Tuesday, November 28, 2017

AL-TSIMAR AL-YANI'AH (الثمار اليانعة)


Kitab al-Tsimar al-Yani’ah fi Syarh Riyadh al-Badi’ah (الثمار اليانعة في شرح الرباض البديعة) merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nawawi bin Arabi al-Bantani al-Jawi (1230-1314M / 1813-1879M).

Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi sebagai huraian (syarah) bagi sebuah karya guru beliau Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Syafi’i al-Makki (1233-1335H /1817-1917M), yang berjudul al-Riyadh al- Badi’ah fi Ushul al- Din wa Ba’dh Furu’ al-Syari’ah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (الرياض البديعة في أصول الدين وبعض فروع الشريعة على مذهب الإمام الشافعي). Kitab al-Riyadh al-Badi’ah ini adalah sebuah kitab yang ringkas (mukhtasar) mengenai akidah dan fiqh berdasarkan mazhab Syafi’i.

Dalam kitab al-Tsimar al-Yani’ah ini, Syaikh Muhammad Nawawi al-Jawi menghuraikan teks akidah yang terdapat dalam kitab asalnya dengan merujuk kepada pandangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah, aliran al-Asya-‘irah. Manakala huraian dalam bidang fiqh, ternyata lebih meluas dengan merujuk kepada pandangan para ulama mazhab Syafi’i.

Kandungan kitab al-Tsimar al-Yani’ah ini dimulai dengan penerangan mengenai bidang akidah dan dikuti dengan perbahasan mengenai bidang fiqh yang dibahagi kepada beberapa buah kitab, iaitu  thaharah (bersuci), solat, jenazah, zakat, puasa, haji dan umrah, sumpah dan nazar. Bagi menyempurnakan lagi kandungan kitab ini, Syaikh Muhammad Nawawi telah menambah satu fasal yang berkaitan mengenai menziarahi kubur Nabi Muhammad saw. Kandungan kitab ini diakhiri dengan penerangan mengenai bidang tasawuf.

Cetakan pertama kitab ini telah dicetak oleh Percetakan al-Bahiyah, Mesir, pada bulan Syaaban 1299H/1882M dan diulang cetak di Bulaq pada tahun 1302H/ 1884M, di al-Maimanah pada tahun 1308H/1889 M,  di Percetakan Dar Ihya al-Kutub al-‘Arabiyyah pada tahun 1900 dan di al-Jamaliyah  pada tahun 1329H/1911M dan ia turut dicetak juga oleh Percetakan Mustafa al-Bab al-Halabi, Mesir  pada tahun 1342H/1923M.

Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah – Beyrut (cet-1/2013), kitab al-Tsimar al-Yani’ah telah diterbitkan dalam satu jilid dengan 256 halaman.

Semoga bermanfaat.

2 comments: