Thursday, March 14, 2013

AL-IYDHAH FI MANASIK AL-HAJ WA 'UMRAH


Kitab al-Iydhah fi al-Manasik (الإيضاح في المناسك) atau disebutkan oleh pengarangnya Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H) sebagai al-Iydhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah merupakan sebuah kitab fiqh yang disusun secara khusus mengenai ibadat haji dan umrah.

Berikut pengenalan ringkas kitab ini, yang saya petik dari muqaddimah kitab al-Iydhah sebagaimana yang diterangkan sendiri oleh Imam al-Nawawi.

“ …………………….  Dalam menyusun kitab ini kami sudah berusaha dengan semaksimun mungkin untuk mengumpulkan kajian yang kami anggap penting dengan memerhatikan keindahan gaya bahasa serta penjelasan yang menarik, di mana kajian tersebut adalah kajian yang berhubungkait dengan system melaksanakan ibadat haji dengan efektif, iaitu dengan menjelaskan tempat-tempat yang menjadi tujuan para jemaah haji, serta kami berusaha melengkapkan kitab ini dengan permasalahan yang diperlukan oelh pembaca, baik masalah asas mahupun masalah yang tidak begitu penting. Untuk itu tidak selayaknya apabila para calon jemaah haji sampai tidak mengkaji kitab ini, kerana perbahasan kitab ini adalah berkiasar pada masalah-masalah yang sudah lazim terjadi dengan penjelasan yang detail dan nyata yang bertujuan agar pemahaman calon jemaah haji tidak kabur lagi terhadap segala permasalah yang berhubungkait dengan ibadat haji dan tidak perlu bertanya lagi pada orang lain tentang kes-kes yang sering berlaku ketika waktu melaksanakan ibadat haji. 

Satu-satu galakan menyusun kitab ini adalah agar seseorang yang telah mengkaji kitab ini tidak lagi memerlukan fatwa daripada orang lain tentang sesuatu yang diperlukan. Kami berusaha untuk mengemukakan semua permasalahan yang asasnya terdapat dalam al-Quran dan hadis, lalu kami sengaja membuang beberapa dalil yang terlalu panjang agar kitab ini tidak terkesan efektif dan praktis dan agar tidak menimbulkan pemikiran yang berlebihan. Jelasnya, kami telah berusaha untuk menekankan pada teks agar mudah dan praktis sehingga mudah difahami oleh orang ramai serta tetap berfungsi bagi orang yang berwawasan sempit mahupun yang berwawasan luas.


Sebenarnya, kitab al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah ini merupakan nukilan daripada kitab[1] yang dikarang oleh Syaikh al-Imam Taqiyuddin Abu ‘Amru Ibn al-Shalah (643H). Kitab yang indah, isi kandungannya mengenai konsep melakukan ibadat haji. Tujuan-tujuan yang ditulis dalam kitab tersebut kemudiannya kami pindahkan ke dalam kitab al-Iydhah ini.. Kemudian kami tambah sedikit penjelasan agar lebih menarik dan bai, dan terkadang kami tambah dengan penjelasan yang agak banyak kerana kami berharap para pembaca tidak cepat bosan dan menambah minat para calon jemaah haji untuk mengkajinya. ……Dalam perbahasan ini kami jelaskan tentang isi yang terkandung dalam kitab ini, iaitu dalam lapan bab…”

Kemudian Imam al-Nawawi menyenaraikan setiap bab tersebut dengan menyebutkan secara ringkas permasalahan yang dibincangkan.

Berikut saya (penulis) senarai bab-bab tersebut secara ringkas;

Bab 1:    Etika Menunaikan Ibadat Haji
Bab 2:   Tentang Ihram.
Bab 3:   Tata Cara Memasuki Makkah.
Bab 4:   Tentang Umrah dan Permasalahan Yang berkaitan.
Bab 5:   Penjelasan Tentang Bermukim di Makkah, Tawaf Wada’ dan Masalah yang berkaitan.
Bab 6:   Ziarah ke Makam Rasulullah saw.
Bab7: Kewajipan Terhadap Seseorang yang Meninggalkan Kewajipan dan Melakukan larangannya.
Bab 8:  Ibadat yang dilakukan oleh Anak Kecil Hamba Sahaya, Wanita dan lainnya.

Kitab ini telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama, antaranya;

a)      al-Imam Ali bin Abdullah bin Ahmad al-Hasani (911H) dan kitab ini kemudiannya telah diberikan komentar (hasyiah) oleh al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami (974H).

b)         al-Imam Syamsuddin al-Jamal Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah bin Ahmad Syihabuddin al-Ramli al-Munufi (919-1004H) dengan karyanya al-Gharar al-Bahiyyah fi Syarh al-Manasik al-Nawawiyyah   (Syarh al-Iydhah)

c)          Ibn ‘Allan, al-‘Allamah al-Muhaddith Muhammad ‘Ali bin ‘Allan al-Shiddiqi al-Syafi’i (1057H), karyanya Fath al-Fattah Syarh al-Iydhah fi al-Manasik li al-Nawawi.

d)     Syaikh Abdul Fattah bin Husain Rawah al-Makki (1334-) dengan karyanya  al-Ifshah 'ala Masa-il al-Iydhah. Beliau juga telah meringkaskan kitab al-Iydhah dan Hasyiah Ibn Hajar al-Haytami dalam karyanya yang berjudul “Mursyid al-Hajj wa al-Mu’tamir wa al-Za-ir ila A’mal al-Hajj wa al-‘Umrah wa al-Ziyarah”.

Kitab ini  juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia oleh Asmadji Aes Mukhtar dan M. Mujib dan diterbitkan oleh Syarikat Jahabersa (sekadar maklumat yang ada).

Dalam perkembangan terbaharu kitab ini juga telah diterjemah dan dihuraikan (syarah) oleh Dr Muhammad al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) dengan judul " al-Tawdhih fi Syarh al-Iydhah fi al-Manasik ".

Kitab al-Idhah fi al-Manasik ini boleh didownload di pautan berikut;
http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1496

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment