Kitab “
Hidayatul 'Awam fi Bayan Hukm Syarb al-Dukhan ” (هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان)
adalah sebuah karya ulama terkenal dari negeri Trengganu, iaitu Sayyid Ahmad
bin Sayyid Muhammad @ Tok Ku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa
al-`Aidrus asy-Syafi`i, yang terkenal dengan gelaran Tok Ku Melaka. Beliau
dilahirkan pada 21 Rejab 1209 H/12 Februari 1795 M dan wafat pada malam Isnin,
17 Muharam 1295 H 21 Januari 1878 M.
Tokoh
ulama yang juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu ini merupakan
bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid
Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar
Tok Ku Paloh. Tok Ku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan
menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan
tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tok Ku Melaka kepada beliau. Dalam arena
penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-
1. Al-Fawaid fi Shalah
wa ‘Awaid (الفوائد في الصلاة
و عوائد)
2.
Hidayah al-‘Awam fi Bayan Hukm Syarb al-Dukhan (هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان)
3.
Taghrib al-Rijal fi Kasb al-Halal (تغريب الرجال في كسب الحلال)
4.
Ta’rif al-Khalan fi Tajwid al-Quran (تعريف الخلان في تجويد القرآن)
5.
Hidayah al-Ikhwan fi Azkar al-Shalah ma’a Arkan (هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان)
6.
Taghrib al-‘Ibadah fi
Qiraah Ratib al-Haddad (ترغيب
العبادة في قرائة راتب الحداد)
7.
Kumpulan Wirid & Doa
8.
Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.
Tok Ku
Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau
memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi judul
" Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan"
(kitab yang sedang dibicarakan ini). Menurut al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir
Abdullah berdasarkan tulisan pengarangnya, Tok Ku Melaka;
“ Kitab
ini beliau selesaikan di Melaka pada hari Selasa... (naskhah rosak, pen:) bulan
Rabiulawal 1293 H/1876M. Manuskrip yang dibicarakan ini merupakan salinan oleh
Muhammad Alim Barus. Selesai menyalinnya pada hari Selasa, 20 Zulhijjah 1337
H/16 September 1919 M di Sungai Cincin, Ulu Gombak, Selangor Darul Ehsan ”[1].
Dalam
kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan
merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh
Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin
`Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin
Zain al-Habsyi dan lain-lainrahimahumullahu jami`an.
Beliau menulis, antara lain:-
"....
Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun
yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan
dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. .......... Ada pun
segala ulama daripada segala tuan - tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW
yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap) asap
tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. .......... Ketahui olehmu
akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun(opium/candu) dan
asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan
kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan
tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu."
Tidak
semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras
terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang
terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani
pengarang kitab "`Aqidatun Najin" yang hidup sezaman
dengan Tok Ku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjudul "Tabassumusy
Syaaribin" sebagai reaksi terhadap karya Tok Ku Melaka tersebut.
Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan
oleh Tok Ku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum
keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat
mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal,
merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya
tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-
"
...Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain
al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di
dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah
daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk
..... Bahawa memakan tembakau (yakni
merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya
memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram."
Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment