Sunday, June 16, 2019

Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih



Karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku karya ilmuan tempatan berjudul “Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih”. Buku ini disusun oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, seorang pensyarah di Universiti Terengganu Darul Iman. Buku ini telah diterbitkan - Darul Nu'man, Kuala Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996. Ketebalan buku ini merangkumi 464 halaman.

Buku ini merupakan sebuah karya fiqh yang mengupas beberapa isu-isu terpilih yang menjadi amalan dan perbincangan di kalangan masyarakat Islam kini, khusus masyarakat Islam di Malaysia. Pada masa kini, terdapat pelbagai masalah isu-isu fiqh baru yang tidak ditemui dalam nas Al Quran dan Hadis secara jelas, namun memerlukan analisa yang lebih mendalam. Oleh sebab itu permasalahan ini memerlukan huraian yang tepat daripada kalangan ulama masa kini. Dengan kebijaksanaan para ulama menyelesaikan masalah ummah sesuai dengan ketentuan hukum Allah SWT, maka Islam akan sesuai menurut aliran zaman, baik dilihat dari kacamata umat Islam sendiri mahupun musuh-musuh Islam.

Sehubungan itu maka buku ini merupakan susunan isu-isu fiqh yang sering berlaku di zaman ini yang telah dihuraikan oleh para ulama dan cerdik pandai Islam.

Maklumat tambahan;

Memandangkan buku ini mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pembaca, khususnya dari kalangan penuntut institut pengajian tinggi di tanah air, ia telah melahirkan satu inisiatif baru kepada penyusunnya untuk menyambung usaha murni ini dengan isu-isu yang lain pula. Berikut antara buku kajian mengenai isu-isu fiqh yang disusun Dr. Basri bin Ibrahim sebagai kesinambungan daripada buku beliau di atas;

1)   Buku Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih ”. Buku ini telah diterbitkan - Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 2007. Ketebalan buku ini merangkumi 512 halaman.

2)   Buku “ Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa ”. Ia merupakan sebuah karya fiqh yang sangat luas dan mendalam yang membicarakan persoalan halal dan haram semasa, meliput persoalan ilmu, akidah, syariah dan akhlak.  Sekadar pengamatan dan pengetahuan saya, buku ini merupakan satu-satunya karya dalam bahasa Melayu yang membicarakan persoalan halal dan haram begitu menyeluruh sekali. Buku ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, Selangor – berdasarkan cetakan pertamanya pada tahun2009 - dalam dua jilid yang agak tebal. Jilid pertama setebal 790 halaman, manakala jilid kedua setebal 759 halaman.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment