Friday, May 10, 2019

Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram



Kitab Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram  (غاية المرام في تخريج أحاديث الحلال والحرام) merupakan sebuah karya al-Muhaddits Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (), seorang ulama hadis yang terkenal masa kini. Kitab ini disusun secara khusus bagi meneliti status hadits-hadits yang dimuatkan oleh al-‘Allamah Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam karya beliau yang terkenal, iaitu kitab  al-Halal wa al-Haram (الحلال والحرام).

Namun begitu, Syaikh al-Albani bukan sekadar membuat penelitian terhadap hadis atau rujukan yang digunakan oleh al-Qaradhawi, malahan telah membuat beberapa kritikan terhadap beberapa pandangan al-Qaradhawi di dalam kitab tersebut[1]. Di antara yang dikritik hebat oleh Syaikh al-Albani adalah pandangan al-Qaradhawi yang membolehkan umat Islam mendengar nyanyian dan muzik. Berkata Syaikh al-Albani dalam kitab al-Ghayah al-Maram;

Penulis kitab itu (maksudnya: al-Qaradhawi) hanyalah mengulang-ulang pendapat dengan mengutip pandangan Ibn Hazm dan Ibn al-Arabi… padahal empat imam mazhab sepakat akan keharaman nyanyian dan muzik. Sunnah yang shahih juga menguatkan akan keharamannya. Oleh kerana itu, tidak sepatutnya seorang alim yang mulia (maksudnya: al-Qardhawi) melakukan yang sebaliknya ”.

Penelitian Syaikh al-Albani terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini telah disambut oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan  gembira dan menerimanya dengan dada yang lapang kerana hal ini menjadi suatu bukti penghargaan terhadap karya beliau tersebut.

Jawapan al-Qaradhawi[2] terhadap beberapa kritikan Syaikh al-Albani ini ada dijelaskan dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir (jilid 2), terbitan Darul Wafa, Manshurah, cetakan ke-2, 1414H/1993M, halaman (97-107), atau boleh dibaca petikannya di pautan;   http://agungwi.files.wordpress.com/2012/05/komen-atas-takhrij-halal-dan-haram.pdf.   

Kitab  Ghayah al-Maram Fi Takhrij Ahadits al-Halal wa al Haram, karya Syaikh al-Albani ini boleh dimuat turun di pautan https://archive.org/download/WAQ6102/6102.pdf.

Semoga bermanfaat.



[1] Mengenai perkara ini, berkata al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa al-Mu’ashir-nya;   “ Syaikh al-Albani tidak hanya ahli hadits, hanya mentakhrij hadits dan menetapkan kedudukannya, menshahihkan, dan melemahkannya, kemudian selesai peranannya. Tetapi, beliau adalah seorang tokoh yang memiliki banyak pandangan dan fiqihnya yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam takhrij-nya, sehingga mau tidak mau mempengaruhi pendapat beliau dalam masalah hadits yang di-takhrij-nya itu, seperti komentar beliau terhadap pendapat penulis yang beliau anggap kuat dan beliau setujui, atau beliau mengganggap pendapat beliau yang lebih kuat (yang berbeda dengan pendapat penulis). Misalnya terhadap masalah “nyanyian dengan alat muzik dan tanpa alat muzik”. Keterlibatan beliau dalam masalah ini lebih dekat kepada peranan ahli fiqh daripada ahli hadits. Lihat - Fatawa al-Mu’ashir, hal. 107.

[2] Bagi menanggapi secara khusus kritikan al-Albani terhadap tulisan beliau mengenai   “ nyayian dan muzik ” dalam kitab al-Halal wa al-Haram tersebut, al-Qaradhawi telah menyusun sebuah kitab khusus mengenainya, dengan karya beliau yang berjudul “ Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi ala Dhaw al-Quran wa al-Sunnah  (Hukum Nyanyian dan Muzik menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah). Buku setebal 255 halaman itu dilengkapi dengan pandangan para sahabat, tabi’in, tabi’ at-tabi’in, dan imam mazhab terhadap nyanyian dan muzik. Pada bagian penutup buku, al-Qardhawi menuliskan daftar karya-karya ulama tentang nyanyian dan musik, mulai dari ulama terdahulu sampai ulama masa kini. Karya al-Qaradhawi itu diterbitkan oleh penerbit Maktabah Wahbah di Kaherah, Mesir. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan judul “ Menempatkan Lagu & Musik Dalam Timbangan Quran Dan Sunnah ”. Ia diterbitkan oleh Media Insani.

No comments:

Post a Comment