Monday, November 13, 2017

AL-RIYADH AL-BADI'AH (الرياض البديعة)


Kitab al-Riyadh al- Badi’ah fi Ushul al- Din wa Ba’dh Furu’ al-Syari’ah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الرياض البديعة في أصول الدين وبعض فروع الشريعة على مذهب الإمام الشافعي) adalah sebuah kitab yang ringkas (mukhtasar) mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Syafi’i al-Makki (1233-1335H /1817-1917M), seorang ulama terkenal di Makkah al-Mukarramah pada zamannya[1]. Ramai para ulama dari Nusantara yang menjadi murid beliau.

Kandungan kitab al-Riyadh al- Badi’ah dimulai dengan penerangan ringkas mengenai bidang akidah dan dikuti dengan perbahasan ringkas mengenai bidang fiqh seperti thaharah (bersuci), solat, jenazah, zakat, puasa, haji dan umrah, sumpah dan nazar. Kandungan kitab ini diakhiri dengan penerangan ringkas mengenai bidang tasawuf.

Kitab ini pernah dicetak pada tahun 1317H oleh Percetakan al-Maymanah, Kaherah – Mesir,  dengan ketebalannya  sebanyak 63 halaman.


Syarah bagi kitab al-Riyadh al- Badi’ah

Kitab al-Riyadh al-Badi’ah, kemudiannya telah diberikan huraian (syarah) oleh murid[2] penyusunnya, iaitu al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin Arabi al-Bantani al-Jawi (1230-1314M / 1813-1879M) melalui karyanya berjudul al-Tsimar al-Yani’ah fi Syarh ‘ala Riyadh al- Badi’ah (الثمار اليانعة المنيعة في شرح الرباض البديعة)

Dalam huraiannya Syaikh Muhammad Nawawi menghuraikan teks akidah yang terdapat dalam kitab asalnya dengan merujuk kepada pandangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah, aliran al-Asya-‘irah. Manakala huraian dalam bidang fiqh, ternyata lebih meluas dengan merujuk kepada pandangan para ulama mazhab Syafi’i.

Cetakan pertama kitab ini telah dicetak oleh Percetakan al-Bahiyah, Mesir, pada bulan Syaaban 1299H/1882M dan diulang cetak di Bulaq pada tahun 1302H/ 1884M, di al-Maimanah  pada tahun 1308H/1889 M, dan di al-Jamaliyah  pada tahun 1329H/1911M dan ia turut dicetak juga oleh Percetakan Mustafa al-Bab al-Halabi, Mesir  pada tahun 1342H/1923M.

Kitab al-Riyadh al- Badi’ah boleh dimuat turun di  sini / siniSemoga bermanfaat. 


[1] Baca pautan  Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki untuk maklumat lanjut mengenai beliau. Antara karya beliau yang lain ialah Hasyiah ‘ala Manasik al-Khathib al-Syarbaini al-Kabir dan Faydh al-Manan bi Syarh Fath al-Rahman

[2] Berdasarkan tahun kelahiran kedua-dua tokoh ini, usia Syaikh Muhammad Nawawi (1230H) lebih tua sedikit daripada gurunya Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah (1233H). Bahkan Syaikh Muhammad Nawawi wafat lebih awal iaitu pada tahun 1314H berbanding Syaikh Muhammad Hasbullah pada tahun 1335H. Perkara ini tidak menafikan hubungan mereka antara guru dan murid kerana dari aspek keilmuan, usia tidak menjadi ukuran. Melihat kepada senarai guru kedua-dua tokoh ini, mereka berdua pernah menjadi murid kepada beberapa guru yang sama. Dapat disimpulkan di samping hubungan mereka sebagai guru dan murid, mereka juga sebenarnya adalah sahabat seperguruan.

1 comment: