Sunday, June 21, 2020

al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz


Kitab al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz (التعجيز في اختصار الوجيز) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-Imam Tajuddin Abu al-Qasim Abdul Rahim bin Muhammad bin Muhammad al-Mawshuli (598-671H). Kitab ini disusun sebagai ringkasan bagi kitab al-Wajiz (الوجيز) , iaitu sebuah karya al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Sekadar maklumat yang diperolehi, manuskrip kitab ini masih ada tersimpan di beberapa  buah perpustakaan utama di timur tengah. Sebahagian isi kandungan kitab ini ada ditahkik oleh beberapa pelajar di beberapa universiti sebagai kajian ilmiah (tesis) bagi memperolehi ijazah sarjana mereka. Berikut antara kajian tersebut yang telah diterbitkan;

a) Kitab al-Nikah  hingga Kitab al-Nafaqah (كتاب النكاح إلى كتاب النفقة), oleh Zahrah Muhammad Umar al-Jabiri. Diterbitkan oleh Jami’ah al-Syaariqah pada tahun 2011 dengan 275 halaman.

b)   Kitab al-Thaharah (كتاب الطهارة), oleh Abdullah bin Fahd al-Syarif. Diterbitkan oleh Dar al-Manar dengan 253 halaman.

Berikut antara kitab-kitab yang disusun oleh para ulama yang berkaitan dengan kitab al-Ta’jiz;

a)   Tamyiz al-Ta’jiz (Syarh  ‘ala al-Ta’jiz) – karya al-Qadhi Syaraf al-Din Abu al-Qasim Hibatullah bin Abdul Rahim al-Barizi al-Hamawi al-Syafi’i (645-738H).

b)   Tashhih al-Ta’jiz – karya Quthbuddin Abu Abdullah Muhammad bin Abdul Shamad bin Abdul Qadir al-Sunbathi al-Mishri  (722H).

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment