Kitab al-Mughni
( المغني ) karya Muwafiquddin Ibnu
Qudamah al-Maqdisi rahimahullah ini adalah di antara deretan khazanah agung
ahli sunnah wal-jama'ah dalam bidang perbahasan fiqh Islam. Kitab al-Mughni
merupakan kitab yang disusun sebagai huraian (syarah) kepada kitab Mukhtashar al-Kharaqi (الخرقي مختصر ), sebuah kitab fiqh dalam
mazhab Hanbali karya Abu al-Qasim ‘Umar bin al-Husain bin ‘Abdullah al-Kharaqi.
Kitab ini dengan membawa method perbahasan fiqh perbandingan (muqorran) antara
mazhab dengan menjadikan mazhab fiqh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai keutamaan,
di mana ia dilahirkan dari kalangan kelompok mazhab Imam Ahmad B. Hanbal.
Kitab ini sebaris dengan deretan karya-karya fiqh
muqarran lainnya. Beliau mengemukakan perbahasan-perbahasan fiqh antara mazhab,
dalil-dalilnya, dan kemudian menjelaskan kesimpulan yang paling tepat
berdasarkan ijtihad beliau.
Beliau juga turut mengemukakan perbezaan pendapat
yang berlaku dan berkembang di kalangan para ulama madzab Hanbali dalam
pelbagai masalah berserta hujah-hujah dalilnya. Kemudian beliau bandingkan
dengan pendapat-pendapat dari kalangan ulama mazhab yang lain sama ada mazhab
Malik, Abu Hanifah, asy-Syafi'i, termasuklah beberapa mazhab para ulama yang
jarang diketahui seperti mazhab Imam al-Hasan al-Basri, Atha', Sufyan at-Tsauri,
serta beberapa yang lain. Termasuk juga di dalamnya mazhab para sahabat dan
para tabi'in.
Tanpa dapat disangsikan lagi, bahawa Kitab
al-Mughni ini adalah merupakan termasuk di antara ensiklopedi fiqh Islam dari
zaman salaf yang terbaik yang telah disusun dalam format fiqh perbandingan yang
mana pada ketika itu kitab-kitab seperti ini masih begitu jarang ditemui.
Oleh kerana itu, para ulama yang berasal dari pelbagai mazhab pun memandang kitab ini dengan pandangan penuh penghargaan, penelitian, dan dianggap sebagai salah satu rujukan ulung dalam bidangnya. Ini sekaligus memberi sumbangan berharga dalam menangani pelbagai isu-isu fanatik kepuakan dan mazhab.
Sebagaimana kitab-kitab fiqh lainnya, kitab ini
dimulakan dengan perbahasan fiqh thaharah, wudhu', mandi, solat, solat-solat
sunnah, pengurusan jenazah, haji dan umrah, zakat, puasa, sehinggalah kepada
perbahasan-perbahasan lainnya yang lebih terperinci dalam pelbagai cabang fiqh
seperti sembelihan, buruan, pernikahan, jual beli, wasiat, luqatah, hutang
pituang, jihad, peperangan, jihad, pemerintahan, banyak lagi yang lainnya.
Pujian Ulama Terhadap Ibnu
Qudamah dan karya beliau, al-Mughni;
Imam Ibnu Muflih rahimahullah
(Wafat: 763H) berkata, "Muwaffaquddin Ibnu Qudamah telah menyibukkan
dirinya bagi tujuan menyusun sebuah kitab tentang Islam. cita-cita beliau
tersebut pun tercapai. Kitab beliau ini merupakan kitab yang sangat bagus dalam
mazhab Hanbali. Beliau telah berjaya menyusun kitab tersebut dan telah
melakukannya dengan baik sekali. Kitab beliau telah menghiasi Mazhab Hanbali
dan telah dibaca oleh banyak orang (para ilmuan) di hadapannya."
Pengarang kitab al-Wafi bi
al-Wafayat, iaitu Imam Sholahuddin Shofdi rahimahullah (Wafat: 764H)
mengatakan, "Beliau (Ibnu Qudamah) adalah orang nombor satu pada masanya.
Beliau adalah imam yang sangat menguasai ilmu khilaf (perbezaan pendapat di
kalangan ulama dan mazhab), Fara'idh, ushul fiqh, fiqh, nahwu, hisab, serta
astronomi dan al-manak. Dalam tempoh masa tertentu, beliau telah menjadikan
orang ramai ketika itu sibuk untuk mengkaji kitab al-Khiraqi, al-Hidayah, dan
kemudian kitab Mukhtashar al-Hidayah. Setelah itu, beliau menjadikan orang
ramai sibuk pula untuk mengkaji (mendalami) kitab-kitab hasil tulisannya."
Download kitab ini di pautan
berikut: http://www.waqfeya.com/book.php?bid=504
No comments:
Post a Comment