Saturday, October 27, 2018

Syarh Syuruth al-Wudhuk (شرح شروط الوضوء)


Kitab Syarh Syuruth al-Wudhuk (شرح شروط الوضوء) merupakan sebuah karya fiqh yang ringkas yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H), yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Kabir.

Risalah ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya fiqh mengenai syarat-syarat sah wuduk yang disusun dalam bentuk nazam (syair). Mengenai penyusun sebenar nazam sebanyak 15 bait ini, tidak diketahui dengan pasti. Bahkan Imam Syihabuddin al-Ramli, di dalam muqaddimah Syarah Syuruth al-Wudhuk ini ada menyebutkan dua nama tokoh mazhab Syafi’i yang berkemungkinan merupakan penyusun bagi nazam ini, iaitu;

a)     al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

b)     al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Zaynuddin al-‘Iraqi (826H).

Dalam kitab ini, Imam Syihabuddin al-Ramli memberikan penerangan bagi setiap syarat sah wuduk yang disebut dalam nazam tersebut, iaitu sebanyak 15 perkara - berdasarkan pandangan para ulama Syafi'i.

Kitab Syarh Syuruth al-Wudhuk ini boleh dibaca di pautan شرح شروط الوضوء. Manakala manuskripnya boleh dimuat turun di pautan https://al-mostafa.info/data/arabic/depot/gap.php?file=m016454.pdf. Sebenarnya dalam manuskrip ini terdapat dua kitab mengenai syarat sah wuduk. Di bahagian atasnya kitab Syarah Syuruth al-Wudhuk - karya Imam Syihabuddin al-Ramli, manakala di bahagian bawahnya pula adalah sebuah karya al-Imam al-Hafizh Syamsuddin Muhammad bin Abdul Rahman al-Sakhawi al-Syafi'i (831-902H). 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment