Kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid (جمع الفوائد وجواهر
القلائد) adalah sebuah karya al-‘Allamah Syeikh
Daud bin Syeikh 'Abdullah al-Fathani ().
Kitab
ini selesai penulisannya di Makkah al-Mukarramah pada Jumaat, 27 Jumadilawal
1239. Di antara manuskrip salinan yang baik dan lengkap yang ditemui ialah
salinan oleh 'Abdus Shamad Mahmud Jala, tinggal di Kampung Pusin, Patani.
Tarikh selesai penyalinan pada Ahad selepas Asar, 8 Rabiulawal 1286. Tempat melakukan
penyalinan di Kampung Pusin, Patani.
Cetakan
pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1303 Hijrah atas usaha dan
tashhih Syeikh Ahmad al-Fathani. Ada beberapa lagi edisi cetakan lainnya di
antaranya oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, di Zuqaq Saiyidi Ahmad Dardir,
berhampiran Jami' Al-Azhar Al-Munir, pada Zulkaedah 1311.
Daripada
cetakan pertama hingga terakhir dicantumkan pada bahagian tepinya ‘al-Fawaid
al-Bahiyah’ karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, membicarakan pelbagai hadis. Pentashhih
pertama Syeikh Ahmad al-Fathani, cetakan 1311 Hijrah ditashhih oleh Syeikh
Muhammad Tahir bin Muhammad Jalaluddin al-Minankabawi.
Kandungan
secara umum membicarakan pelbagai ilmu pengetahuan: sejarah, akidah, fiqh,
tasawuf, akhlak, hadis, tafsir, doa dan sebagainya. Kandungan dimulakan halaman
depan cetakan 1311 Hijrah tercatat nama al-'Allamah al-Imam Bahjah Din
al-Islam, kalimat ini jika diterjemahkan, maksudnya ialah ‘yang sangat alim,
imam keindahan agama Islam’. Sesudah kalimat itu, disambung dengan nama beliau
iaitu asy-Syeikh Daud ibnu as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani.
Pada
mukadimah Syeikh Daud as-Syeikh 'Abdullah al-Fathani menulis: “Maka inilah
beberapa faedah yang amat nyata, dan beberapa kalimah yang tinggi dan beberapa
nasihat yang amat nyata, dan beberapa hikayat bagi ahlillah, dan salihin yang
elok. Telah mengasihani Allah akan seseorang yang mengira-girakan barang yang
tersebut dalamnya dan iktibar, dan mengamalkan dengan barang yang terkandung
padanya, dan mencubakan daripada beberapa hikmah yang dibangsakan daripada
tuhan, dan beberapa nasihat yang amat nyata. Telah aku pungut akan dia daripada
beberapa kitab kaum ahli tasawuf daripada beberapa hadis Nabi SAW, dan
perkataan sahabat, dan ahli al-wilayat.”
Dua
bab selepas mukadimah menekankan pengajaran supaya insan Muslim sentiasa
memohon perlindungan daripada al-Khaliq (Allah) yang menjadikan sekalian alam.
Selepasnya diterapkan pula supaya memulakan pekerjaan supaya membaca Basmalah.
Pelbagai contoh kelebihan membaca kedua-duanya diperkenalkan dengan terperinci.
Dalam
tasawuf memang ada konsep mahabbah (kasih sayang). Syeikh Daud 'Abdullah
al-Fathani selepas kedua-dua bab itu, terus membicarakan bab al-Mahabbah.
Beliau mulai dengan sepotong hadis lengkap dengan lafaz Arabnya dan beliau
terjemahkan: “Bahawasanya Allah berfirman pada hari kiamat: “Di mana orang
yang berkasih mereka itu dengan kebesaran-Ku? Pada hari ini Aku naungkan mereka
itu dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan, melainkan naungan-Ku.”
Syeikh
Daud bin 'Abdullah al-Fathani memberi pelbagai contoh mengenai mahabbah, yang
boleh dikategorikan ke dalam sastera sufi. Beliau mengungkapkan
berkasih-kasihan yang terjadi dalam peristiwa Zulaikha dengan Nabi Yusuf.
‘Hikayat Nabi Yusuf’ yang berdasarkan petikan beberapa ayat al-Quran beliau
ungkapkan dengan panjang lebar. Dari bahagian ini pula dapat dibuktikan bahawa
Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama besar yang juga bijak
dalam ilmu tafsir al-Quran.
Demikian
panjang yang dibicarakan dalam bab al-Mahabbah, pada muka 61, baru memasuki bab
Pada Menyatakan Berhadap Hamba Kepada Allah Dan Kembali Kepada-Nya. Mulai bab
ini dan dua bab selepasnya semuanya membicarakan tasawuf, saya langkaukan saja,
hingga masuk membicarakan bulan penting dalam Islam.
Selain
terjadi pelbagai peristiwa, dianjurkan pula pelbagai amalan tertentu yang
dikerjakan dalamnya. Mengenai ini dimulai mengenai pada muka 74. Perbicaraan
mengenai Rejab termasuk peristiwa Israk dan Mikraj yang terjadi pada bulan ini.
Perbicaraan
selanjutnya mengenai Syaaban dengan pelbagai kelebihannya, termasuk yang
terkenal Nisfu Syaaban (muka 91 hingga 100). Seiringan Rejab dan Syaaban,
puncak amalan ibadah kaum Muslimin ialah Ramadan, yang mana Muslimin wajib
berpuasa. Semua kelebihan ibadah dalam bulan Ramadan disebut oleh Syeikh Daud
bin 'Abdullah al-Fathani secara terperinci, termasuk bahasan mendalam mengenai
"Lailah al-Qadar" yang disebut dalam al-Quran bahawa beribadah di
dalamnya menyamai 1,000 bulan, iaitu lebih kurang 83 tahun. Zulhijjah juga
dibicarakan. Ibadah dalam Zulhijjah selain wajib haji dan umrah, ada pelbagai
amalan sunat seperti takbir dan puasa sunat 10 hari.
Mengenai
Muharam, terutama hari Tasu'a dan 'Asyura (9 dan 10 Muharam) dibahas Syeikh
Daud bin 'Abdullah al-Fathani secara khusus.
Masih
banyak perkara yang dibicarakan dalam Jam'u al-Fawaid saya tinggalkan. Saya
simpulkan bahawa khusus membicarakan kelebihan bulan Islam, ternyata karya
Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani itu adalah satu-satunya dalam bahasa Melayu,
tidak ada kitab lain seumpamanya.
No comments:
Post a Comment