merupakan syarah kitab beliau yang berjudul “Ad-Durr an-Nafis”. Jadi manuskrip yang sekarang menjadi koleksi peribadi saya adalah asli tulisan tangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari ”.

Menurut al-Marhum Hj. Mohd Shaghir lagi, “ Tarikh tepat penulisan mulai waktu Dhuha, hari Jum’at, 15 Rabi’ul Akhir 1239 H / 19 Disember 1823 M, dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharram 1240 M / 3 September 1824 M ”.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab al-Durrah al-Nafisah ini, kita ikuti huraian al-Marhum Hj. Wan Mohd Shaghir seterusnya;

Sebelum memasuki kandungan “al-Durrah al-Nafisah”, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua buah karya ringkas tentang tasawuf. Yang sebuah 18 halaman dan satu lagi 14 halaman. Kedua-duanya tanpa judul. Yang sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada malam, 30 Jumadil Awwal 1235 H / 16 Januari 1820 M. Pada mukadimah risalah yang pertama Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari menyebut tentang ‘diri’ ada empat jenis. Kata beliau, “ Pertama: Diri yang berdiri, iaitu diri jasad, atau tubuh badan. Kedua: Diri yang terperi. Ketiga: Diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat: Diri yang sebenar-benar diri.” Keempat-empat ”diri” dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah yang terdapat dalam ilmu tasawuf.

Kedua-dua risalah yang dianggap sebagai mukadimah “al-Durrah al-Nafisah” saya tinggalkan saja, langsung saja kepada manuskrip yang sedang diperkenalkan. Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari memulai bicara dengan katanya, “Aku memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi S.A.W seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas hari bulan Rabi’ul Akhir, yaum al-Jum’ah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jum’at, jam 8.00, pada 15 Rabi’ul Akhir 1239 H pen:)”.

Sebab-sebab beliau menulis kitab yang tersebut juga dinyatakan dalam mukaddimah pada halaman yang berikutnya. Kata beliau, “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadil Awwal, (maksudnya: pada 30 Jamadil Awwal 1235 H, pen:).” Selanjutnya beliau jelaskan, “Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal.” Beliau jelaskan selanjutnya, "Bahawa itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah yang simpan (maksudnya: yang ringkas, pen:) perkataannya dengan bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut...” Barangkali oleh kerana kandungan keseluruhan “al-Durrah al-Nafisah” adalah tasawuf peringkat tinggi, maka diperlukan bahasa yang beradab. Itulah yang dimaksudkannya dengan “bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut” bukan bahasa Melayu yang kasar, yang tiada beradab atau tiada berakhlak atau boleh juga dikatakan tiada berbudi bahasa.

Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab-mazhab dalam ‘aqidah. Mengenai ini ada yang telah beliau bicarakan dalam “al-Durr al-Nafis” tetapi selepas dibanding ternyata dalam manuskrip “al-Durrah al-Nafisah” penambahan dan bahasan jauh lebih banyak, perbicaraan jauh lebih luas dan mendalam. Mengenai dua mazhab iaitu Mazhab Qadariyah dan Mazhab Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah dalam “Ad-Durrah an-Nafisah” terdapat tambahan yang sangat banyak.
 
Dalil mengenai Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran tentang “kaum yang kasih kepada Allah” salah seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. Nabi S.A.W menjawab dan menunjuk sahabat baginda Abu Musa al-Asy'ari R.A. Manakala muncul keturunan beliau, iaitulah Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah “imam” Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah.

Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, “Mazhab yang berpegang kepada I’tiqad Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafi’ie. Maka Mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah yang pada I’tiqad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi.” Sesudah membicarakan tiga mazhab di atas Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah.

Walaupun karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul “ al-Durr al-Nafis” yang pernah dicetak terjadi kontroversi dengan beberapa tokoh ahli zhahir, namun bagi saya “al-Durrah al-Nafisah” yang merupakan syarah “al-Durr al-Nafis” mesti diperkenalkan. Bahawa kedua-dua kandungan kitab yang tersebut adalah tidak salah menurut ulama-ulama ahli shufi ”.

Artikel di atas,  diolah kembali dari artikel dari sumber berikut:
http://naungan_nur_wahyu.tripod.com/id43.html. Di mana artikel asalnya pernah dimuat dalam Berita Harian, hari Selasa 27 Disember. 2005, hlm 10, dengan judul “Ad-Durrah an-Nafisah, Bahasan Tasawuf, Guna Bahasa Beradab”.

Kitab al-Durrah al-Nafisah ini telah diterbitkan buat kali pertamanya oleh Khazanah Fathaniyah, dengan tebalnya 290 halaman.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

No comments:

Post a Comment