Thursday, May 7, 2020

Panduan Fardu 'Ain


Sempena pemergian seorang tokoh dakwah terkenal Tuan Guru Dato’ Ismail bin Kamus (1948-2020) pada malam tadi, blog karya ulama ini ingin memaparkan sebuah karya beliau yang menjadi rujukan umat Islam suatu ketika dulu. Mungkin karya beliau ini sudah tidak lagi beredar di pasaran pada masa kini.

Karya beliau ini berjudul “PANDUAN FARDU ‘AIN”. Sebuah buku yang ringkas dan padat, yang didahului dengan perbincangan mengenai ilmu tauhid (akidah) dan dikuti perbincangan khusus mengenai ibadat solat. 

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 10 bab, meliputi bab tauhid, bersuci, ibadat solah, solah berjemaah, solah jamak dan qasar, solah-solah sunat, solat jumaat, urusan jenazah, doa selepat solah dan tahlil.

Sekadar maklumat yang diperolehi, saya hanya menemui dua edisi cetakan buku ini, iaitu;

a)  Buku yang diterbitkan oleh Muafakat Enterprise Sdn. Bhd pada tahun 1992 dengan cetakan ke enam (edisi ke-4). Tebal buku 126 halaman.

b)   Buku yang diterbitkan oleh At Tafkir Enterprise pada tahun 1993 dengan cetakan pertama. Tebal buku 129 halaman.

Sebagaimana yang disebut di atas, saya belum menemui terbitan terbaharu buku ini di pasaran. Namun begitu, ketiadaan buku ini telah diganti dengan sebuah karya beliau yang lain dan terkini yang lebih lengkap dan sesuai sebagai bacaan dan rujukan umat Islam, iaitu buku yang berjudul “INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT” . Buku ini disusun oleh Dato’ Ismail Kamus , serta dibantu oleh Ust. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, seorang pensyarah di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd dengan cetakan pertama pada Mac 2009. Buku ini masih ada di pasaran dan telah terbitkan edisi barunya yang telah dikemaskini. Ia masih  ada dijual di kedai-kedai buku agama di seluruh negara. 

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment