Monday, May 27, 2019

Mutiara Minhajul ‘Abidin


Buku Mutiara Minhajul ‘Abidin (موتيارا منهاج العابدين) merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun oleh Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin. Buku ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd (cet-1/2019) dengan kandungannya meliputi 188 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan (4 halaman) dan pendahuluan penyusun (8 halaman).

Beberapa catatan mengenai buku ini...

Buku ini disusun berdasarkan kitab Minhajul ‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin ( منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين ), iaitu sebuah kitab tasawuf karya Imam al-Mujaddid Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kitab ini adalah karya terakhir Imam al-Ghazali., sebagai peninggalan berharga yang menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya.

Sebagaimana judulnya, buku Mutiara Minhajul ‘Abidin ini boleh dianggap sebagai ringkasan bagi kandungan kitab Minhajul ‘Abidin. Berikut adalah antara kaedah-kaedah yang diambil oleh penyusun bagi menyempurnakan penyusunan karya beliau ini;

a)  Penyusun memetik dan mengekalkan kaedah-kaedah asas yang digariskan oleh al-Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitab beliau Minhajul ‘Abidin, tanpa mengubah kedudukan babnya.
b) Penyusun mengambil intipati perbahasan setiap bab, tanpa menyertakan perincian dalil-dalil dan kisah-kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali sebagaimana yang terdapat dalam kitab tersebut.
c)  Penggunaan uslub (gaya penulisan dan penyampaian) yang lebih mudah kerana meraikan latar belakang pembaca semasa.
d) Penyusun telah membuat beberapa penambahan huraian yang dirasakan perlu untuk manfaat yang lebih sesuai bagi para pembaca.

Buku ini sesuai untuk pembaca yang baru ingin mengenali asas-asas ilmu Tasawuf Islam. Ia mengandungi panduan-panduan penting yang perlu difahami setiap muslim yang ingin meningkatkan kefahaman dalam usaha menjadi muslim sejati yang soleh dan mendapat keredaan Allah SWT.

Kandungan buku ini;

Permulaan Langkah
Pendakian Pertama: Ilmu dan Makrifat
Pendakian Kedua: Taubat
Pendakian Ketiga: Halangan-halangan
Pendakian Keempat: Rintangan-rintangan
Pendakian Kelima: Al-Bawa‘its atau Pendorong
Pendakian Keenam: Al-Qawadih (Perosak)
Pendakian Ketujuh: Syukur dan Puji
Kaedah-Kaedah Menyempurnakan Pendakian
Penutup

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment