Wednesday, August 12, 2015

Fatawa al-Ramli


Kitab “ Fatawa al-Ramli fi Furu' al-Fiqh al-Syafi'i ” merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H), yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Kabir.

Penyusunan kitab ini diusahakan oleh anak beliau, iaitu al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli, yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Shaghir (1004H). Kitab ini terkenal dengan judul “ Fatawa al-Ramli al-Kabir  ”, iaitu merujuk kepada Imam Syihabuddin al-Ramli. Namun begitu, ada juga para ulama yang menyebut judul kitab ini sebagai “ Fatawa al-Ramli al-Kabir wa al-Shaghir ”, iaitu dengan menggabungkan dan menisbahkan kitab ini kepada kedua-dua imam ini. Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”. Namun begitu, terdapat juga yang menyebutkan judul kitab ini sebagai " Fatawa Syamsuddin al-Ramli ", iaitu menisbahkan kitab ini kepada penyusun atau penghimpun fatwa ini, iaitu Imam al-Ramli al-Shaghir.

Sekadar pengamatan saya, selain kitab Fatawa Fiqhiyyah al-Kubra, iaitu karya al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami, maka kitab Fatawa al-Ramli ini  merupakan antara  kitab fatwa yang menjadi rujukan utama para ulama mazhab Syafi’i yang kebelakangan (mutaakhirin). Sekadar contoh, kandungan kitab Fatawa al-Ramli ini juga menjadi rujukan utama Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani ketika menyusun kitab beliau yang terkenal Furu’ al-Masail wa Ushul al-Washail. Dalam kitab Furu’ al-Masail ini, Syeikh Daud al-Fathani menyebutkan kitab Fatawa al-Ramli ini dengan judul “ Fatawa Syams al-Millah wa al-Din ”, iaitu beliau menisbahkan kitab ini kepada Imam Syamsuddin al-Ramli ( al-Ramli al-Shaghir). 

Isi kandungan kitab ini disusun mengikut pembahagian bab-bab fiqh, iaitu ibadat, muamalat, munakahat dan jenayat. Di akhir sekali diletakkan beberapa persoalan yang mengenai tafsir ayat, hadis, huraian mengenai petikan kata-kata ulama yang terdapat dalam beberapa kitab fiqh dalam pelbagai bidang seperti usul fiqh, ilmu kalam, ilmu nahu dan sebagainya.

Kitab Fatwa al-Ramli ini  ada dicetak di bahagian tepi  kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra karya Ibnu Hajar al-Haytami.  Untuk membaca kitab Fatawa al-Ramli ini dan kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, pembaca boleh “download” di pautan; http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Manakala versi terbitan tersendiri dalam sebuah buku, kitab ini telah diterbitkan oleh Darul Kutub al-'Ilmiyah, Beirut pada tahun 2011, dalam satu jilid dengan ketebalan 768 halaman.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment