Saturday, March 20, 2021

Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab

 

Buku Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab merupakan sebuah buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di bawah Siri Penerbitan Percuma Bil. (60). Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2016 (3,000 naskhah).

Kandungan buku ini adalah saringan dari sebuah karya asal yang disusun oleh al-‘Allamah al-Syahid Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti (1929-2013) seorang ulama terkenal dari Syria yang berjudul Alla Mazhabiyyah Akhthar Bid’ah Tuhahaddid al-Syari’ah (اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة). Manakala saringannya telah diusahakan oleh al-Marhum Ustaz Mohd. Labib Ahmad.

Bagi Maklumat lanjut mengenai sejarah penerbitan buku ini dan sedikit informasi kandungannya, berikut dilampirkan petikan kata penyelenggara bagi penerbitan buku ini, iaitu Abdul Razak Mahmud.

Kebelakangan ini, berbarengan dengan munculnya era modenisma atau malah liberalisma yang  menyaksikan maraknya unsur kebebasan berfikir dalam kehidupan umat, termasuk dalam hal-hal agama, maka di sana sini bergaung slogan-slogan baharu yang mengajak umat ke arah fahaman “baharu” dalam agama atau dalam kehidupan beragama. Slogan-slogan ini yang berselindung di balik tabir “pembaharuan agama” atau “ reformasi agama” sangat gencar digerakkan di dunia Islam kini. Hasilnya, maka muncullah gerakan-gerakan ke arah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, galakan berijtihad, membuka kembali pintu ijtihad yang “kononnya” tertutup atau telah ditutup atau malah seruan-seruan ke arah menafsirkan semula al-Quran dan menilai kembali al-Hadith agar  supaya sesuai dengan kehendak zaman larangan bertaqlid dan lain-lain sebagainya. Pada masa yang bersamaan, terbitlah banyak buku-buku yang mendokong trend ini, di samping tak kurang pula muncul istilah-istilah yang dahulunya tak dikenal seperti Islam liberal, Islam rasional, Islam tanpa mazhab dan lain-lain.

Risalah kecil ini cuba membahas masalah ini dan berusaha menundukkannya secara tuntas. Benarkah orang tidak digalakkan bertaqlid, malah dilarang bertaqlid. Benarkah mazhab tidak perlu, malah mazhab menurut pandangan mereka tidak muncul kecuali setelah berlalu zaman Rasulullah s.a.w., zaman sahabat dan tabi’in. Maka itu, tanya mereka, sebelum mazhab muncul apakah yang menjadi ikutan umat? Jawapannya tidak lain tentulah al-Quran dan al-Sunnah. Demikian analogi mereka. Benarkah demikian, atau benarkah taqlid tidak dibenarkan? Jika benar demikian, maka akan ke manakah “orang awam” akan berpandu. Hendak berijtihad, atau paling dha’if, untuk memahami kitab, awak tidak mampu.

Di sebaliknya pula timbul persoalan: Apakah setiap orang layak berijtihad atau mampu memahami al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana yang diserukan oleh “tokoh-tokoh modernis” atau “pembaharu” ini? Jika demikianlah keadaannya, maka bagaimana pula halnya dengan orang awam atau awam al-Muslimin yang bukan sahaja tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah, malah ramai pula yang buta huruf. Sejatinya pintu ijtihad tidak pernah “ditutup”. Ia sentiasa terbuka dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja yang layak dan ahli. Di sebaliknya pula, bagi mereka yang tidak layak dan bukan ahli, maka kepada mereka dibenarkan untuk bertaqlid kepada mana-mana imam mujtahid. Pada tahap ini, penting dicatat bahawa orang janganlah hendaknya mengecam taqlid, apa lagi secara melulu pula, sebagaimana yang dilakukan oleh “kaum muda” atau mereka yang berfikiran moden itu, kerana bukan semua orang mampu membebaskan dirinya daripada bertaqlid. Atau dalam perkataan lain bukan semua orang mampu berijtihad atau memenuhi syarat-syarat untuk menjadi mujtahid. Sebaliknya, bagi orang awam seperti kita, taqlid menjadi semacam suatu keharusan pula. 

Benarlah, bahawa para imam-imam mazhab tidak meminta orang awam agar bertaqlid kepada mereka, tetapi kalau setiap orang diminta supaya berijtihad, sedangkan syarat-syarat untuk berijtihad tidak ada atau tidak mencukupi, maka tak dapat tidak pada waktu itu akan lahirlah dalam masyarakat golongan “mujtahid gadongan” atau mujtahid jadi-jadian dengan masing-masing akan mengeluarkan pendapat atau fatwa dalam agama berdasarkan hawa nafsu atau kepentingan masing-masing pihak sehingga akan kucar- kacirlah agama kerana terlalu banyak pendapat yang saling berseleweran dan tidak benar. 

Akhirnya umat ini akan berpecah-belah, berpuak-puak, “sesat dan menyesatkan”. Mereka yang melarang bertaqlid, sebaliknya menggalakkan berijtihad, sebahagiannya adalah kerana dorongan untuk membuang kebekuan atau ke “jumud”an umat. Bagi mereka ini, kebekuan umat adalah terjadi kerana taqlid, tidak bersikap berani, tidak progresif, tidak rasional, tidak terbuka dan macam-macam lagi. Pada hal sebenarnya keterbelakangan umat ini bukan kerana amalan bertaqlid. Dalam perkataan lain, taqlid bukan menjadi biang keladi kepada kejumudan umat Islam kini. Penyakitnya terletak di tempat lain - bukan taqlid. Bagaimanapun, perbincangan mengenai hal ini tidak akan disentuh di sini kerana bukan pada tempatnya.

Buku ini adalah saringan daripada sebuah buku berbahasa Arab berjudul اللامذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة yang ditulis oleh seorang tokoh ulama’ Syria yang terkenal - Dr. Mohd. Sa’id Ramadhan al-Buti. Pada waktu buku ini saya baca pertama kali pada 1997, saya merasa sangat terkesan dan puas hati. Namun apa boleh buat, penguasaan bahasa Arab saya yang terhad tidak memungkinkan saya untuk penterjemahkan isi buku ini ke dalam bahasa Melayu.

Walaupun demikian, saking tertariknya saya kepada isi buku ini, sampai-sampai saya kemudian sempat mendiskusikannya dengan Ustaz Mohd. Labib Ahmad (alm.) sebelum menyerahkan naskhah buku berkenaan kepada beliau dengan harapan beliau akan berkenan menterjemahkannya ke bahasa Melayu, atau setidak-tidaknya, menyaring dan meringkaskannya untuk tatapan pembaca yang tidak berpeluang membacanya dalam bahasa Arab.

Saya ingat benar, pada saat itu saya masih lagi bertugas sebagai Editor Pengasuh (1991 - 2005). Maka alangkah gembiranya saya, apabila selepas dua bulan, saya tiba-tiba menerima kiriman dari beliau berupa naskhah saringan buku berkenaan yang ditulisnya dalam tiga bahagian. Apalagi, tanpa membuang waktu, saya lalu menyiarkan tulisan ini dalam tiga keluaran majalah Pengasuh; masing-masing pada bilangan 580 (Mei - Jun 2003), 581 (Julai - Ogos 2003) dan 582 (Sept - Ogos 2003).

Nah! Sekarang, bagi maksud agar supaya tulisan ini tersebar lebih luas, saya kembali mengambil inisiatif bagi menyunting semula naskhah ini dan menyelenggarakannya untuk diterbitkan dalam sebuah buku khusus agar mudah ditela’ah dan diteliti. Tidak lain tujuan saya dengan upaya ini, kecuali untuk menyajikan sebuah gagasan yang saya anggap sangat tepat dan jitu tentang konsep taqlid yang kini ramai dicemuh sebagai terkebelakang, kolot dan konsevartif. Mudah-mudahan, buku ini mampu memberikan sebuah wacana baharu kepada kita semua. Terima kasih. (11 Oktober 2015).

Buku ini boleh dibaca secara atas talian melalui pautan Islam Bermazhab atau Tidak Bermazhab.

Buku asalnya boleh dimuat turun di pautan https://ia801007.us.archive.org/7/items/Fiqh7000/Figh06302.zip

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment