Tuesday, November 28, 2017

AL-FATAWA AL-FATHANIYYAH (الفتاوى الفطانية)


Kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah ( الفتاوى الفطانية ) merupakan himpunan jawapan kepada 108 soalan dalam pelbagai bidang yang dikemukakan kepada al-‘Allamah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani (). Beliau adalah seorang tokoh ulama Nusantara yang berasal dari Patani dan menjadi guru di Masjidil Haram - yang terkenal dengan keilmuannya.

Beliau rahimahulLah telah berkata pada permulaan kitab ini: “Maka  inilah  beberapa  soal  yang  dituntuti daripada al-‘abd al-faqir ila ‘afw robbihi al-raji minhu Ta’ala nayl al-amani Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani ‘afa Allah Ta’ala ‘anhu akan jawabnya.”

Ia merupakan sebuah kitab yang unik serta mempunyai gaya penulisan yang tersendiri serta agak berbeza dengan kitab-kitab yang lain kerana ia merupakan pengalaman sebenar yang disusun dalam bentuk soal jawab yang tidak kedapatan dalam metode yang sedemikian pada zamannya. Walaupun majoriti kandungan fatwa dalam kitab ini adalah dalam ruang lingkup fikah yang sebahagian besarnya pula berkaitan bidang munakahat tetapi ia turut meliputi dua bidang utama dalam syariat Islam iaitu tauhid dan tasawuf.

Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahulLah turut menyentuh mengenai teknologi  moden yang hampir-hampir tidak disentuh oleh ulama lain pada waktu itu. Renungi  sahaja  kata-kata beliau di bawah ini:

“ Berkata hamba, pada me[ng]hampirkan bagi segala akal, adakah tiada  engkau  ketahui   atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini beberapa ringkahan yang ‘ajib-‘ajib sehingga sampai mereka itu kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa’ yang telah maklum mereka itu dengan ‘balon’ atau ‘thaiyarah’ atau minthad.....”.

Penelitian  terhadap  fatwa-fatwa  ini  juga  membayangkan kekuatan pengaruh mazhab Syafie yang dipegang oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Ini dapat dilihat daripada kata beliau yang  berbunyi “...dan tiada hamba  di dalam  kutubul  mazhab  akan  sesuatu  syarat  yang lebih  daripada segala syarat yang enam ini.”  Ia turut  dibuktikan dengan  melihat  kepada  kitab-kitab yang menjadi rujukan beliau ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan  seperti   kata beliau “ Inilah pendapat yang disemuafakati dengan jazam dalam beberapa kitab muktabar pada Mazhab Syafi’i. . .”

Antara kitab muktabar tersebut yang menjadi panduan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahulLah dalam mengeluarkan fatwa yang kesemuanya dikarang oleh tokoh-tokoh yang bermazhab Syafi’i ialah Bugyah al-Mustarsyidin Fi Talkhish Fatawa Ba’dh al-A’immah Min al-‘Ulama’ al-Muta’akkhirin Ma’a Dhamm Fawa’id Jammah Min Kutub Syatta li al-‘Ulama’ al-Mujtahidin karangan ‘Abd al-Rahman bin Muhammad al-Husain bin ‘Umar yang lebih dikenali Ba’alawi (1250-1320H), Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj hasil penulisan Syihab al-Din Abi al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haytami (974H), Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ayn oleh al-‘Allamah Syaikh Zayn al-Din bin ‘Abd al-‘Aziz al-Malibari () dan lain-lain rahimahumulLah. Perlu disebutkan di sini bahawa antara rujukan utama beliau juga ialah kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i (150-204H) radiaLlahu’anhu sendiri dan al-Majmu’ oleh  Imam  al-Nawawi () rahimahulLah. .

Selain daripada fatwa dalam hukum syariat, kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah juga menonjolkan ketokohan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam ilmu bahasa seperti yang dapat dikesan pada masalah nombor 4, 6 dan 15. Dalam pada itu juga, beliau rahimahulLah adalah manifestasi ulama yang sangat mengenali kekerdilan, kelemahan serta kebergantungan seorang hamba di hadapan Tuhan Rabb al-Jalil dengan merendahkan diri beliau serta mengakui  bahawa ilmu yang  dimiliki beliau pada hakikatnya adalah sangat terbatas dan milik mutlak Allah (s.w.t) yang Maha Berkuasa.

Catatan di atas dipetik dengan sedikit pengunahsuaian dari artikel yang bertajuk Pemikiran Usul Fikah Syeikh Ahmad al-Fatani dalam al-Fatawa al-Fataniah. Baca artikel ini di siniSemoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment