Monday, August 10, 2015

Fatawa al-Qadhi Husain


Kitab “ Fatawa al-Qadhi Husain ”  (حسين القاضي فتاوى) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang disusun mengikut soal-jawab. Kandungan kitab ini memuatkan himpunan fatwa-fatwa yang pernah dituturkankan oleh al-Imam al-‘Allamah al-Qadhi al-Husain bin Ahmad bin Muhammad al-Marwarudzi (462H). Seorang tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal dengan julukan al-Qadhi, kerana selain menjadi guru fiqh , beliau juga menjawat sebagai hakim ( qadhi ), dan jawatan inilah yang membuatnya lebih terkenal dengan julukan Qadhi Husain.

Qadhi Husain mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat terhormat di lingkungan madzhab Syafi’i . Ramai ulama yang memuji tentang keilmuan Qadhi Husain.  Berkata al-Sam’aani , pengarang buku ‘ al-Ansab : “  Qadhi Imam Abu Muhammad,  Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Mawarudzi , merupakan tokoh pada zamannya… beliau  telah mampu melahirkan ramai ulama , sehingga kota Marwarudzi menjadi  tempat tumpuan para ulama dan tujuan para fuqaha. Semua itu , kerana di dalamnya ada Qadhi Husain… dan ini berlangsung terus hingga sekarang . ”

Selain itu, Qadhi Husain merupakan ulama “ Ashab al-Wujuh ” di dalam mazhab Syafi’i.  ” Ashab al-Wujuh ” ini adalah  julukan bagi ulama yang  telah memenuhi syarat-syarat ijtihad , dan telah menguasai fiqh mazhab Syafi’i secara baik, telah terbiasa di dalam melakukan istinbat hukum, mampu mengupas  pendapat-pendapat Imam  Syafi’i  serta menyimpulkan hal-hal yang belum disinggung oleh Imam Syafi’i , untuk kemudian diselaraskan sehingga sesuai dengan metodologi yang dipakai oleh Imam Syafi’i. Selain itu, dia juga mampu mengembangkan fiqh mazhab Syafi’I  menjadi cabang-cabang yang banyak sekali.

Oleh kerananya, dalam buku-buku fiqih karya-karya ulama Khurasan, seperti : Nihayah Matlab karya Imam Haramain, Tatimmah Ibanah karya Mutawalli, Muhadzab karya Syairazi, al-Wajiz, al-Basith dan al-Wasith, karya Imam Ghazali, jika disebut di dalamnya kata ” Qadhi ” , maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain ini. Semua ulama- ulama yang disebut di atas adalah murid- muridnya Qadhi Husain. Bahkan menurut al Yafi’i , bahawa seluruh ulama dalam mazhab Syafi’i  jika menyebut kata ” Qadhi ” , di dalam bidang fiqh, maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain.  Qadhi Husain meninggal dunia tepat selepas solat Isya’ , malam Rabu , tanggal 23 Muharram 462 H di kota kelahirannya Marwarudzi,Khurasan.


Mengenai kitab kitab Fatwa al-Qadhi Husain…..

Kitab fatwa ini sebenarnya tidak dibukukan (disusun dalam bentuk buku) sendiri oleh Qadhi Husain semasa hidupnya. Individu yang berusaha menyusun fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Qadhi Husaini ini ialah salah seorang murid terkenalnya iaitu al-Imam Muhyis Sunnah al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (510H), yang terkenal dengan julukannya Imam “ al-Baghawi ”.

Kandungan kitab fatwa ini agak berbeza dengan beberapa kitab fatwa yang lain, yang menghimpunkan pelbagai fatwa yang meliputi semua bidang sama ada akidah maupun fiqh. Ini kerana kandungan kitab ini hanya menghimpunkan fatwa-fatwa yang berkaitan dengan bidang fiqh sahaja.

Isi kandungannya sebagaimana kitab fiqh yang lainnya, iaitu merangkumi perbincangan mengenai ibadat, muamalah, munakahat, jenayah,  kehakiman dan makanan serta pemburuan. Kitab ini dimulai dengan kitab “ Taharah”  (bersuci) dan diakhiri dengan bab al-‘Itq (pembebasan hamba). Berdasarkan kitab yang terbitkan oleh Dar al-Fath, Jordan, terdapat 854 fatwa Qadhi Husain yang terakam dalam kitab fatwa ini. Kandungan kitab ini banyak dijadikan rujukan oleh para ulama Mazhab Syafi’i.  


Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila muat turun kitab ini (file PDF) di pautan berikut; 

No comments:

Post a Comment