Friday, November 23, 2012

Perukunan Sembahyang


Ketika saya memaparkan satu petikan artikel sebelum ini, mengenai sebuah kitab yang berjudul  Kitab Perukunan ’, pada mulanya anggapan saya ia adalah sama dengan kitab yang akan saya paparkan sekarang. Rupanya saya terkeliru dengan judulnya yang hampir sama. Kitab yang akan saya bicara secara ringkas kali ini ialah ‘ Kitab Perukunan Sembahyang ’ hasil karya Haji Abdul Rasyid al-Banjari, seorang ulama Banjar di Borneo.

Terdapat dua kitab Jawi yang menjadi telaah dan rujukan keluarga saya mengenai agama ketika saya kanak-kanak dahulu, iaitu Kitab Perukunan Sembahyang ini dan Kitab ‘Perhimpunan ‘Amal Ibadat’ karya al-Syaikh ‘Ali bin ‘Abdullah Baldran[1].

Dalam koleksi saya ada sebuah edisi kitab ini, iaitu terbitan Maktabah wa Mathba’ah Muhammad Nahdi wa Awladuh, Pulai Pinang, tanpa tarikh cetakannya. Di ‘cover’ hadapan kulitnya disebutkan judulnya sebagai ‘Perukunan Sembahyang Melayu’. Manakala di helaian bahagian dalamnya pula disebutkan  Ini Kitab Perukunan Besar’ bagi Haji Abdul Rasyid Banjar.........’.  Sekadar pengetahuan saya, rupanya selain kitab ini terdapat beberapa kitab lain yang diberi judul dengan ‘ Perukunan’ yang disusun oleh ulama Banjar.

Mereka menamakan kitab mereka sebagai ‘perukunan’ kerana dalam bahasa Banjar, “perukunan” bermakna huraian asas tentang perkara-perkara yang diwajibkan oleh agama yang harus dilaksanakan dalam kehidupan seharian, mencakup rukun Islam (fikih), rukun Iman (tauhid), dan rukun Ihsan (tasawuf).

Berikut saya nukilkan tulisan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah mengenai kitab ini[2];

“ Di antara kitab Melayu/Arab yang paling popular dan banyak diajarkan orang ialah Kitab Perukunan Sembahyang Besar,......[3]. Kandungan kitab tersebut merupakan pengetahuan fardu ain yang paling lengkap.

Selain itu, dilengkapi juga dengan berbagai-bagai amalan yang menjadikan khabar kegembiraan untuk dunia dan akhirat. Terdapat juga tentang khutbah Jumaat dan khutbah nikah.

Tercatat pada semua edisi cetakan, “Diambil daripada karangan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar…..[4]. Selain dalam Bahasa Melayu, kitab ini juga terdapat terjemahan dalam bahasa Bugis, Sunda dan Jawa. Dicetak oleh Mathba’ah al-Aminiyah, nombor 12 dan 14, Baghdad Street, Singapura, bertarikh 23 Zulhijjah 1352 H/ 9 Mac 1935 M, dicetak dengan huruf litograf.

Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan masih dicetak serta banyak diajarkan di seluruh dunia Melayu hingga kini. Walaupun karyanya sangat terkenal, namun riwayat hidup penyusunnya masih gagal dikesan ”.
Semoga bermanfaat.


[3]Dalam artikel asal ada disebutkan selepasnya ‘ tanpa dinyatakan tarikh’. Saya sengaja  memadamnya kerana tiada kesesuaian dengan teks tersebut. Kemungkinan berlaku kesilapan ketika menaip oleh penyusun atau semasa cetakan ketika penerbitannya. Wallahu a’lam.
 
[4]  Di bahagian bawah catatan itu, disebutkan “ Dan ada ditambah sifat dua puluh, khutbah Jumaat, khutbah nikah, ratib haddad, talqin mayat, bab haid, doa-doa, bab haji, fatihah bergantung makna, qunut, tahiyyah bergantung makna, doa ‘Akasyah

No comments:

Post a Comment