Wednesday, October 3, 2018

Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam


Buku Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (Hukum Makmum & Imam) merupakan sebuah buku terjemahan yang disusun oleh Datuk Syaikh al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan Besar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Buku ini telah diterbitkan dengan edisi rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Alor Setar – Kedah.

Maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan kata-kata penyusunnya (penterjemah), sebagaimana dalam muqaddimahnya:

“ ..Maka dengan taufik dan hidayah Allah SWT dapat saya menterjemahkan sebuah kitab fiqh yang terkenal pada zaman silam iaitu kitab al-Qaul al-Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (القول التام فى أحكام المأمون والإمام), karya al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad – yang masyhur dengan Ibn al-‘Imad Yusuf al-Mishri al-Aqfahasi (867H). Terjemahan ini pada mulanya ialah sebagai catitan untuk  kegunaan bagi saya  sendiri semasa menyampaikan pelajaran (mengajar) di majlis pengajian khas di rancangan takmir masjid dan surau di negeri Kedah Darul Aman. Dimaklumkan bahawa kitab tersebut tidaklah saya terjemahkan semua sekali (seratus peratus) dan mana-mana masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita saya tinggalkan supaya terjemahan ini tidak ternampak besar oleh para pembaca yang boleh menjemukan mereka ”[1].  

Kandungan buku ini dimulai dengan terjemahan kata pendahuluan pengarang asal (Ibn al-‘Imad) yang mengandungi hadis-hadis mengenai solat berjemaah dan diikuti 215 masalah yang berkaitan solat berjemaah. Buku ini dibahagikan kepada dua juzuk yang dicetak dalam satu buku. Ketebalan buku ini merangkumi 202 halaman termasuk halaman isi kandungannya (berdasarkan buku edisi Jawinya).  

Kitab al-Qaul al-Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (القول التام فى أحكام المأمون والإمام) adalah sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Sebuah kitab yang menfokuskan hampir keseluruhan peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Buku ini juga sesuai dijadikan sebagai salah satu buku teks di dalam kelas ta'mir di masjid-masjid dan surau-surau. Kupasan yang dipersembahkan oleh pengarang bersifat komprehensif, padat dan mudah difahami. Sesiapa sahaja yang ingin mendalami pengetahuan agama disarankan agar memiliki buku ini. Huraian yang disajikan dilihat amat sesuai dibaca oleh seluruh umat Islam. 

Semoga bermanfaat.




[1] Terjemahan al-Qaulu Tam…(edisi Jawi), hal. 1-2.

2 comments:

  1. Amat bermanfaat atas perkongsian ini

    ReplyDelete
  2. Dimana nak dapatkan kitab ini? Trimakasih

    ReplyDelete