Thursday, March 18, 2021

Panduan Lengkap Solat Berjemaah Menurut Mazhab Syafi’e

 

Buku “Panduan Lengkap Solat Berjemaah Menurut Mazhab Syafi’e” merupakan sebuah karya fiqh mengenai solat yang disusun oleh H. Mujiburrahman dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi dengan cetakan pertama pada tahun 2001. Buku ini mengandungi 156 halaman.

Perbincangan dalam buku ini dikupas mengikut tajuk. Penulis membahagikan karya ini kepada 47 buah tajuk. Di mana 39 tajuk terawal memberi tumpuan utama mendedahkan dan memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai tatacara solat berjemaah berdasarkan mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan umat Islam, khususnya di Malaysia. Di antara tajuk tersebut ialah solat berjemaah, pensyariatan solat berjemaah, solat yang paling utama berjemaah, hukum solat berjemaah, tempat solat yang lebih utama, solat dengan jemaah yang ramai jumlahnya, mempercepatkan langkah menuju ke masjid dan sebagainya.

Manakala tajuk-tajuk seterusnya dimasukkan beberapa keterangan tambahan mengenai beberapa isu dalam solat yang dianggap pihak tertentu sebagai tidak menepati sunnah atau bid’ah yang perlu ditinggalkan. Penulis membawakan hujah dan dalil sebagai mempertahankan amalan-amalan tersebut. Contohnya isu membaca usalli. Menurut penulis masalah ini di kenali dengan “talaffuz binniyyat” atau melafazkan niat iaitu mengucapkan lafaz niat dengan lidah sebelum takbir al-ihram. Penulis menegaskan bahawa melafazkan  niat ini adalah sunat. Beliau mendatangkan pelbagai hujah bagi menguatkan penyataannya seperti fatwa para ulama mazhab Syafi’i.

Rujukan utama karya ini ialah al-Qur‟an al-Karim dan kitab-kitab hadith. Selain itu, penulis karya ini juga merujuk kepada karya-karya fiqh turath seperti Nihayat al-Muhtaj, al-Mahalli, I’anah al-Talibin, Bujairimi ‟ala al-Minhaj, Hasyiah al-Syarqawi dan sebagainya. Penulis juga ada merujuk dua buah karya fiqh berbahasa Melayu (Indonesia) iaitu 40 Masalah Agama oleh Sirajudin Abbas dan Taudhih al-Adillah oleh Syafie Hazami – dua orang ulama terkenal dari Indonesia.

Secara umumnya karya ini menampilkan beberapa keistimewaan tertentu seperti bahasa yang mudah difahami, susunan yang teratur dan perbahasan isi yang baik. Namun, ia belum mencukupi untuk disenaraikan sebagai karya ilmiah. Justeru, karya popular ini baik untuk dimiliki oleh masyarakat sebagai bahan bacaan tambahan untuk memahami persoalan-persoalan solat jemaah menurut mazhab Syafi’i.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment