Sunday, March 7, 2021

Panduan Qiamul Lail

 

Sebuah karya agama yang ingin dikongsi dengan pembaca kali ini adalah sebuah risalah yang berjudul “ Panduan Qiamul Lail (ڤندوان قيام الليل)”. Sebuah risalah yang “mengandungi cara-cara bagaimana hendak mengerjakan Qiamul Lail – beribadat di tengah malam serta dengan setengah-setengah zikir dan doa-doa dan lain-lainnya”[1].

Risalah yang dicetak dengan tulisan Jawi ini disusun oleh Haji Ya’qub bin Haji Hasan dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996/1416. Risalah ini diterbitkan di bawah siri penerbitan percuma MAIK.

Dalam risalah setelah 36 halaman ini, penyusun telah membahagikan isi kandungannya kepada dua tajuk perbincangan, iaitu;

1.       Muqaddimah Qiamul Lail.

Dalam tajuk ini diterangkan mengenai galakkan qiamul lail dalam Islam, kelebihannya, waktu dan bilangan rakaatnya, hukum solat tahajud, berniat ketika hendak tidur, kejutkan keluarga untuk bangun beribadat dan beribadat sekadar minat dan kemampuan. 

2.       Atur cara mengerjakan Qiamul Lail.

Diterangkan aktiviti atau amalan yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin qiamul lail, iaitu bangkit dari tidur dan doanya, ayat-ayat al-Quran yang perlu dibaca (11 ayat akhir dari suarah Alu ‘Imran), doa ketika memakai pakaian, adab dan doa ketika qada’ hajat, bersuci di rumah lebih afdal, solat sunat wuduk dan wirid selepasnya, sembahyang witir dan tatacaranya, keluar ke masjid dan doanya, doa masuk ke masjid, niat iktikaf dan solat sunat tahiyyatul masjid dan zikir selepasnya, menjawab azan dan doanya, sembahyang sunat subuh dan zikir selepasnya dan bacaan serta doa selepas sembahyang fardu subuh.

Begitulah secara ringkas isi kandungan risalah ini. Semoga bermanfaat.


[1] Petikan di bahagian kulit hadapan risalah yang dicatat di bawah judulnya.

No comments:

Post a Comment