Wednesday, January 28, 2015

al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam


Kitab al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam (كتاب الفروع المسمى كشف اللثام عن أسئلة الأنام) adalah sebuah kitab yang menghimpunkan banyak permasalahan fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya al-‘Allamah al-Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli al-Syafi’i[1]  (1170H), seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i.

Kitab yang terkenal dengan judul al-Furu’  ini, juga dikenali dengan judul asalnya Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam. Manakala judul yang saya sebutkan di atas (al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam) merupakan gabungan bagi kedua-dua judul tersebut. Judul gabungan inilah yang menjadi judul kitab ini bagi edisi yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beyrut pada tahun 1999. Ketebalannya 912 halaman.

Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqh sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain. Ia menghimpunkan banyak permasalahan fiqh, tanpa membawakan dalil-dalil syarak yang menjadi sumber ambilannya. Di antara kitab-kitab yang menjadi rujukan bagi penyusunan kitab ini ialah;

a)  Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj ( نهاية المحتاج), karya al-Imam al-‘Allamah Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (919-1004H).
b)     Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Amirah (حاشية القليوبي وعميرة)[2]
c)      Fatawa al-Ramli al-Kabir wa al-Shaghir  [3](فتاوى الرملي الكبير والصغير)

Kitab ini menjadi rujukan para ulama generasi terkemudian dalam penyusunan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’i. Di antara kitab susunan ulama dari Nusantara yang menjadikan kitab ini sebagai rujukan mereka ialah;

a)  Kitab Furu’ al-Masa-il wa Ushul al-Wasa-il (فروع المسائل وأصول الوسائل), karya al-‘Allamah Syaikh Dawud bin ‘Abdullah al-Fathani  (1265H). Dalam kata pengantar kitab tersebut Syaikh Dawud al-Fathani menjelaskan terdapat dua buah kitab  yang menjadi sumber utama terjemahan (baca: penyusunan) karya beliau ini, iaitu kitab Fatawa Syams al-Millah wa al-Din (فتاوى شمس الملة والدين) oleh Syaikh Muhammad al-Ramli (957H) dan Kasyf al-Litham ‘an As-ilah al-Anam (كشف الثام عن أسئلة الأنام) oleh Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli (1170H), iaitu kitab yang dibicarakan dalam artikel ini.

b)     Kitab Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam (كشف اللثام عن أسئلة الأنام) , karya seorang ulama Melayu Patani yang bermastautin di Makkah, iaitu; Syeikh Zainul ‘Abdidin bin Muhammad al-Fathani , yang terkenal dengan gelarannya ‘ Tuan Minal ’. Karya ini disusun mengikut bab fiqh (abwab al-fiqh); dengan jilid satu bermula dengan “Kitab Pada Menyatakan Thaharah”  dan diakhiri dengan “Kitab Pada Menyatakan Hukum Berburuan dan Menyatakan Sembelihan”. Jilid kedua pula dimulai dengan “Kitab Pada Hukum Jual Beli” dan diakhiri karya ini dengan “Kitab Pada Menyatakan Merdeka ”.

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.

[1] Beliau ialah al-‘Allamah Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli al-Mishri (1170H. Di antara karya beliau yang lain adalah;
a)      Mazid al-Ni’mah li-Jam’i Aqwal al-Aimmah
b)      al-Kasyf al-Tam ‘an Irts Zawi al-Arham. 
c)       Al-Ifshah ‘an ‘Aqd al-Nikah ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah.

Untuk dikongsi maklumat juga, terdapat seorang lagi ulama terkenal dalam mazhab Syafi’i yang digelarkan dengan al-Mahalli, iaitu Imam al-‘Allamah Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hasyim al-Mahalli al-Mishri (791-864H). Di antara karya beliau ialah;
a)      Kanz al-Gharibin - Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin.
b)      Sebahagian dari  Tafsir al-Jalalain (sebahagian lagi disusun oleh al-Hafiz Jalaluddin al-Sayuthi).
c)       al-Badr al-Lami’ ‘ala Jam‘i al-Jawami’.

[2] Kitab ini sebenarnya merupakan gabungan dua buah kitab yang disusun oleh dua orang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal, iaitu;
a)      Kitab Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi al-Mishri (1069H). Beliau terkenal dengan gelaran al-Qalyubi.
b)      Kitab Hasyiah ‘Amirah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya Imam Syihabuddin Ahmad al-Burullusi al-Mishri (907H). Beliau terkenal dengan gelaran ‘Amirah atau ‘Umairah. 

[3] Kitab ini menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah  al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) (957H), yang disusunkan kembali oleh anak beliau, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (al-Ramli al-Shaghir) (1004H) dalam sebuah kitab.  Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”.

1 comment:

  1. Di mana saya boleh dapatkan kitab al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam ini?

    ReplyDelete